Mokhtar Petah
Pada tahun 1941. Sebaik-baik sahaja bapaku dan aku tiba di rumah, datuk dan nenekku telah berhimpun di halaman rumah mereka bersama kaum kerabat mereka dan orang-orang kampung. Mereka sedang menunggu bapaku pulang dari mengambil aku di sekolah.
Setelah aku selesai makan nasi yang dihidangkan olebh ibuku dan orang-orang yang berkumpul itu telah bersedia berangkat, maka bapaku telah azan di halaman rumah datukku kerana hendak memulakan langkah masing-masing sebagai orang-orang pelarian perang ke dalam rimba, di kaki banjaran Gunung Bintang Hijau yang terletak kira-kira empat kilometer jauhnya, di belakang kampung kami.Banjaran gunung itu memanjang dari belakang daerah Kuala Kangsar ke daerah Hulu Perak.
Datukku telah berpesan kepada mereka yang akan menyertainya berhijrah ke kaki banjaran Gunung Bintang Hijau itu, iaitu walau dalam apa jua keadaan, mereka mestilah bersatu dan tidak menjauhkan diri daripadanya. Dia telah memberitahu, bahawa guru agama, Lebai Salleh akan menyertai kami dan tinggal dalam rumah panjang di kaki banjaran gunung tersebut.
Rumah panjang yang boleh menempatkan kira-kira dua puluh keluarga itu, telah didirikan oleh orang-orang kampung dengan cara bergotong-royong, kira-kira seminggu sebelum kami berhijrah ke sana.
RUMAH PANJANG
Datukku mempunyai dua orang isteri. Isteri tuanya, Hajah Halimah (nenekku) dan isteri mudanya, Maimunah. Dua perempuan bermadu itu tidak pernah berkelahi merebut suami. Mereka berkeadaan orang dua beradik. Maimunah tidak mempunyai anak dengan datukku.
Rombongan kami kira-kira dua belas keluarga. Guru agama, Lebai Salleh mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdul Hamid (Hamid kepala besar) yang berusia enam belas tahun. Beberapa orang lelaki yang gagah telah mengusung Abdul Hamid, ke rumah panjang, di kaki banjaran Gunung Bintang Hijau itu.
Rumah panjang itu terletak dekat sebatang anak sungai, iaitu Sungai Busuk namanya. Rumah panjang itu tingginya kira-kira dua meter dari bumi, bertiangkan kayu-kayu rimba, berdindingkan daun-daun bertam, lantai buluh, iaitu buluh minyak yang telah dibelah-belah dan tangga-tangganya dari kayu rimba juga.
Rombongan kami telah tiba di rumah panjang itu kira-kira jam 5.00 petang. Adikku, Ghazali sangat nakal. Dia suka bermain dalam sungai Busuk di hadapan rumah panjang itu. Seorang lelaki Jawa, Wak Lamat yang menjadi siak surau di kampung kami suka melayan adikku.
AKIBAT PERANG
Kira-kira jam 7.00 malam, di sekitar kampungku telah digegar oleh bunyi meriam atau mortar yang telah ditembakkan oleh askar-askar British dari sebuah jambatan yang merentangi Sungai Busuk di antara kampungku dengan kampung Changkat Duku. Bunyi peluru-peluru mortar yang meluncur di ruang udara seperti bunyi angin puting beliung dan cahaya api pada peluru-peluru itu telah menerangi sekitar kampung dan rimba, di sana. Askar-askar British dan Australia itu telah menembakkan mortar itu ke arah banjaran gunung Bintang Hijau. Mereka itu sedang bertahan di jambatan itu supaya askar-askar Jepun tidak dapat menggunakan jambatan tersebut untuk mara ke kawasan Kuala Kangsar.
Tembakan mortar itu tidak berhenti-henti sepanjang malam dan sampai ke pagi keesokkannya. Dalam peperangan dalam kawasan hutan tropika, orang-orang Inggeris termasuk Australia tidak mempunyai kepandaian seperti yang ada pada orang-orang Jepun dan bangsa-bangsa di Asia.
Guru agama, Lebai Salleh telah memimpin orang-orang lelaki di rumah panjang itu membaca ’Yasin’ pada sebelah malam. Pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu mereka telah berdoa kepada Allah memohon dijauhkan kami dari kebinasaan akibat perang.
Pada pagi pertama kami tinggal di rumah panjang itu, bapaku bersama Wak Lamat dan beberapa orang lagi telah pergi menghendap askar-askar British dan Australia di Jambatan Changkat Duku. Mereka telah lari lintang pukang kerana ditembak oleh askar-askar tersebut.
UCAPAN SALAM
Pada malam kedua kami tinggal dalam rumah panjang itu, kira-kira jam 10.00 malam dan hujan turun renyai-renyai, tiba-tiba kami telah terdengar bunyi seperti sekumpulan kerbau merempuh dan meredah hutan di belakang rumah panjang itu. Semua pelarian menunggu dengan waspada dari sebarang kemungkinan yang akan berlaku nanti.
Bau serai wangi harum semerbak dan telah mengharumkan sekitar rumah panjang kami. Sebentar kemudian, dari dalam semak di belakang rumah panjang itu kami telah mendengar suara orang lelaki memberi salam. Bapaku dan orang-orang lain telah menyambut ucapan salam dari lelaki yang tidak kelihatan dalam gelap malam itu.
Seorang pegawai askar Jepun dengan topi besar yang diselimutkan dengan dedaun kayu telah berdiri dalam hujan di hadapan datuk, bapaku dan orang-orang lelaki pelarian itu. Di belakangnya berpuluh-puluh orang askar Jepun yang lengkap dengan senjata sedang berdiri dalam hujan. Topi mereka berselimut dalam dedaun kayu, masing-msing menggalas senjata perang dan pada badan mereka sarat dengan pundut peluru dan bungkusan makanan.
Pegawai askar Jepun itu telah bersalaman dengan datukdan bapaku serta orang-orang lelaki yang ada di situ. atukku telah menjemput pegawai askar Jepun itu masuk ke bawah atap pisang sesikat rumah panjang itu. Di bawah teduhan atap itu dengan menggunakan pelita minyak tanah, pegawai Jepun itu telah membuka sebuah peta sebesar kertas A-4 dan dia merenung dan meneliti pada peta itu. Dia telah senyum mesra kepada orang-orang pelarian di hadapannya.
“...ini Sungai Busuk, ...di sana kampung Ngor,” pegawai askar Jepun itu telah bercakap dalam bahasa Melayu sambil menunjukkan ke arah timur.
ANGKATAN TENTERA
Datukku dan mereka yang berada di hadapan pegawai askar Jepun itu mengangguk-anggukkan kepala masing-masing. Mereka berperasaan takut bercampur berani.
”...di mana saya boleh jumpa Tuan Haji Ja’afar, ...dia tinggal di kampung Ngor...?” tanya pegawai askar Jepun itu.
”...sayalah, ...saya Haji Ja’afar,” jawab datukku.
” ....ooo, Tuan Haji, ...saya minta ma’af, ...ketua saya, Tuan Suzuki kirim salam kepada Tuan Haji...,”kata pegawai askar Jepun itu.
”Ia...,”sahut datukku.
”....dulu, tuan kami, Suzuki tinggal di Kuala Kangsar, ....dia selalu berburu dengan Tuan Haji...,”jelas pegawai askar Jepun itu lagi.
”Ia, Tuan,”sahut datukku.
Pegawai askar Jepun itu sangat menghormati datukku dan orang-orang pelarian di hadapannya. Dia telah memberitahu datukku , ayahku dan orang-orang yang ada di situ, bahawa dia bersama 600 orang askar Jepun di bawah perintah Pemerintah Angkatan Tentera ke 25 Jepun, di kenali dengan nama ’Tiger of Malaya’, Left. General, Yamashita adalah terdiri dari pasukan jalan kaki (infantry brigade). Mereka telah masuk ke Tanah Melayu melalui sempadang Selatan Thailand-Tanah Melayu di kawasan Grik. Kemudian mereka menuju ke tempat kami berkhemah melalui lereng-lereng gunung ganang sepanjang banjaran Gunung Bintang Hijau. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar dan Ipoh.
Pegawai askar Jepun itu bersama anggota pasukannya telah singgah di rumah panjang kami kira-kira setengah jam. Sebelum mereka meninggalkan kami, mereka telah menghadiahkan kepada kami berbungkus-bungkus biskut yang dikeluarkan dari bungkusan-bungkusan dari setiap askar Jepun itu.
Selama lebih tujuh tahun aku hidup di dunia ini, itulah kali pertama aku dapat merasakan biskut jenis baik, iaitu yang dibuat dengan adunan mentega, susu dan sebagainya. Sebelum itu aku hanya dapat memakan biskut lutut, roti kapal dan yang sering aku makan, ialah cucur kodok, tepung lempeng, buah melaka dan kuih-kuih tradisi orang Melayu sahaja.
BERANI MATI
Sebelum meninggalkan kami, ketua pegawai askar Jepun itu telah menasihatkan datuk dan ayaku serta orang-orang dalam rumah panjang itu supaya pulang ke kampung kami pada awal pagi esok dan tinggal di rumah masing-masing. Dia tidak menjamin kami akan selamat tinggal dalam rumah panjang itu kerana dia khuatir askar-askar Jepun yang akan tiba pada esok hari akan mengembum rumah panjang itu kerana mereka menyangkakan tempat bersembunyi askar British.
Pegawai askar Jepun itu telah memberitahu juga, bahawa pada tengah hari esok pasukan askar Jepun-pasukan berani mati-, akan tiba di kampung kami dengan dilindungi oleh kapal-kapal terbang perang. Mereka itu tidak mempunyai adab sopan terhadap orang-orang lain. Kebanyakan dari mereka itu adalah askar-askar Jepun warga negara Manchuria yang dikerah oleh pegawai-pegawai askar Jepun.
’Pada tahun-tahun 1936 – 1939, iaitu sebelum tentera Jepun menyerang Semenanjung Tanah Melayu, seorang lelaki Jepun, bernama Suzuki telah membuka sebuah kedai gambar di bandar Kuala Kangsar. Dia gemar memburu haiwan-haiwana liar dalam rimba. Pada tiap-tiap hari Ahad dia telah datang dengan kereta kecilnya ke kampungku. Dia telah membawa senapang patah dan kameranya. Datukku dan dua tiga orang kampungku yang memiliki senapang patah, di antaranya Alang Ismail (mahir memburu seladang), berasal dari Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, telah pergi memburu dalam kawasan rimba raya di lereng banjaran Gunung Bintang Hijau atau ke kawasan Gunung Kerangga di sebarang Sungai Perak. Gunung Kerangga bersambung dengan kawasan Sungai Siput Utara dan hingga ke Pahang dan Kelantan.
KAMPUNG HALAMAN
Di tiap-tiap tempat Suzuki berburu, dia telah mencatatkan sesuatu pada sehelai kertas kecil. Kemudian kertas itu dimasukkan ke dalam sejenis kepsol seperti kepsol ubat, lalu ditelannya. Perbuatannya itu selalu diperhatikan oleh datukku dan orang-orang yang bersamanya berburu.
Kira-kira pada pertengahan tahun 1939, Suzuki telah kembali ke negaranya. Kedai gambarnya terletak di jalan Kangsar telah dijualkan kepada seorang lelaki China yang menjalankan perniagaan tukang gambar juga.’1
Pada malam itu bapaku dan orang-orang pelarian dalam rumah panjang itu tidak tidur sepanjang malam. Mereka bersiap-siap untuk kembali ke kampung halaman atau tinggal di tempat-tempat lain yang lebih selamat pada awal pagi esok.
Tiba-tiba sebiji peluru mortar seperti bara api dengan bunyinya yang menakutkan telah jatuh menjunam dalam rimba di belakang rumah panjang kami kira-kira sepuluh meter jaraknya.
PISANG SESIKAT
Lelaki Jawa, Wak Lama telah azan bagaikan orang meraung kerana terlalu takut. Bapaku bersama beberapa orang kawannya telah pergi ke tempat peluru mortar yang jatuh itu. Tidak lama kemudian mereka telah membawa pulang seketul peluru mortar dan di letakkan atas pangkin di bawah atap pisang sesikat rumah panjang itu.
Bapaku telah berkata kepada kawan-kawannya, ”...Allah dah menolong kita, kalau tak bom ni jatuh atas dangau kita ni, semua kita ni dah jadi mayat.”
Nenekku dan madunya, Maimunah telah menangis. Semua orang-orang pelarian dalam rumah panjang itu kehairanan. Kemudian barulah kami mendapat tahu, rupa-rupanya mereka menangis kerana khuatirkan datukku, kalau-kalau orang tua itu akan diambil oleh askar-askar Jepun pada siang esoknya.
Pada pagi esoknya, sebaik-baik sahaja penghuni-penghuni rumah panjang itu berjalan meredah tengah sawah padi untuk pulang ke kampung kami, aku telah berjalan dengan dipimpin oleh ibuku. Adikku Ghazali didukung oleh bapaku yang juga menggalas bundut pakaian kami. Sementara itu sebuah kapal terbang perang Jepun berlegar-legar di ruang udara atas kepala kami.
PISAU TAJAM
Kami tidak pulang ke rumah kami di tepi jalan raya kerana askar Jepun terlalu ramai di sana. Kami telah menumpang di rumah-rumah jiran tetangga, di kampung seberang kampung kami.
Askar-askar Jepun itu berkeliaran di sekitar kampung dengan senjata masing-masing yang dihujungnya terpasang pisau tajam. Mereka berperangai seperti orang-orang yang tidak siuman. Mereka telah mengejar dan membunuh berpuluh-puluh ekor ayam dan itik milik orang-orang kampung. Askar-askar yang masih remaja itu tidak sahaja mengejar ayam dan itik, mereka juga mencari perempuan-perempuan untuk mereka perkosa. Beberapa orang dari mereka telah menunjukkan kemaluan masing-masing ke arah orang-orang perempuan. Tetapi mujurlah dengan berkat doa orang-orang yang ketakutan itu, askar-askar jepun itu tidak mengapa-apakan perempuan muda itu. Mereka seolah-olah silu dan segan atau seperti ada kuasa ghaib yang menegah mereka dari melakukan perbuatan jahat itu.
Askar-askar Jepun itu telah memasukkan bangkai-bangkai ayam dan itik yang mereka telah bunuh itu ke dalam lori mereka. Aku tidak mengetahui, apakah bangkai-bangkai ayam dan itik itu mereka makan atau mereka buang begitu sahaja.
Mereka itu telah berhenti dan berkeliaran di kampung kami, kerana menunggu askar-askar bahagian jurutera membina jambatan yang telah dimusnahkan oleh askar-askar British dan Austaria di Changkat Duku, kira-kira satu kilometer jaraknya dari kampung kami. Askar-askar Jepun bahagian jurutera telah menebang pokok-pokok kelapa dan durian untuk dijadikan jambatan sementara di atas Sungai Busuk berhampiran dengan jambatan yang musnah itu.
Lewat jam 3.00 petang, semua askar Jepun itu telah meninggalkan kampung kami. Mereka telah meneruskan perjalanan ke arah Kuala Kangsar.
KAYU RIMBA
Setelah orang-orang kampung yang menyertai datukku dan guru agama, Lebai Salleh berbincang, maka sebahagian dari mereka mengikut Lebai Salleh berhijrah ke Kampung Jenalik Hilir dan sebahagian lagi mengikuti datukku dan telah berhijrah ke huma bapaku, di Paya Pak Banun.
Di ladang itu kami tidak kelaparan, kerana banyak buah-buah pisang yang telah masak ranum. Begitu juga buah-buah betik. Padi huma yang ayah dan ibuku telah tuai banyak tersimpan dalam beberapa guni dalam sebuah jelapang. Sayur – sayuran seperti bayam, maman, kangkung, terung dan sebagainya banyak di huma itu.
Di dangau bapaku itulah menjadi tempat tinggl keluarga datukku dan pengikut-pengikutnya. Sementara datukku dan orang-orang lain tinggal dalam dangau-dangau yang baru didirikan. Dangau-dangau itu dibuat dari kayu rimba dengan dindingnya dari kulit batang-batang kayu dan atapnya dari daun bertam. Manakala lantainya dari batang nibung yang telah dibelah-belah.
Setelah tiga hari kami tinggal di ladang, di Paya Pak Banun, lebik kurang jam 11.00 pagi, tiba-tiba sebuah kapal terbang perang Jepun telah terbang laju dari arah Hulu Perak menuju ke arah Kuala Kangsar. Pada kapal terbang itu kelihatan api menyala dan asap berkepul-kepul keluar dari buntutnya. Tidak sampai lima minit kemudiannya, kapal terbang itu telah jatuh dalam ladang getah Sungai Biong, dekat tepi tasik Chenderoh kira-kira enam kilometer dari dangau kami.
BANGKAI ASKAR
Seminggu kemudian, beberapa orang nelayan yang tinggal di sekitar tepi Sungai Perak telah datang ke dangau kami dan menjaja ikan-ikan dan udang-udang galah. Setiap seekor udang galah beratnya hampir setengah kilogram. Pada minggu itu mata wang British masih laku lagi.
Berjenis-jenis ikan dan udang-udang galah itu telah mengerumun dan memakan bangkai askar-askar Inggeris dan Australia yang telah hanyut dalam arus sungai Perak. Askar-askar itu telah ditembak atau dibom oleh askar-askar Jepun di benteng pertahanan mereka, di tepi Sungai Perak dekat Kota Tempan, Lenggong, kira-kira dua puluh kilometer dari ladang kami. Nelayan-nelayan itu telah mengangkap ikan-ikan dan udang-udang itu dengan menggunakan jala, pukat atau nengayan (tangguk besar).
Bapa dan datukku yang telah mengetahui ikan-ikan dan udang-udang itu telah memakan bangkai askar –askar Inggeris dan Astralia itu, telah mensihatkan orang-orang yang berhijrah bersama mereka supaya tidak membeli ikan-ikan dan udang-undang yang dijual oleh penjaja-penjaja itu.
Dua tiga minggu kemudian tersebar cerita, bahawa ramai suri-suri rumah telah menemui cincin, jari, copeng telinga manusia dalam perut ikan-ikan yang mereka bersih atau menyiangkan itu.
KEPENTINGAN PERJUANGAN
Aku telah mendapat tahu kemudiannya, ramai dari nelayan-nelayan itu telah mengambil jam tangan, rantai emas dari bangkai-bangkai askar tersebut. Kemudian mereka telah menjual jam-jam tangan dan rantai-rantai emas itu kepada orang-orang di Kuala Kangsar.
Sementara itu, orang-orang China yang menyertai pergerakan yang ada hubungan dengn Kuomintang di Negeri China dan orang-orng Cina yang yang anti Jepun dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengambil senjata-senjata yang ditinggalkan oleh askar-askar British itu seperti senapang, peluru-peluru, bom-bom dan sebagainya untuk kepentingan perjuangan mereka.
Senjata-senjata itu telah digunakan olen gerila-gerila Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang askar-askar Jepun dan kemudian menentang penjajah British di Tanah Melayu, pada zaman Semenanjung Tanah Melayu, di bawah penjajahan Inggeris, iaitu sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Kanak-kanak yang berusia antara tujuh dengan sepuluh tahun memanglah nakal. Orang-orang tua Melayu ada berkata, ”dua perkara sukar dapat dalam dunia ini, kanak-kanak tidak nakal dan orang tua cantik”. Aku kanak-kanak nakal. Aku bersama adiku dan kanak-kanak lain telah menahan ciding2 atau jerat burung punai tanah dalam belukar kira-kira suku kilometer jauhnya dari dangau kami.
HARIMAU BELANG
Pada tiap-tiap hari aku telah mendapat sekurang-kurangnya tiga ekor burung punai tanah yang terkena jeratku. Burung itu telah disembelih oleh ayahku dan dijadikan lauk kami.
Pada satu petang aku bersama seorang kawan, Kamaruddin bin Awang Kechil telah pergi melihat ciding-cidingku dalam belukar. Kira-kira 50 meter dari ciding yang aku pasang dalam hutan tepus, aku ternampak seekor harimau belang terkena cidingku.
Kalau dibandingkan kekuatan harimau itu dengan benang cidingku yang terikat pada kakinya itu tentulah amat mudah ia merentapnya, tetapi kerana hairan, harimau itu sejenis haiwan yang cermat atau berhati-hati, ia tidak menarik benang ciding itu dengan mengejut. Ia mengikut perlahan-lahan akan benang yang ditarik oleh baul (seperti joran) ciding itu yang menariknya. Setelah melihat harimau dengan cidingku itu, maka aku dan kawanku itu telah lari ketakutan dan pulang ke dangau kami.
Pangkalan Tualang Bengok (di situ ada sepohon tualang yang pada batangnya berbonggol seperti orang sakit bengok) terletak sekadar 800 meter dari ladang bapaku. Pangkalan itu di hujung sebuah teluk dan airnya dalam lebih 20 meter. Di teluk itulah aku dan adikku, Ghazali telah belajar berenang dengan tidak diketahui oleh ibu dan bapa kami.
Kami telah menggunakan dua biji buah labu yang telah kering yang digunakan oleh ibuku untuk menyimpan air. Aku dan adiku masing-masing menggunakan dua biji labu yang kami ikat dengan tali menjadi sepasang pelampung. Masing-masing telah menggunakan sepasang pelampung dan kami telah menyangkutnya di bawah dada kami menjadikan sebiji labu di sebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri tubuh kami. Kami telah belajar berenang dalam suak itu kira-kira seminggu dengan bertelanjang bogel dan tidak diketahui oleh ibu dan bapa kami.
Walaupun nakal, ia boleh membahayakan kami, tetapi telah menguntungkan kami, kerana aku dan adikku telah pandai berenang.
Apabila ibu dan bapaku telah mengetahui akan perbuatan nakal kami itu, mereka telah tidak membenarkan kami pergi ke suak itu lagi. Mereka khuatir kami lemas dalam suak itu. Dalam suak itu banyak ikan toman yang besar dan ganas.
”...muma gi lagi ke situ, ...habis telur muma dimamah ikan toman tu,” kata nenekku antara sayang dengan marah. (Sedutan dari manuskrip, Momor, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah – Editor, Petah Sharir Aidid).
1 Catatan ini dari cerita datukku dan pemburu, Alang Ismail. Dia telah menceritakan kepadaku
pada tahun 1951.
2 Jerat burung menggunakan benang dan baulnya dari anak kayu.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.