Mokhtar Petah
Pada 23 Mac 1984, isteriku, Sitti Haishah telah melahirkan anak lelaki kami yang sulung, Petah Wazzan Iskandar @ Iskandar Jauhari, di sebuah hospital swasta dalam Bandar Ipoh. Kalau tidak disebabkan ’perbuatan orang lain’ terhadap isteriku sehingga bayi dalam kandungannya keguguran, anak kami yang baru lahir itu adalah anak yang kedua.
Bandar Ipoh yang sebelumnya sebuah bandar yang sesuai dengan cara kehidupanku, tetapi setelah aku bercerai dengan isteriku, Cek Su dan Sultan Idris Shah mangkat, aku rasa bandar itu kosong, seperti bandar Sodom yang telah ditinggalkan oleh Nabi Lut alaihis salam.
Pada akhir Mac 1984, aku, Sitti Haishah dan anak kami, Petah Wazzan Iskandar Jauhari telah berhijrah dari Ipoh ke negeri Selangor. Kami telah tinggal di Taman Melawati, Ulu Kelang.
Dengan pertolongan pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Negeri Perak dan Kementerian Pelajaran di Kuala Lumpur, isteriku telah dapat bertukar segera ke Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Ampang, Selangor.
BANDAR KECIL
Sesungguhnya manusia penulis seperti aku – menulis tidak menggunakan ilham semata-mata -, tidak dapat tinggal di bandar kecil. Penulis seperti aku yang tidak terikat pada mana-mana institusi atau syarikat memerlukan berbagai peringkat kedudukan manusia, dari yang berkedudukan tinggi hinggalah kepada buruh kasar dan pengemis.
Aku memerlukan tempat rujukan seperti arkib, perpustakaan dan sebagainya. Penulis seperti aku tidak menulis pada satu bidang yang khusus sahaja. Kemampuanku menulis adalah seimbang dengan pengetahuanku sendiri, iaitu aku menulis berbagai artikel, cerpen, novel, sajak, biografi, agama Islam, sejarah, politik dan perkara-perkara yang lain. Ilham sahaja tidak dapat membantu menjayakan diriku sebagi penulis. Bagi pendapatku, ilham dari Allah yang dianugerahkan kepada diriku, laksana doa yang kita hadapkan kepada-Nya. Doa hendaklah selari dengan ikhtiar atau amalan kita. Aku bukanlah dari golongan zuhud, tetapi memerlukan dua alam, iaitu duniawi dan akhirawi.
Aku sering berdoa kepada Allah, setiap kerjaku dalam bidang penulisan akan mendapat keredhaan-Nya. Dan aku sering memohon kepada Allah sekadar empat perkara yang dapat membahagiakan hidupku.
Empat perkara yang termasuk kebahagiaan seseorang, iaitu:
1. Isteri yang soleh,
2. Anak-anak yang baik (berbudi bahasa),
3. para sahabat yang baik,
4. Sumber rezeki yang terdapat di negara sendiri.1
Sesuai dengan diriku penulis angkatan 50, maka aku mendekati para editor surat khabar dan majalah dan penerbit-penerbit buku serta mereka yang meminati bidang penulisan dan kesusasteraan. Tetapi mereka itu manusia dan mempunyai hawa nafsu juga. Aku adalah di antara ramai penulis yang menjadi mangsa mereka yang mencari keutungan ibarat mencangkul atas belakang mayat orang lain.
Beberapa orang penerbit drama televisyen telah meminta aku menulis skrip untuk mereka. Pada mulanya mereka mengaku akan membayar setiap sekrip karyaku itu. Tetapi setelah aku menyerahkan skrip-skrip itu kepada mereka; semua skrip-skrip itu telah terlepas ke tangan mereka, tetepi wangnya tidak menjadi rezeki aku.
DRAMA TELEVISYEN
Seorang penerbit dari Johor telah mengambil skrip cerita kanak-kanak 12 seri dengan janji akan membayar kepadaku dalam tempoh tiga hari, tetapi setelah skrip itu di ambil, dia tidak menemui aku lagi.
Yang dapat aku banggakan; banyak drama televisyen yang aku tonton kemudiannya, namanya telah berubah tetapi jalan cerita dan dialog-dialognya hampir sama, diubah dan ditokok tambah di sana sini hingga kalau tidak menelitinya dengan sempurna tidak akan dapat mengetahui perbuatan palagiat mereka itu.
Begitu juga, rencana dan buku. Rencana-rencana disiarkan dalam surat khabar mereka, tetapi bayaran atau hohorariumnya tidak pernah tiba kepadaku. Beberapa buah buku karyaku, di antaranaya tiga buah buku, Soal Jawab Masalah Wanita’, ’Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu’ dan ’Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’ telah di cetak rompak dan dicempelak oleh beberapa orang penulis dan penerbit.
Selain dari itu, kerana mereka tidak meneliti, maka terdapat sebuah buku biografi Abdullah Badawi diterbitkan oleh sebuah syarikat yang terkenal, telah memaparkan gambarku bersama rakan-rakan di sekolah agama Daeratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas (1954), tetapi huraian gambar itu, menyatakan Abdullah Badawi. Perkara seperti itu telah berlaku dlalam sebuah buku yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia. Setelah buku itu terbit, pada satu hari dalam Masjid Al Badawi Kepala Batas, Abdullah Badawi telah bersungut kepadaku mengenai gambar tersebut kepadaku.
PASAR MINGGU
Walaupun kerja mereka itu sama dengan pencuri, tetapi atas rasa kemanusiaan, hasil dari skrip-skrip filem, artikel-artikel dan buku-buku yang mereka telah mencempelakkan itu, maka dengan suci hati aku telah mengizinkan kepada mereka.
Kira-kira tiga bulan kami tinggal di Taman Melawati, kami telah berpindah ke Taman Seri Watan, Ampang. Taman itu terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah tempat isteriku mengajar.
Pada satu hari, aku telah pergi ke Pasar Minggu, Kuala Lumpur. Aku telah menemui rakan lamaku, Ustaz Abdul Rauf Ahmad. Dia bekas anggota Parti Islam Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir. Dia dan isterinya telah menjalankan perniagaan kedai menjahit pakaian.
Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, iaitu pada tahun 1967, Ustaz Abdul Rauf dan isterinya telah menjalankan perniagaan menjahit pakaian di Bandar Kuala Kangsar. Pada masa itulah aku sering bertemu dengannya.
SURAT KHABAR
Ustaz Abdul Rauf telah meminta aku membantu anak perempuannya, Fauziah Rauf – lepasan sekolah menengah di Mesir -, bersama suaminya, Omar Manan yang telah menerbitkan sebuah surat khabar mingguan, Mingguan Famili. Pejabat mereka, di Islamic City, di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Kemudian aku telah meneliti beberapa naskhah surat khabar itu. Aku mendapati kandungannya tidak dapat menarik perhatian pembaca. Banyak berita dan artikal yang disiarkan tidak mencapai tujuan sebagai suratkhabar orang ramai. Kelemahan yang utama kerana para pemberitanya tidak mendapat latihan kewartawanan dan tidak berpengalaman.
Dalam perundingan dengan Fauziah dan Omar Manan, kami telah mencapai keputusan, bahawa aku memikul tugas sebagai editor perunding surat khabar Mingguan Famili dan majalah bulanan Hawa. Ertinya aku memikul tanggungjawab memperbaiki mutu suratkhabar itu dan memulihkan kewibawaan dan profesyen para pemberita dan anggota sidang pengarangnya.
Aku telah mengadakan perubahan kepada surat khabar itu. Semua artikel-artikel mesti mengandungi bahan ’humen interest’ dan ditulis dengan cara menarik serta dapat memikat hati pembaca.
LATIHAN KEWARTAWANAN
Aku mendapati kelemahan suratkhabar itu kerana para petugasnya, terutama pemberita-pemberitanya terdiri dari mereka yang tidak mendapat latihan kewartawan dan pengalaman. Mereka menulis tidak serius atau sambil lewa. Banyak menumpukan kepada isu gosip di kalangan artis dan menulis secara serkap jarang.
Akhirnya Fauziah Rauf dan Omar Manan tekah membebankan aku dengan tugas berat dan tidak setimpal dengana bayaran yang diberikan kepadaku. Aku telah menulis artikel-artikel dalam ruang-ruangan yang telah dikhaskan kerana tidak ada artikel-artikel yang baik dari para penulis.
Omar Manan- yang menjadi pelakon sambila drama-drama tv dan bergiat dalam parti politik di Kuala Selangor telah tidak menumpu perhatian yang seriuas kepada suratkhabar tersebut.
Pada masa aku tinggal di Sri Watan, kecuali A.Samad Said (Sasterawan Negara) yang tinggal bersama isteri keduanya, di Taman Dagang, iaitu di belakang Taman Sri Watan, hampir semua penduduk Melayu di Taman Sri Watan tidak mengetahui nama sebenarku dan aku seorang penulis. Mereka telah mengenali aku dengan nama ’Ahmad’ sahaja.
PARA POLITIKUS
Walaupun taman Sri Watan telah lama dihuni oleh penduduk-penduduk Melayu dan Islam, tetapai di taman tidak ada surau. Mereka terpaksa bersembahyang berjemaah di masjid Kampung Melayu Ampang atau ke surau di taman-taman lain.
Pada satu malam kira-kira lima belas orang dari penduduk-penduduk taman itu telah mengadakan mesyuarat untuk mengadakan surau di taman tersebut. Mesyuarat itu telah diadakan di rumah seorang pemandu teksi (aku tidak dapat nyatakan namanya) yang telah mengaku dirinya rapat dengan Menteri Besar dan para politikus dalam parti kerajaan. Aku telah dijemput menyertai mesyuarat tersebut. Walau pun aku hadir dalam mesyuarat itu, tetapi aku tidak banyak bercakap, kerana aku khuatir, kalau aku banyak bercakap, aku akan dipilih untuk memegang satu-satu jawatan dalam jawatankuasa surau yang akan ditubuhkan nanti. Aku khuatir, kalau aku memegang apa-apa jawatan nanti, kejadian seperti yang telah menimpa diriku di Kampung Tanah Merah, di Perak dulu akan berulang lagi.
Tuan rumah tempat bermasyuarat itu telah banyak bercakap.Dia telah mengaku, jika dia dipilih memegang pengerusi jawatankuasa surau itu, dia akan berusaha mengadakan surau itu dengan suara. Menurutnya, dia akan mudah mendapat bantuan dari kerajaan dan orang-orang berada untuk mendapatkan wang bagi membina surau itu.
Sebuah jawatankuasa surau telah ditubuhkan. Tuan rumah itu telah dipilih dengan sebulat suara untuk menjadi pengerusinya. Aku tidak dipilih untuk memegang sebarang jawatan dalam jawatanakuasa tersebut.
JAWATANKUASA SURAU
Kira-kira tiga bulan setelah jawatankuasa surau itu ditubuhkan, Pengerusi Jawatankuasa Surau itu, tidak mengambil sebarang langkah untuk membina surau tersebut. Maka satu meyuarat untuk membubarkan jawatankuasa yang ada dan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Surau yang baru telah diadakan di rumah seorang penduduk taman itu.
Aku telah dijemput ke mesyuarat itu. Kebetulan pula, seorang penulis khat terkenal dan bekas wartawan, Haji Abdullah Salleh atau Abdullah Salehi (bekas penuntut Maahad al Ehyausy Syarif Gunung Semanggul, Perak), turut hadir dalam mesyuarat itu. Dia telah memperkenalkan aku kepada orang-orang yang hadir dalam mesyuarat itu.
Apabila sampai kepada agenda pemilihan ahli Jawatankuasa surau yang baru, maka aku telah dipilih memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa itu. Setelah aku dipilih dengan sebulat suara untuk menerajui Jawatankuasa surau tersebut, aku diterpa keyakinan; apa yang telah berlaku ke atas aku di Kampung Tanah Merah dulu akan berulang menyerkup diriku lagi.
Sebagai pengerusi aku telah memikul tanggungjawab berat. Aku bersama empat orang ahli Jawatankuasa surau itu telah pergi ke pejabat syarikat yang membina projek Taman Sri Watan, di Pudu, Kuala Lumpur, untuk memohon ihsan pihak syarikat itu supaya diberi peluang kepada kami menggunakan tingkat bawah bangunan kedai mereka yang baru siap dibina dan masih kosong, di taman tersebut untuk kami jadikan surau sementara pada sepanjang bulan Ramadan yang akan menjelang kira-kira sebulan lagi.
LEMBAAGA PENGARAH
Apabila kami masuk ke dalam pejabat itu, seorang kenalanku, Encik Ismail Karana, iaitu bekas Pegawai Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, ada di situ. Dia adalah salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Setelah aku mengemukan hasrat dan hajat kami kepada Encik Ismail Karana dan beberapa orang ahli lembaga pengarah syarikat tersebut yang terdiri dari orang-orang China, maka mereka telah bermurah hati membenarkan kami menggunakan bangunan kedai kosong itu sebagai surau sementara secara percuma pada sepanjang bulan puasa.
Pihak lembaga pengarah syarikat itu telah bermurah hati, membenarkan kami menggunakan tingkat bawah dan tingkast atas bangunan itu, sementara kami dapat membina surau di taman itu.
Dalam majlis pada hari Raya Puasa yang telah diadakan, di surau sementara itu, aku telah berucap kepada sidang jemaah. Aku telah memberitahu kepada mereka yang aku meminta pinjam wang kepada sesiapa sahaja untuk membina surau baru yang biayanya kira-kira RM10,000. Surau itu akan dibina dengan kayu, lantai simen dan beratapkan zink. Aku memberitahu mereka yang aku akan mencagarkan sekeping tanahku di Kuala Kangsar kepada sesiapa yang memberi pinjaman wangnya kepada jawatankuasa surau itu.
ORANG LUAR
Seminggu kemudian aku telah diberitahu oleh seorang ahli jawatankuasa surau, bahawa ada seorang perempuan ahli prniagaan, di Subang Jaya hendak memberi pinjaman wang kepada kami. Perempuan itu telah meminta aku dan beberapa orang ahli jawatankuasa surau itu datang ke pejabatnya.
Dipendekkan kisah, orang yang bermurah hati itu, ialah janda kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Abu Bakar Baginda, Puan Mardiana Abu Bakar. Dia telah mendermakan wangnya kepada jawatankuasa surau kami sebanyak RM30,000. Dia telah berjanji, sekiranya wang itu tidak mencukup untuk membina surau itu, dia akan ditambahkan lagi. Maka dengan wang itu kami telah membina surau di taman itu.2
Pada masa itu kawasan Dewan Rakyat (Ampang Jaya) diwakili oleh Puan Rahmah Othman. Aku mula berkenalan dengannya pada masa dia menjadi pegawai di South Asia Press Centre, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Aku telah menulis surat kepadanya untuk meminta bantuan wang kerajaan sebanyak RM3,000 untuk membina pagar surau itu. Dia telah meluluskan permohonanku itu dan kami telah membina pagar itu secara bergotong royong.
Sebaik-baik sahaja surau itu telah siap dan dapat digunakan, aku terpaksa meletakkan jawatan pengerusi jawatankuasanya, kerana terdapat beberapa orang dari sidang jemaahnya yang mahu merebutkan jawatan itu daripada aku. Mereka telah menimbulkan ’isu aku orang luar’, iaitu bukan anak negeri Selangor tidak sesuai mempimpin jawatankuasa surau mereka. Mereka mahukan seorang anak negeri Selangor mengetuai jawatankuasa surau itu.
(Dari manuskrip buku, Memir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid).
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.