Mokhtar Petah
Sekitar 1942 - 1945
Aku mengakui, sesunguh anggota-angota tentera anti Jepun – Malayan People’s Anti – Japanese Army (MPAJA) atau Tentera Anti-Jepun Rakyat Maslaya (TAJRM) dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang terdiri dari oprang-orang China dan kaum-kaum lain tidak zalim seperti yang dilaung-laungkan oleh penjajah Inggeris Jepun dan Amerika. Mereka hanya telah membunuh orang-orang yang menentang mereka, menjadi tali barut Jepun dan penjajah lain.
Sebenarnya yang telah melakukan kezaliman kepada rakyat di seluruh Tanah Melayu, ialah askar-askar Jepun dan orang-orang China tentera Guomindang ( Parti kebangsaan Rakyat Cina) yang dipimpin oleh General Chiang Kai-Shek(Jiang Jie Shi:1887-11975) yang telah diseludup masuk ke Tanah Melayu oleh Central Intelligence Agency (CIA) melalui Siam dengan tujuan untuk memburuk-burukkan anggota – anggota Parti Komunis Malaya (PKM) supaya orang-orang Melayu terutamanya, bencikan orang-orang China dari parti tersebut.
Askar-askar Guomindang (Kuomintang) itulah yang telah mempengaruhi orang-orang China supaya memusuhi orang Melayu dan membunuh mereka. Perkara itu telah diketahui oleh pihak British kemudiannya apabila seorang askar Guomindang telah dapat ditangkap di Johor. Kerana kebanyakan ahli-ahli Parti Komunis Malaya terdiri daripada pemuda-pemuda Cina pekebun sayur dan buruh lombong yang tidak berpelajaran, maka mereka telah terepengaruh dengan propaganda orang-orang Guomindan untuk membunuh orang-orang Melayu.
Abang saudaraku, Abdullah Kuak telah dibunuh bersama dua orang lagi di Jiran China Lenggong. Adiknya Abdul Rahman bersama isterinya, Aishah binti Haji Mohd.Zain telah diculik sekumpulan orang-orang China dari rumah mereka di Kampung Ngor pada waktu malam dan di bawah ke dalam banjaran gunung Bintang Hijau. Mayat mereka telah tidak dijumpai.
Orang-orang China askar Guomindang telah membunuh lebih tiga ratus orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak di kampung Bekor,1 Manong dekat Kuala Kangsar. Sampai kini batu-batu nisan menandakan pusara-pusara tempat bersemadinya mangsa-mangsa kekejaman orang-orang China itu masih berceracak di bawah rumah – rumah dan di sekitar kampung tersebut.
’Orang Tionghua yang lari dari Pusing (dekat Ipoh) itu telah membentuk kumpulan bersenjata dan mara menyerang Bekor. Di Bekor, seorang anggota parti Melayu bernama Harun (nama samaran masa itu, saya tak ingat nama rasminya) cuba menyekat orang Tionghua itu di kepala sebuah jambatan. Beliau mendepa kedua-dua belah tangannya Sambil menyeru kumpulan orang Tionghua itu supaya bersabar dan berhenti menyerang. Harun berkata: ”Saya rela mati di sini jika kamu tak mahu mendengar.” Kumpulan orang Tionghua itu terus merempuh masuk dan menetak beliau hingga mati. Harun adalah kader Melayu PKM yang bertanggungjawab atas kerja massa di Bekor dan kawasan-kawasan sekitarnya. Beliau dihormati oleh orang Melayu dan orang Tiongkua di kawasan tersebut.
Selanjutnya kumpulan orang Tionghua itu terus menyerang orang Melayu di Bekor, membakar masjid, rumah dan harta benda. Saya berasa teramat sedih mendengar berita malang itu dan terasa menyesal yang amat sangat kerana tidak dapat pergi ke Pusing menyelesaikan hal itu seperti yang telah saya lakukan di Teluk Anson.
Selepas tragedi itu, Dr Burhanuddin Al – Helmy dan beberapa pemimpin PKMM pergi ke situ untuk memberi penerangan kepada orang ramai. Yang peliknya, mengikut Dr Burhnuddin Al – Helmy, tidak ada pasukan parang panjang di Bekor. Rupa-rupanya pasukan parang panjang yang dimaksudkan itu adalah sejumlah anggota Pasukan Force 136 bersama beberapa orang lain melakukan pembunuhan ke atas orang-orang Tionghua. Dengan itu kami mendapati bahawa peristiwa itu adalah sengaja dilakukan oleh penjajah British.’ 2
Orang-orang China dari Kuomindang juga telah membunuh ramai orang-orang Melayu dalam kawasan Sungai Manik dekat Teluk Anson, Perak dan di Batu Pahat, Johor.
Kerana orang-orang Melayu tidak tahan lagi menderita dibunuh dan disiksa oleh orang-orang Cina, maka wujudlah beberapa kumpulan orang Melayu yang diketuai oleh beberapa orang Sheikh parang panjang di beberapa tempat, di Tanah Melayu. Di antara mereka itu Sheikh Othman - cincin tembaga (Taiping), Sheikh Idris – tangkal kulit kambing putih (Kuala Kangsar), Tok Janggut – ilmu ratib dan senjata ghaib (Tanjung Rambai, Grik) dan Kiyai Salleh – mandi minyak, Batu Pahat.
Pada masa parang panjang aku masih belum remaja, tetapi aku telah turut belajar ilmu tersebut, iaitu ilmu menghadang musuh, ilmu kebal, ilmu ghaib dan sebagainya. Semua ilmu itu diamalkan dengan cara wirid nama-nama Allah, ayat-ayat Quran. Aku telah tiga kali mandi minyak panas (minyak panas menjadi dingin waktu kami memasukkan tanganku ke dalam minyak yang mengelegak dalam kawah). Aku juga pernah diuji, iaitu ditembak dengan senapang dan pisatul pada belakangku, tetapi dengan kuasa Allah kulit tubuhku tidak tembuk atau tercalar.
Bapaku adalah salah seorang dari pembantu-pembantu para sheikh parang panjang itu. Dia boleh mengeluarkan beratus-ratus bentuk cincin tembaga dari sebuku keminyan sebesar kepala lutut orang dewasa. Cincin-cincin itu kemudiannya dipakai oleh mereka yang mengamalkan ilmu parang panjang tersebut..
Pada satu hari bapaku dengan berpakaian seluar dari kain khaki, kemeja putih dan baju kot (over coat) dari kain khaki juga telah pergi ke bandar Kuala Kangar kerana urusan seorang penduduk kampungnya. Pada waktu dia hendak pulang, setibanya di stesen bas bandar itu, telah berlaku satu kejadian seorang anggota mata-mata gelap, seorang lelaki Cina mengganggu seorang gadis Melayu. Ayahku telah memarahinya. Kerana bapaku telah mengganggunya, maka mata-mata gelap itu dengan marah dia telah menerkam bapaku dan cuba hendak menumbuknya dengan cara kuntau Cina, tetapi bapaku telah mengelak. Setelah beberapa kali mata-mata gelap itu hendak menumbuk dan menendangnya, bapaku telah melepaskan penumbuknya ke muka mata-mata gelap itu. Dia telah mengundur beberapa langkah ke belakang dan telah menembak dua das ke dada bapaku dengan pistol automatiknya. Baju kot (over coat) dan baju kemeja di badan bapaku telah berlubang-lubang pada bahagian dadanya kerana ditembuskan oleh peluru-peluru pistol itu, tetapi kulit dada bapaku tidak luka sedikit pun.
Pada satu malam, bapaku bersama enam orang rakannya yang mengamalkan ilmu parang panjang telah berjaya membunuh – dengan memancung leher -, dua belas orang lelaki China ahli Parti Komunis Malaya (PKM) atau orang-orang Kuomintang yang sedang berkhemah di satu tempat, di tepi Sungai Perak.
Bapaku telah diberitahu oleh seorang penduduk di tepi Sungai Perak, bahawa ahli-ahli Parti Komunis Malaya (PKM) itu telah menyamun tiga kekuarga di sana. Mereka telah merampas wang dan barang-barang kemas. Khabar yang tidak jelas, kononnya pengganas-pengganas itu telah merogol dua orang perempuan muda dari keluarga-keluarga yang telah menjadi mangsa samun mereka.
Bapaku dan rakan-rakannya telah menyerang pengganas-pengganas itu. Kemudian mereka telah mencampakkan semua mayat tersebut bersama senjata-senjata mereka ke dalam Sungai Perak.3
’Di kalangan orang-orang Melayu sendiri sebenarnya kecurigaan terhadap kaum Cina sudah wujud sejak bermulanya gerakan komunis dan PKM. Penolakan orang-orang Melayu terhadap PKM banyak bertolak daripada ideologinya sendiri yang bersifat atheisme atau anti –Tuhan. Oleh kerana PKM itu sendiri sehingga tahun 1941 di anggotai oleh kaum Cina, maka dengan sendirinya dianggap yang kaum Cina itu sinonim dengan Komunis. Dengan itu bilamana tertubuhnya MPAJA, dengan sendirinya sikap anti – Komunis itu menjadi sikap anti –Cina.
Kemuncak dari konflik perkauman ini berlaku sebaik sahaja tamat peperangan dan penyerahan tentera Jepun pada tahun 1945. Sejak dari masa penyerahan ini sehingga kedatangan British Military Administration (BMA), iaitu tempoh kekosongan kuasa selama dua tiga minggu, berlakulah apa yang disebut sebagai ’reign of terror’, iaitu pemerintahan kejam oleh gerila MPAJA atau Bintang Tiga. Pada masa inilah berkuasanya pistol dan pisau yang menjadi mangsanya, ialah orang-orang Melayu.’4
Pada waktu aku menulis buku ini, aku masih berpegang kuat pada keyakinanku, bahawa tidak dapat dielakkan akan berlaku perkelahian antara kaum pada masa akan datang sekiranya antara penduduk-penduduk yang berbagai kaum di negara ini masih ada sikap merebut atau memonopoli habuan dalam ekonomi, tipu daya ke atas orang-orang Melayu, memandang rendah kepada anak watan, menghina atau mempersendakan agama Islam, menuntut hak penggunaan bahasa mereka dan menolak atau memperkecilkan bahasa Melayu.
Kita tidak menolak akan jatuh dan bangun sesuatu bangsa di dunia yang mungkin berlaku pada hari- hari mendatang atau beberapa tahun di muka. Mungkin orang-orang pendatang di negara ini berjaya memperkotak-katikkan bangsa Melayu kerana mereka serba mampu, tetapi tindakan itu mengundang kebangkitan dari generasi baru bangsa Melayu yang bepegang kepada agama Islam terutama ’akidah dan jihad’ yang akan memusnahkan kemungkaran mereka itu dan membangun semula bangsa Melayu dan agama Islam.
Jika di kalangan orang-orang keturunan pendatang di negara ini ada nafsu untuk melakukan sepereti di atas, maka berertilah mereka itu seperti orang-orang mengali kubur untuk diri mereka sendri sahaja.
Pada masa silam, penjajah-penjajah British, Amerika, Jerman, Belanda dan bangsa-bangsa lain telah menjajah dan menindas bangsa-bangsa di sekluruh dunia, tetapi sekarang bangsa-bangsa yang tertindas itu telah bangun sebagai manusia-manusia yang bebas dalam negara mereka yang merdeka.
Semua kaum di negara ini akan dapat hidup aman damai, sekiranya orang-orang Islam berpegang kepada doktrin dari Allah dalam al Quran, iaitu, ’...hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.’5 Kaum-kaum lain pula tidak bermain dengan sentimen perkauman, bahasa, politik dan agama dan bernafsu untuk merampas hak atau menjajah atau tidak bersikap ’telunjuk lurus kelingking berkait’.
1 Wartawan, Allahyarham Ahmad bin Arif telah menulis dan menerbitkan sebuah novel
mengenai tragedi di Kampung Bekor yang berjudul ’ Air Mata Mengalir Di Kampung Bekor’ pada
tahun 1950-an.
2 Abdullah C.D., 2005, Memoir Abdullah C.D. Zaman Pergerakan Sehingga 1948, Petaling Jaya,
Strategi Imformation Research Development, hlm:115.
3 Cerita dari bapaku kepadaku setelah beberapa hari berlaku kejadian itu.
4 Abdullh bin Haji Abdul Rahman, 1994, Gerakan Anti Penjajahan 1511 – 1950, Kuala Lumpur,
Penerbitan Tinta Sdn Bhd., hlm. 111.
5 Quran – Ali Imran:112
(Suntingan dari buku,Momoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid)
Salam ... Tuan, Mohon Izin copy artikel untu blog PB2W ...
ReplyDelete