Friday, June 19, 2009

KHUTBAH jUMAAT WILAYAN PERSEKUTUAN


WATAK MANUSIA YANG DIBENCI OLEH ISLAM

(19 JUN 2009 / 25 JAMADIL AKHIR 1430)



Di kesempatan dalam masjid yang mulia penuh berkat ini, saya menyeru diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: Watak Manusia Yang Dibenci Oleh Islam ”.


Allah SWT mencipta alam dan muka bumi dengan sempurna supaya manusia dapat hidup aman damai. Bagaimanapun terdapat manusia yang suka mengganggu ketenterman dan kesejahteraan itu sendiri. Dalam al-Qur’an disebutkan empat watak manusia yang sebegini. Sama ada dalam kehidupan peribadi, berjiran tetangga, bermasyarakat, berbangsa atau bernegara. Keempat-empat watak ini selalunya mengganggu masyarakat dan sentiasa bekerja mengelabui mata orang ramai, mempersenda-sendakan agama dan melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat dan ummah.

Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah) bahwa Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya. Dan apabila ia berpaling, berjalanlah ia di bumi, untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada kerosakan.” - Al Baqarah: 204 , 205.

Antara watak tersebut adalah:

Watak Pertama: Manusia yang bermulut manis dibibir tetapi hati penuh dengan racun berbisa. Manusia jenis ini sangat pandai berkata-kata dan mempunyai daya tarikan yang mempersonakan hati ramai orang. Dia boleh dianggap mempunyai hati yang baik, jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan seorang pemikir yang sentiasa memikirkan kepentingan umum tetapi pada hakikatnya adalah lain dibibir lain dihati.

Pada pandangan agama Islam, manusia seperti ini adalah seorang yang munafik. Zahirnya mengatakan ’Ya’ tetapi batinnya mengatakan ’Tidak’. Manakala dalam masyarakat Melayu, dia dipanggil ’Musuh Dalam Selimut’, ’Musang Berbulu Ayam’ atau ’Telunjuk Lurus Kelingking Berkait’.

Watak Kedua: Manusia perosak masyarakat. Manusia jenis ini tidak mempunyai rasa malu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat. Kerosakkan yang dilakukan adalah semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan dan emosi apabila melihat orang lain mendapat kebaikan.

Antara musibah yang menimpa masyarakat dengan adanya manusia sebegini adalah lahir kumpulan yang suka menyalahkan orang lain atau kumpulan lain. Ada yang sanggup mencaci, menghina, memaki orang lain. Kita perlu ingat bahawa watak ini tidak dapat menyelesaikan masalah ummah tetapi menambahkan beban masalah buat masyarakat dan negara. Justeru itu, manusia yang terlibat dalam kelompok ini, gemar mencela, mengumpat, mengutuk, memfitnah tanpa dasar yang betul. Adalah suatu kezaliman sekiranya seseorang menuduh orang lain melakukan perbuatan yang tidak dilakukan olehnya.

Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita dalam sebuah hadith:

Janganlah kamu mencaci maki para pemimpin. Doakanlah kebaikan untuk mereka kerana sesungguhnya kebaikan mereka membawa kebaikan untuk kamu juga”. - At Thobrani.

Salah satu perkara yang dilakukan oleh mereka ini ialah melalui penyebaran berita palsu dan fitnah. Fitnah dilakukan sama ada melalui perkataan, ucapan atau tulisan. Pada zaman era globalisasi ini pelbagai fenomena fitnah telah muncul. Justeru, umat Islam hendaklah berusaha menolak dan menjauhi daripada terlibat. Alat-alat tekonologi yang maju patut digunakan untuk faedah dan kebaikan manusia dan bukannya disalahgunakan.

Sedarilah bahaya fitnah tersebut boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jika fitnah terkena kepada pemimpin, maka jatuhlah kepimpinannya. Jika fitnah itu mengenai guru, maka hilanglah kewibawaannya sebagai pendidik. Dan jika fitnah itu mengenai suami isteri, maka bergoncanglah keharmonian rumah tangga dan keluarga.

Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”.- Al anfal:25

Watak Ketiga pula ialah: Manusia yang tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima kritikan, tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima pendapat orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Mereka ini jika diajak membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan yang betul, diajak secara jujur, maka mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak.

Watak manusia sebegini adalah disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan diri sendiri atau kumpulan mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya daripada orang lain. Lantaran itu manusia seperti ini akan menjadikan sesiapa sahaja sebagai ‘Kambing Hitam’ untuk menutup segala kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri mereka.

Kesemua watak manusia yang dinyatakan tadi mengajak kita semua berfikir dan berwaspada supaya tidak menjadi golongan berkenaan. Untuk itu mimbar menyeru semua pihak dan sidang jemaah sekalian, sedarilah bahawa masyarakat yang bertamadun akan mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan jahat yang boleh memusnahkan agama, masyarakat dan negara. Semoga dengan sikap sedemikian kita tidak terjerumus ke dalam perbalahan, perpecahan, pencerobohan hak, pertumpahan darah dan sebagainya.

Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau jika Ia memberikan rahmat kepada kamu? Dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun selain Allah, pelindung atau penolong mereka.” - Al-Ahzab:17)

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM)




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.