Kemelesetan boleh diatasi
Oleh Ridzuan Yop, Mohd Feroz Abu Bakar dan Han Kar Kay
bhnews@bharian.com.my
MUHYIDDIN bersama Penasihat Menteri Besar, Datuk Chang Ko Youn (dari kanan); Dr Zambry; Speaker DUN Perak, Datuk R Ganesan; Penasihat Menteri Besar, Datuk S Veerasingam; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Datuk Bandar Ipoh; Datuk Roshidi Hashim di sebuah kedai kopi di sekitar kawasan Little India, di Ipoh, semalam. |
Ekonomi Malaysia cepat pulih berbanding negara maju: TPM Muhyiddin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kepada kemampuan Malaysia menguruskan ekonomi lebih baik melalui pakej rangsangan ekonomi RM67 bilion yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau berkata, Amerika Syarikat, Eropah serta Singapura ketika ini menerima kesan kemelesetan paling teruk dalam sejarah ekonomi negara berkenaan berbanding Malaysia.
"Kerajaan berharap akan dapat keluar daripada belenggu kemelut ekonomi dunia yang melanda negara ketika ini lebih awal dan pada masa sama dapat menyediakan peluang ekonomi lebih besar kepada rakyat.
"Sebagai antara negara perdagangan terbesar, Malaysia mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik, walaupun turut menerima kesan krisis ekonomi global," katanya pada majlis perjumpaan dengan ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta warga pendidik Perak, di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco).
Muhyiddin berkata, kerajaan mahu melihat peruntukan melalui pakej rangsangan itu dibelanjakan dengan betul dan dapat menambah mutu dan memperbaiki taraf hidup serta sosio ekonomi rakyat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh kakitangan kerajaan dan agensi serta warga pendidik berkaitan sistem penyampaian, kenaikan gaji dan peranan media.
Sementara itu, katanya, kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Perak perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam kepada kerajaan yang memerintah ketika ini.
"Dalam konteks Perak yang baru berlaku peralihan kuasa, semua penjawat awam bertanggungjawab terhadap kerajaan yang berkuasa hari ini dan perlu melaksanakan tugas mereka seperti biasa dengan amanah," katanya.
Ketika menjawab soalan seorang kakitangan awam yang mendakwa ada akhbar serta media elektronik bahasa Mandarin kerap menyiarkan laporan negatif terhadap kerajaan, Muhyiddin berkata, beliau mahu pihak berkenaan melaporkan berita mereka secara profesional.
Sementara itu Muhyiddin berkata, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memberi nasihat kepada semua pemimpin peringkat Pusat supaya mempertingkat pembangunan di negeri ini ketika beliau menghadap baginda di Istana Kinta, di sini, petang semalam.
"Saya berterima kasih kepada Tuanku kerana memberi perkenan untuk saya menghadap dan menghargai pandangan baginda mengenai pentingnya semua pihak membantu proses pembangunan di Perak," katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat sentiasa komited untuk membangunkan Perak dalam aspek yang memberi keselesaan kepada orang-ramai selaras dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan.
(Berita ini dari Berita Harian Online, 26 Jun 2009)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.