Friday, May 1, 2009

KHUTBAH JUMAAT W.PERSEKUTUAN K.L.




Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


“WABAK SELSEMA BABI SATU PERINGATAN ALLAH

(01 MEI 2009 / 06 JAMADIL AWWAL 1430)

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah: WABAK SELSEMA BABI SATU PERINGATAN ALLAH.

Dunia seringkali dikejutkan dengan pelbagai ancaman wabak penyakit. Beberapa tahun lalu kita dikejutkan dengan ancaman Selsema Burung, JE, Denggi, Chikungunya, dan HIV. Kini sekali lagi dunia berdepan dengan wabak yang menakutkan iaitu Wabak Selsema Babi. Sehingga kini seramai 159 orang disahkan meninggal dunia dan lebih 1,300 orang sebagai pengidap. Antara negara yang terlibat ialah Mexico, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kepada semua negara agar mengambil langkah tegas mengawal penularan wabak ini. Wabak Selsema Babi adalah kombinasi daripada tiga virus iaitu Virus Selsema Burung, Virus Selsema Manusia dan Virus Selsema Babi. Virus ini menyerang sistem pernafasan disebabkan oleh virus selsema jenis A (H1N1) yang mula dikesan sejak 1988.

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Kesan yang dikenal pasti apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit.

Al-Qur’an banyak memberi amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat. Di antara kesengsaraan di dunia ialah seperti bencana alam, peperangan, kemalangan, dan serangan wabak penyakit.

Persoalan besar yang timbul ialah apakah perkaitan antara pengharaman babi dengan wabak yang dahsyat ini?. Benarkah virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya pada babi?. Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa. Justeru sejak 1430 tahun hijrah lalu, al-Qur’an telah memperingatkan sebanyak empat kali tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 3:

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”

Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa Allah s.w.t. mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah azza wa jalla dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan. Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.

Dalam menghadapi ancaman wabak selesema babi ini, mimbar menyeru semua pihak agar mengambil perhatian serius terhadap serangan wabak ini. Lebih-lebih lagi pihak berkuasa negara, perlulah mengawal pintu masuk negara daripada kemasukan pelancong ke negara ini yang dikhuatiri membawa virus tersebut. Seterusnya mempastikan warganegara Malaysia tidak berkunjung ke negara yang dilanda wabak, di samping perlunya peraturan dan kawalan ketat terhadap aktiviti penternakan babi di negara ini. Sebagai muslim, kita mestilah berusaha mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah Azza wa jalla dalam menghadapi apa jua ancaman dan musibah.

Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya. Mimbar amat mengharapkan adanya usaha yang terancang pihak kerajaan dalam menguatkuasakan pengharaman ke atas perkara-perkara yang jelas ditegah oleh Allah s.w.t.

Maksudnya: Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”


==========


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ SOLAT PENANDA ARAS KEKUATAN AKHLAK ”

(24 April 2009 / 28 Rabiul Akhir 1430)

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita tingkatkan taqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “ SOLAT PENANDA ARAS KEKUATAN AKHLAK ”.

Allah s.w.t. telah mewajibkan solat fardhu lima kali sehari semalam sebagai jadual Allah untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila kita ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah s.w.t. yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat daripada-Nya. Kekuatan solat ini akan menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur pematuhan kita kepada syariat Islam. Kelemahan kita dalam menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.

Justeru, betapa besar pengaruh solat terhadap kualiti keislaman ini, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa solat adalah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal yang paling mulia. Tertegaknya solat bermaksud tertegaklah agama, dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam dan jemaah sekalian digalak memulakan amalan solat semasa berumur tujuh tahun. Apabila telah berumur sepuluh tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Kalau ingkar mengerjakannya, maka diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Thahaa ayat 132:

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”

Demikianlah tingginya kewajipan seorang muslim terhadap ibadah solat. Solat adalah amanah Allah s.w.t.. Sekiranya kita memelihara solat, nescaya kita sentiasa dipelihara oleh Allah, manakala jika kita mengabaikannya, maka kita tergolong orang yang rugi. Persoalan besar timbul ialah, apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat ini?. Antara lain, faedahnya ialah untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia itu sendiri.

Solat adalah benteng diri daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ini bermakna, muslim yang istiqamah solatnya akan menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal soleh, bersifat amanah, berintegriti tinggi, dan berjiwa tawadhuk. Walau bagaimanapun berdasarkan pemerhatian mimbar, mereka yang mengabai dan meringan-ringankan pelaksanaan solat ini cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam, dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan dirinya dan masyarakat.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya di hari kiamat. Manakala mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela, dan penyelamat. Bahkan mereka akan diletakkan bersama-sama dengan Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubay bin Khalaf.”

Berdasarkan hadith tadi, orang yang meninggalkan solat disebabkan harta akan dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Fir’aun, jika disebabkan jawatan akan dihimpun bersama Haman, dan jika disebabkan dunia korporat pula akan dihimpun bersama Ubay bin Khalaf seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat. Kesemua watak korup ini boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, dan perceraian yang semakin meningkat hari ini, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.

Mimbar ingin mengingatkan, bahawa melakukan dosa besar bukan sahaja kerana berzina, mencuri, minum arak, menderhakai ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah s.w.t dan sangat dahsyat azabnya di dunia dan di akhirat kelak. Ini telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam salah satu gambaran azab sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj di mana orang yang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang-ulang kali. Selain itu, Allah s.w.t. akan mencampakkan golongan ini ke dalam neraka Saqar.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Muddaththir ayat 43:

Maksudnya:Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”

Sekiranya kita dimurkai oleh Allah s.w.t., siapakah lagi yang boleh kita harapkan untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak?. Lupakah kita tentang ingatan Rasulullah s.a.w. supaya tidak mengabaikan solat di saat akhir hayat baginda?. Begitu juga kisah ambil berat Saidina ‘Umar bin al-Khattab tentang solat walaupun dalam keadaan tidak sihat akibat ditikam oleh Abu Lu’lu’ah al-Majusi, tetapi apabila mendengar seruan solat!solat, beliau segera bangun mendirikannya.

Sempena kempen bulan dakwah di seluruh negara, maka mimbar ingin bertanya, apakah peranan para jemaah dan umat Islam sekalian dalam usaha menjadikan kekuatan solat itu sebagai penanda aras kekuatan kualiti beragama?. Mimbar menyeru ketua-ketua jabatan, majikan, pemimpin masyarakat dan ibu bapa sekalian supaya mengambilberat tentang kewajipan bersolat terhadap orang jagaan kita. Jangan bersifat lepas tangan. Sumbangan kita menggalakkan solat atau menyediakan kemudahan tempat solat yang selesa adalah dianggap sebagai langkah mendekati Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 71:

Maksudnya: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, melarang daripada berbuat kejahatan; mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.