Saturday, February 7, 2009

SAJAK

KULUM LIDAH SENDIRI

(Untuk Dr.Zambry Abdul Kadir)

Merdeheka!Merdeheka!Merdeheka!

Laung Tunku Abdul Rahman ke langit biru,

dalam bandar berkongsi kuasa,

bagai terhenti alir sungai kelang dan Gombak,

terjaga merpati di Belakang Mati.


Merdeka! di mana - mana,

Perak negeri bijih timah’

Laksana senyum dara malam pertama,

Ghazali Jawi Menteri Besar,

Semua turunan baka bersatu setia.


Ada cerita yang tidak enak,

para politikus resah - gelora,

Ghazali Jawi dipindahkan ke Kahirah,

kerana cerita belum menentu,

nama parti mesti dijaga.


Shaari Pie peniaga kopi,

bertengkolok garang di hadapan Sultan,

Sumpah setia pantang dipunggah,

Menteri Besar adil dan saksama,

Tidur malamnya sukar nyenyak,

Rakyat Perak kulum lidah sendiri.


Sulaiman Bulon kerani penghulu,

jadi juara kucah Shaari,

Pekembar negeri pecah dua,

Krisis politik rebut kuasa,

Timbalan Menteri Besar disandangkan.


Duduk tegaknya laksana panah tanpa busar,

Rakyat ketawa lotong kakah sama,

Rakyat kulum lidah sendiri jua,

Anak mati lapar dalam buaian.


Ahmad Said peniaga getah,

dinobat memerintah negeri bertuah,

Menteri Besar junjung penuh kuasa,

pilih kasih haram baginya,

Rimba balak reda melapang.


Kamaruddin Isa guru Melayu,

Dari Batu Kurau santun beradat,

Menteri Besar tegar iman,

Dikasih Sultan disanjung rakyat,

lembutny, dibuli rakan seperjuangan.


Ghazali Jawi menepuk dada,

Sultan perkenan atau murka,

“Saya tetap Menteri besar,” katanya,

Ramai menuduhnya durhaka,

Nazar Sultan wajah berjambang.


Panas kerusi tidak terperi,

Ghazali Jawi diturun Presiden,

Wan Mohamed kerani keretapi,

Menteri Besar berhasrat mulia,

Rakyat Perak aman makmur.


Rakyat Perak kulum lidah sendiri,

Ramli Ngah Talib cendekiawan Melayu,

Dalam dadanya sarat Ilmu lembaga,

dipilih Sultan memimpin negeri,

Pembangunan pesat di mana - mana.


Tajol Rosli waris pejuang kemerdekaan,

Ghazali Jawi pancur lahirnya,

Menteri Besar penuh azam,

Takdir Tuhan atas segala,

Kuasanya roboh dik pakatan rakyat.


Mohammed Nizar Menteri Besar,

PAS medan jihadnya,

Terapung atas dua harakah,

DAP pendesak melewati batas,

Serbasalahnya sering ketara.

Perebutan kuasa sesama insan,

Mohammed Nizar diperinta Baginda,

Ibarat benam sauh tengah gelora,

lembaga adat jadi teka teki,

Siapa benar siapa reda.


Putera nelayan Pulau Pangkor,

Bekas pensyarah Universiti Islam,

Dr. Zambry lama diduga,

Pikul amanah Menteri Besar,

Perkenan Sultan beradat lembaga.


Ramai rakyat kulum lidah sendiri,

Menanti saksama rukun dan hukum,

Bijak jujur pemimpin muda,

mengubah denai menyimpang belat,

Semua murba rasa belaka.


Ada doa dalam masjid,

Moga Allah kurnia hidayat,

Zabri dibimbing ke jalan makruf,

Adil perintahnya seluruh negeri,

Kulum lidah sendiri terhapus sudah.


Bukit Chandan .............. …Mokhtar Petah

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.