MENGENAI PENTADBIRAN NEGERI SELANGOR DAN ELIZABETH WONG
Sukacita saya memaklumkan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Rabu, 25 Februari 2009 dan menyembah kepada baginda perkembangan hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor serta isu yang melibatkan Yang Berhormat Elizabeth Wong Keat Ping, ADUN Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizabeth Wong kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan melibatkan kedudukan Elizabeth Wong dalam politik. Sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik (above politic).
Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Menteri Besar dan percaya bahawa ia dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya. Baginda turut merasa dukacita dan amat bimbang kerana sejak akhir-akhir ini perbuatan menceroboh hak peribadi dan ’privacy’ individu telah dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang. Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai.
Kepada Elizabeth Wong, baginda melahirkan rasa sedih dan simpati di atas insiden yang telah berlaku dan berharap agar beliau dapat bertenang, sabar dan menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan ini dan meneruskan kehidupan seharian beliau.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.