Sunday, February 8, 2009

GADIS, PROFESOR, MINYAK BELACAK


Oleh:Mokhtar Petah

Pulau Langkawi, waktu 11.00 pagi.

Seorang gadis Melayu. Cantik. Sedang duduk menghadap meja ubat-ubatan tradisional yang terletak sekadar empat meter dari pintu lif hotel Dayang. Dahinya luas, sepasang matanya jernih dan bersinar laksana air perigi di bawah langit petang. Keningnya taji dibentuk. Pada pipi kanannya terhias lesung pipit. Dagunya laksana lebah bergayut itu berparut kecil. Parut itu menambahkan ayu wajahnya.

Mulutnya dengan dua ulas bibir merah basahnya bak ulas limau itu, mengeluarkan suaranya yang menarik minat beberapa orang pelancong yang sedang mengelilingi mejanya..

Tubuh gadis itu dalam sepasang baju kurung warna pucuk pisang. Kepalanya berbungkus dengan selendang warna biru tua.

BOTOL TELANJANG

Atas meja kayu yang beralaskan kain putih itu, bersusun rapi kira-kira lima puluh botol kecil telanjang. Botol-botol itu berisi minyak gamat dan minyak belacak. Sementara di sudut meja itu kotak-kotak kecil berisi ubat tradisional Melayu; serbuk tongkat Ali, Mas Cotek, kacip Fatimah, janda galak, mengkudu dan beberapa jenis harba lagi.

“ Ini minyak gamat Langkawi, macam-macam khasiatnya ...,” katanya sambil memegang botol plastik sebesar ibu jari berisi minyak belacak.

“Lukaka ..., kembung peghutka ..., terseliuh ..., bengkak ..., lenguh-lenguh sendi ..., bagus, minyak belacak ni..., mujarab, cepat sembuh...,” katanya meyakinkan orang-orang yang mendengar.

“Ini minyak apa ...?” Seorang pelancong lelaki bertanya.

“ ...iaa, ini minyak belacak, baik untuk orang lelaki...,” jawabnya.

“Bagus, saya dah faham ..., saya hendak dua botol,” kata lelaki itu.

“Dua botol aje?” Gadis itu bertanya.

“Tak apa, dua botol dulu, lain kali saya datang ke sini, saya akan beli lagi ...,” jawab lelaki itu.

“Ia, baik ...,”sahut gadis itu.

Sebaik-baik sahaja dua botol minyak belacak itu berpindah ke tangan lelaki itu, dua bola mata gadis tersebut terhumban kepada profesor Hamidi yang baru keluar dari lif. Entah mengapa, tiba-tiba dia terasa jantungnya berkocak.

“ ... mai, mai, tuan, ini minyak belacak, bagus...,” katanya sambil menunjukkan sebotol minyak belacak sebesar ibu jari kepada Profesor Hamidi yang sedang melangkah ke arahnya.

“Minyak apa ..., belacak?” Tanya Profesor Hamaidi.

“Ia, bagus, belacak ni ..., Tuan, mujarab..., tuan,” jawab gadis itu.

“...ubat ..., ubat sakit apa?” Profesor Hamidi bertanya.

“Aaa, ubat, sakit ..., sakit ..., semua orang tau sakit tu ...,” gadis itu menjawab. Mesra..

“Semua orang tau...?” Profesor Hamidi bertanya lagi.

“Ia, tuan” jawabnya.

LELAKI BERJAMBANG

Gadis itu mengangguk. Senyum. Degup jantungnya seperti menendang-tendang dinding dadanya. Timbul perasaan hairan dalam hatinya terhadap lelaki berjambang, beremisi dan berjanggut itu. Hatinya meneka; boleh jadi lelaki itu doktor homeopati, profesor universiti, pengarang, pelukis atau ahli sains.

Pada saat itu, Profesor Hamidi teringat akan seorang rakannya dari Taiwan. Rakannya itu telah datang ke Malaysia untuk menjalankan perusahaan membiak belacak. Atau ‘ikan lumpur’ yang berkhasiat itu. Khasiat utama untuk memulih dan menguatkan tenaga batin anak cucu lelaki Adam.

Hajat rakannya itu tidak kecapaian. Dia gagal mendapatkan tanah paya laut untuk kawasan ternak belacak. Permohonannya mendapatkan tanah kerajaan negeri lambat mendapat kelulusan kerana tradisi birokrasi. Banyak wangnya berpindah kepada broker perniagaan. Beribu ringgit pula wangnya terpaksa digunakan untuk memberi rasuah kepada pion, kerani dan pegawai penempatan pejabat tanah tempat dia memohon kawasan itu.

MENDEBARKAN JANTUNG

Sambil merenung ke dalam dua lubuk mata gadis itu, Profesor Hamidi mengambil botol minyak belacak dari tangannya. Botol itu berpindah ke tangan Profesor Hamidi. Gadis itu belum menjawab pertanyaannya lagi. Mungkin dia malu menjawabnya. Mungkin dia menyangka lelaki itu telah mengetahui akan khasiat minyak tersebut.

“Macam mana nak guna minyak ini, minum atau sapu ...?” Profesor Hamidi bertanya.

“...tak boleh minum tuan .... gosok..., urut..., boleh, tuan ....,” jawab gadis itu.

Sepasang mata Profesor Hamidi dan sepasang mata gadis itu seperti sinaran radio aktif menyambar hati masing-masing.

“Cantik ...,” hati Profesor Hamidi memuji.

“ ...hand some ...,” suara hati gadis itu.

Profesor Hamidi menyerahkan semula botol minyak belacak itu kepada gadis tersebut. Senyumannya mendebarkan jantung gadis itu lagi. Ingatannya terhimbau kepada pesanan isterinya supaya dia mendapatkan teman. Seorang gadis cantik dan tinggi berpelajarannya.

“Boleh saya tau ..., siapa nama cik ...?” Profesor Hamidi bertanya.

“Boleh, Julia Hani binti Hamzah ..., panggil saja Hani...,” jawab Julia Hani.

“Bagus cik berniaga ni...,” kata Profesor Hamidi

“ ...saya tolong bapa saudara saya saja ...,” sambut Julia Hani.

“Ooo, bukan Cik Hani sendiri yang berniaga...?” Tanya Profesor Hamidi.

“Taaak, saya belajar lagi ...,”jawab Julia Hani.

“Ooo, begitu, belajar di mana, universiti ...?” Profesor Hamidi bertanya.

“ ...ia, Tuan, Universiti Utara Malaysia,” Julia Hani menjawab.

“Ia, ia ..., di Sintok,” sambut Profesor Hamidi.

PERASAAN CINTA

Dua biji mata Julia Hani terbenam dalam dua telaga mata Profesor Hamidi. Jantung masing-masing berdenyut kencang. Mungkin seperti pendapat orang tua-tua Melayu, jika hati lelaki dan perempuan berdenyut pada waktu pertemuan pertama, menandakan dalam hati mereka telah terpancar perasaan cinta antara keduanya.

“...saya lama di sini, ... pukul berapa habis kerja?” Profesor Hamidi bertanya.

“ ...pukul satu nanti ..., ngapa?” Gadis itu bertanya.

“Ini name card saya, boleh saya jemput makan?” Profesor Hamidi bertanya.

“...boleh, nanti habis kerja, adik saudara saya datang, saya telefon tuan...,” kata Julia Hani sambil mengambil kad nama dari tangan Perofesor Hamidi.

Julia Hani merenung name card di tangannya. Pada mukanya tertulis nama, Hamidi Adil dan nombor telefonnya cuma. Kad l nama lelaki di hadapannya itu berlainan dari banyak kad nama yang dilihat sebelumnya. Semua kad nama itu tercatat nama, gelaran, dan bintang kebesaran masing-masing. Ada pula yang lengkap dengan nama syarikat, alamat, telefon pejabat, telefon bimbit dan alamat e-mail.

PERIBADI LELAKI

Sebagai seorang mahasiswa jurusan Human Resorce – Sumber Manusia, Julia Hani ingin mengetahui tentang peribadi lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu.

“...umur dia ni lebih enam puluh tahun, tapi smart,” hati Julia Hani memuji Profesor Hamidi.

Tatkala dia merenung misai, jambang dan janggut lelaki itu, terasa bulu tengkuknya meremang. Geli-geman. Keinginan untuk berdampingan dengan lelaki itu membungai hatinya.

“Baik, terima kasih, saya nak keluar dulu ..., bilik saya nombor 312 ...,” kata Profesor Hamidi.

“Baik, tuan,” sahut Julia Hani. Senyum.

Dua biji mata Julia Hani tersangkut pada belakang Profesor Hamidi yang sedang berjalan menuju ke pintu besar hotel itu. Pada detik-detiki ditinggalkan lelaki itu, Julia Hani terasa dirinya sebagai ditinggalkan kekasihnya.

BATASAN WAKTU

Sesungguhnya, Julia Hani laksana kuntum bunga kembang pagi. Ketentuan Tuhan; bunga menanti lebah datang menyerinya. ‘Tuhan kamu telah mengurniakan wahyu kepada lebah; membuat rumah (sarang) di gunung, pohon kayu dan apa sahaja yang dapat mendirikan (sarang bergayut).’[1]

Pertemuannya dengan pendatang baru Pulau Langkawi, Profesor Hamidi, seumpama madu lebah kepada manusia, ‘... dari perut lebah keluar minuman yang bermacam-macam warna (madu), di dalamnya ada ubat untuk manusia.’ [2] Terasa lara yang menderanya kerana kepatahan tiga kali bercinta terasa telah sembuh.

Hanya Tuhan Maha Mengetahui betapa risau. Gelisah. Resah Julia Hani pada batasan waktu perpisahan dengan lelaki yang baru bertemu dengannya itu. Entahkan ia entahkan tidak, lelaki yang telah membawa hatinya pergi bersamanya itu akan datang menemuinya lagi.

Pada ketika itu, Julia Hani teringat akan perkataan ibu saudaranya, “ Oghang bercinta ni macam nelayan di lautlaaa ..., kalau nasib baik dapat ikan besak ..., kalau nasib tak baik dapat ikan kecik, paling tak baik ikan di tangan terlepas ke laut ...”

(Tamat)

(Sedutan dari novel baru Air Mata Kering Di pipi , oleh: Mokhtar Petah)



[1] An Nahl: 68.

[2] An Nahl:69.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.