Sunday, January 25, 2009

CEBISAN DARI NOVEL

Cebisan dari novel

MADU

Oleh: Mokhtar Petah

[Cerita ini cebisan dari novel karya Mokhtar Petah yang beum terbit.Disiarkan di sini untuk tatapam pembaca.Bila baca fikir. Bila fikir jadikan diri anda seorang muslim sejati.Tidak mengingkari perintah Allah dan melaksanakan yang diprintahkan, dan tidak mengelak dari melaksanakan sunnah Nabi Muhammad. – Editor, Petah Shahrir Aidid.]

Nasi beras huma, bungkus daun bemban telah masak dalam puntung - puntung bulu pelang. Lemang pulut hitam bercampur jagung, telah masak atas bara api di palang. Empat bungkus ikan sungai masak pindang daun senia dalam punjut daun pisang telah masak dalam periuk tanah. Bau wangi pati santan bergaul lengkuas, serai, kunyit, cabai burung dan asam belimbing buluh menyumbat lubang hidung.

Di bawah teratak belakang rumah, daging seekor kijang rimba telah masak di atas api. Bedah telah membeli kijang itu dari seorang lelaki Orang Asli dalam rimba Banjaran Titiwangsa.

Bedah dibantu oleh suaminya, abangnya, Long dan Molek telah memasak semua makanan tradisi Melayu Asli itu. Mereka akan menyambut pengantin baru, Azmi dan Mahyun. Sepasang pengantin baru itu akan menikmati makanan yang sukar mendapatnya pada zaman ini.

TARIAN SEWANG

Long teringat akan lagu yang dinyanyikan oleh gadis-gadis kaumnya pada waktu diadakan tarian sewang lama dulu. Lerek lagu itu ditulis oleh seorang pemuda Melayu, Adil. Bertahun-tahun lamanya dia telah menghuni Banjaran Titiwangsa. Semua binatang buas sahabatnya.

Nak ke mana orang kita,

anak kijang dalam huma.

Nak kemana anak kita,

buang budi buang bahasa.

Nak kemana orang kita,

hilang bumi tempat kita.

tuk,...tuk,...tuk, ...tuk,...tuk.

Dari mana hendak ke mana;

tinggi rumput dari padi;

Sini siapa sana siapa;

Malaysia jadi pajak judi.

tuk,...tuk,...tuk,...tuk, ...tuk.

Di mana – mana sarang tempua,

helang memangkap ular lidi,

Nak ke mana orang kita,

dagang melarat di bumi sendiri.

Tuk, ...tuk, ...tuk,..., tuk...tuk.

Bunyi buntut-buntut buluh yang dihentak-hentak atas lantai, bertingkah-tingkah mengiringi penari-penari, seperti memberi amaran; kalau tidak berjaga-jaga, bumi sendiri lepas ke orang. Orang Melayu hilang ke mana. Anak cucu hidup merana.

Dara, Tijah dan Cikgu Zainab akan menghadiri majlis kenduri kecil itu. Kenduri itu besar ertinya kepada Bedah. Kenduri begitu menjadi bukti dia bersyukur kepada Allah yang telah memberi taufik dan hidayat kepadanya. Asalnya seorang perempuan Orang Asli dalam rimba banat, ditakdirkan memeluk agama Islam. Berkahwin dengan Haji Adnan. Bermadu dengan Cikgu Zainab dan baik pula dengan madunya.

CAHAYA MATA

Bedah telah mengerjakan ibadat Umrah dan ziarah di Madinah dan Mekah bersama suami dan madunya. Di hadapan Ka’abah mereka telah berikrar; seorang suami kongsi bersama.

Jari jemari Bedah meraba perutnya sendiri. Senyuman membungai wajahnya. Beberapa purnama lagi, dia akan menimang cahaya mata.

” ...anak kita ni, abang, bila dah lahir...,” Bedah berkata kepada suaminya.

”Ngapa, Bedah?”Tanya suaminya.

” ...dia tak dapat makan macam ni lagi..., susah nak dapat, abang,” jawab Bedah.

“Ia, Bedah, tak ada orang jual..., daun bemban, buluh pelang, susah nak dapat...,” sahut suaminya.

“ …ia, abang,” kata Bedah sambil menelan air liurnya sendiri.

“Ia, Bedah, sungguh Bedah ...,” sambut suaminya.

Bedah merenung wajah suaminya. Ada sesuatu yang hendak dicakapkan, tetapi suaranya tersangkut pada anak lidahnya.

“Abang harap, anak kita tu tahu asal usul kita, susah senang kita..., dia tak lupa perdunya, bila pucuk menyapu awan ...,”Haji Adnan berkata melurut hati isteri- nya.

Pada ketika Bedah dan suaminya berjalan hendak ke belakang untuk menyiapkan hidangan, Azmi dan Mahyun bersama rombongannya telah tiba di halaman rumah Bedah.

Sila, sila...,”suara Bedah menjemput mereka.

Haji Adnan berdiri di pintu di sisi isterinya menyambut tetamu itu. Azami Mahyun, Dara dan Tijah memanjat tangga naik ke rumah. Sementara Cikgu Zainab dan Munah berjalan ke arah belakang rumah Bedah.

“Eee, sedapnya..., daging kijang bakar..., Bedah,” suara Cikgu Zainab sebaik-baik sahaja mereka tiba dekat daging kijang masih berganggang di atas bara. MENCICAH DAGING

Munah menjeling kepada Haji Adnan. Degup jantungnya menderanya. Sambil menjamah daging kijang yang panas itu, hati Munah bersuara, “...kalau abang nak kahwin dengan Munah, ...Munah sanggup bermadu.”

Makanan telah siap di hidang di tengah rumah. Seekor kijang bakar telah dipotong-potong oleh Tijah dan Mahyun. Daging-daging itu diletakkan atas daun pisang. Air asam untuk mencicah daging itu telah tersedia. Nasi dan lauk pauk lain telah terhidang. Kemudian mereka memakan semuah makanan lazat itu, laksana kata-kata berahsia orang Melayu, “kalau emak mertua lalu balik belakang pun tak nampak”.

”...seumur hidup saya, tak pernah makan daging kijang bakar, Pak Cik,”kata Azmi.

“Saya pun dah lama..., lebih sepuluh tahun dah tak makan daging kijang...,”sam but Haji Adnan.

“Mana dapat, ayah,”Mahyun bertanya.

“Mak Cik Bedah, ...dia beli dari orang di sini...,”jawab Haji Adnan.

“Banyak kijang dalam hutan,”sambu Bedah.

“Banyak tu banyakle, tapi nak tangkapnya...,”kata Haji Adnan.

“Kijang ni nak kena pandai menangkapnya, macam tangkap orang juga...,” kata Bedah. Senyum dan memandang suaminya.

“Ialah, kena pandai, kalau tak, melepas...,”kata Haji Adnan.

Azmi senyum. Mahyun senyum. Mereka telah menangkap erti yang tersirat di sebalik percakapan Bedah dan Haji Adnan itu.

“Kalau aku, Tijah, Dara ni kijang, ...suami aku ni pemburu kijangle...,”hati Mahyun bermadah.

Mungkin Azmi telah dapat merasakan apa yang terkandung dalam hati Mahyun, lalu hatinya bermadah, “...nak tangkap kijangke, rusake, tak susah..., tapi aku nak tangkap tiga orang ni..., macam bergadai nyawa...,”

PAK PANDIR

Pada saat Azmi mengunyah daun senia empuk bersama isi ikan pindang, dia merenung wajah setiap isterinya, lantas dia teringatkan baris-baris sajak seorang sasterawan Farsi, Abu Hafs Sughdi:

Rusa gunung

di dataran

gimana pergi

tidak kautahu

bagai pencinta

tanpa pacar (kekasih).[1]

”Ialah, ...sekarang ni, susah nak dapat makanan orang Melayu macam ni,” kata Cikgu Zainab.

”Ia, Mak Cik,”sahut Tijah.

”... makanan ni, lemang, nasi daun bemban, pindang ikan, masakan Orang Asli...,’kata Long,

“Bukan Orang Asli, …Orang Melayu Asli...,”sambut Haji Adnan.

Mereka ketawa.

Orang Aslike, orang Melayu aslike..., sama aja, jadi mangsa...,”kata Haji Adnan lagi.

“Orang Asli, orang di hutan, orang Melayu, orang di luar bandar, ...orang bukan Melayu orang, di bandar...,”kata Azmi.

“Semenjak negara kita merdeka, kerajaan yang bezakan begitu, sampai la ni orang Melayu mundur, macam melukut tepi gantang, tapi orang bukan Melayu maju...,”kata Mahyun

“...kita ada pemimpin, dari atas sampai ke bawah, duit kerajaan dah banyak dibelajnjakan...,tapi orang Melayu duk takuk lama juga...,” Haji Adnan menyambut kata-kata Mahyun.

“Nasib kita dah macam nasib Pak Pandir...,”kata Mahyun.

“Ia, macam pantun orang kita, “ Masa berperang Negeri Kelang, Tengku Kudin menjadi raja; bunga sekuntum di sambar helang, jatuh ke laut disambar naga,”sambut Haji Adnan.

“Malang benar tu, Pak Cik,” kata Tijah.

“Apa taknya,Tijah, kita ni macam kata orang, dah merempat di negeri sendiri, dagang orang dagang bertempat, dagang kita menumpang lalu,” kata Azmi.

“...negara ni makmur, tapi macam Tuhan tak reda, ...hutang berbilion, sana rugi, sini rugi, rasuah di mana-mana...,”suara Azmi tersangkut dalam pembuluh tengkuknya.

ALAM GHAIB

Mahyun menyumbatkan seketul daging kijang ke dalam mulutnya. Dara mengambil umbut bayas dan dimasukkan ke dalam mulutnya.Makanan itu menjadikan dia teringatkan ibu bapanya di alam ghaib. Orang-orang di sana tidak makan daging haiwan. Mereka memakan umbut dan pucuk-pucuk kayu sahaja.

”...kalau kita pergi ke Ulu Perak, Ulu Tembeling di Pahang, ada orang Melayu masak macam ni,”kata Mahyun.

”Ia, tok nenek saya masak macam ni juga, ...demo tu dari Campa, kemboja,”jelas Azmi.

”Samalah tu, abang, ... orang Melayu Campa, orang Melayu di semenanjung, ...Kepulauan Melayu sama aje,”kata Mahyun.

Azami mengangguk.

”Ia, sungguh,”sahut Haji Adnan.

Mahyun arif tentang masyarakat dan kebudayaan orang Melayu. Setelah menelan daging rusa yang baru dikunyahnya, dia bersajak tentang falsafah dari makanan tradisi Melayudi hdapan mereka.

”...buluh simbol kesatuan Melayu,

ikan dimasak berencah asam,

ikan di laut, asam di bukit,

dalam buluh bersatu jua,

lengkuas, serai, kunyit dan cabai,

herba kehidupan masyarakat kita,

“aku dulu makan garam” ,

cakap si bodoh tak makan ajar,

‘kurang asam’, kata bersopan,

santan kelapa di Nusantara,

daun bemban subur di paya,

laksana naskhah kisah derita kita,

buluh miang dari lembah,

bagaikan peti waja tempat naskhah,

orang Melayu zaman batu,

periuk belanga haram ada,

Lemang ibarat setu keluarga,

setinggi mana,

serendah mana,

sebaik mana,

seburuk mana,

sesenang mana,

sesusah mana,

sepanas mana,

sedingin mana,

namun berpisah tidak jua,

padu sekata, setia,

biar putih tulang,

jangan putih mata.”

Mahyun berhenti bersajak. Belum sempat dia menyuapkan seketul daging kijang bakar ke mulutnya, Azmi berkata, ”...bersajak pula, dah macam Umar Khayyan...,”kata Azmi.

Mereka ketawa.

Mahyun mencubit paha kiri suaminya.Rasa peritnya ada. Mesranya ada. Laksana memakan cili dan lada. Pedas terasa, lazatnya ada jua.

Mahyun menyumbat seketul daging kijang bakar ke dalam mulutnya.

“...kata orang, maka daging kijang, dapat anak bijak...,”kata Haji Adnan.

Mereka ketawa.

“Kalau ada rezeki, sembilan bulan lagi ada si bijak tu...,”suara Mahyun tersangkut di halkumnya.

*** ***

ANAK KEMBAR

Sepuluh bulan kemudian. Kalau pisang telah berjantung. Kalau ubi telah berisi. Yang patah tumbuh dan yang hilang berganti.

Haji Adnan dengan isteri pertamanya, Cikgu Zainab seperti sepasang merak mengepak angin. Gembira, Mesra. Mereka berkeadaan seperti baru setahun berkahwin. Allah telah mengurniakan mereka dua orang anak kembar. Kedua-duanya lelaki. Si abang bernama Khairi dan si adik diberi nama Habibi.

Anak Haji Adnan dengan Bedah, Muhammad Zam Zam rupa parasnya sama dengan rupa paras dua orang anaknya dengan Cikgu Zainab. Cik Zainab menjadi ibu susuan kepada anak Bedan dan bedah menjadi ibu susuan kepada anak madunya.

ISTRI KEDUA

Azmi telah membina dua buah rumah sederhana. Sebuah rumah untuk Tijah dan sebuah lagi untuk Mahyun. Kedua-dua buah rumah itu terletak dekat rumah yang telah dibina sebelum dia berkahwin dengan Dara. Semua rumah itu berbentuk sama. Atap, dinding, pintu dan jendela sama juga.

Azmi telah memberi nama pada tiap-tiap rumah itu mengikut nama bungan yang terdapat di Nusantara.Pada puntu tiap-tiap rumah itu berukir bentuk bunga-bungaan yang ditentukan.Rumah bernama ‘Mawar’, tempat tinggal isteri pertamanya, Dara dengan puteranya, Burhanuddin Helmi. Isteri keduanya, Tijah bersama puteranya, Ibrahim Yaakob, tinggal di rumah bernama bunga ‘Kemboja”. Dan Mahyun bersama puteranya, Abu Bakar Al Baqir, tinggal di rumah yang bernama ‘Melati’.

Bangunan pejabat syarikat mereka - Daratima Sdn.Berhad., terletak di antara rumah-rumah mereka dengan kebun lebah dan herba.

PALING SAYANG

Ketiga-tiga orang isteri Azmi – Dara, Tijak dan Mahyun telah berniaga bersamanya. Mereka telah menyertai syarikat Daratima Sdn.Berhad. Azmi telah memberi nama syarikat itu dengan mencantumkan pangkal nama isteri-isterinya.

Rakan Tijah dan Azmi, Suraya, masih menggonggong hatinya yang lara. Suraya sering berkunjung ke rumah mereka. Kadang-kadang dia bermalam di rumah Tijah. Arif benar Tijah akan derita dan lara rakannya itu. Hadis Nabi Muhammad menyedarkannya, maksudnya, kalau hendak memberi kepada seseorang, berilah sesuatu yang kita paling sayang. Lalu dia teringat akan kisah putgeri nabi itu, Fatimah isteri Syyidina Ali, telah menghadiahkan suaminya kepada seorang pengemis yang mengemis di rumahnya.

Pada satu malam, Tijah dan Mahyun berkumpul di rumah Dara.Mereka berbincang dengan Azmi, supaya suami mereka menimbang dan menyaring permintaan dan harapan mereka yang jujur dan ihsan itu.

“Begini, kalau Ijah,Yun, Dara minta abang berjihad, letupkan bom pada tubuh abang, bunuh askar Amerika, British, Yahudi di Iraq, Pelstin, abang sanggup...,”kata Azmi dan merenung wajah isteri-isterinya.

TERASA RISAU

Wajah Azmi tenang. Dua biji matanaya bersinar menandakan kaya cinta.Semua Isterinya merenung kepadanya. Masing-masing terasa risau, kesal dan sesal.

“...abangb tak dapat tunaikan, ijah, Yun, Dara..., abang sedia terima Cik Suraya tu sebagai adik kandung atau adik angkat abang, tapi jadi isteri abang..., abang minta maaf,” kata Azmi.

“Dalam Quran, ...Allah berfirman, ‘kalau kamu khuatir tak dapat berlaku adil, seorang saja’[2]...,”kata Azmi dan merenung isteri-isterinya.

“...insya Allah, abang sanggup adil tiga isteri saja, tambah seorang lagi tak sanggup, ....ertinya, kalau abang lakukan, abang berdosa...,”kata Azmi. Senyum.

Dara bangun dan bersimpuh depan suaminya, “...Dara minta maaf, minta ampun abang,” katanya lalu mencium tangan suaminya.

Tijah dan Mahyun bagaikan sujudkan suaminya, Minta maaf, minta ampun..., abang,”suara mereka satu dan senada. Masing-masing mencium tangan Azmi.

DAKWAH ISLAMIAH

Sesuai dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan masing-masing, Azmi aktif dalam bidang amal kebajikan atau ’amal makruf, sebagai guru agama kepada masyarakat setempat. Dara mengendalikan Taman Didikan Islam. Taman itu memberi pelajaran percuma kepada kanak-kanak tempatan. Tijah menjalankan kebajikan dan dakwah Islamiah dalam masyarakat Orang Asli. Mahyun, tgelah bergiat dalam bidang sosial sains dan kemanusiaan.

Pada satu hari Haji Adnan dengan dua orang isteri dan tiga orang anaknya telah datang menziarahi Mahyun, di Ulu Yam. Pada waktu petang mereka berkumpul sambil minum air teh dan meratah keropok lekor. Haji Adnan telah berbisik kepada menantu:

”...ayah seronok tengok cucu-cucu, …anak-anak ayah.”

”Semua ni kehendak Allah ayah,”sahut Azmi.

”...kerana madu lebah juga,” sambut Haji Adnan.

Azmi ketawa.

”...dalamnya ada ubat untuk manusia,”[3] Haji Adnan berkata menggunakan erti ayat Quran mengenai madu lebah.

”Ia, ...kuasa Allah, kehendak Allah, ayah,...apa pun boleh jadi,”sahut Azmi.

”Ialah, ...kita ni berikhtiar, Allah dengan takdir-Nya,”Haji Adnan berkata.

Sambil menjeling kepada dua isterinya, Cikgu Zainab dan Bedah, Haji Adnan membisikkan kata-kata kepada menantunya:

”...insya Allah, ayah akan jadi wakil rakyat.”

”Bagus, ...bila, ayah?”Azmi bertanya.

“Kalau perdana menteri, timbalannya setuju, pilihan raya nanti ayah bertandinglah,” jawab Haji Adnan.

“Ayah nak jadi menterike, …atau mb?”Azmi bertanya.

“…tak, tak, …jadi wakil rakyat biasa, ...ayah tak tinggal pengundi-pengundi ayah ...,” jawab Haji Adnan.

“Tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab atas mereka yang dipimpinnya…,”[4] Azmi berkata merujukkan Hadis Nabi Muhammad.

“Ia, mesti, …kalau tidak, berdosa, he, …ayah takut dosa, …takut neraka…,”sahut Haji Adnan.

“Banguslah, ayah,”sahut Azmi.

Azmi dan Haji Adnan berpaling kepada anak-anak jiran sebelah sedang bermain injet, enjet semut sambil menyanyi:

“Enjet, enjet semut,

siapa takut turun bawah,

enjet,enjet semut,

siapa kuat naik atas.”

Azmi senyum. Senyumannya bertaut dengan senyuman bapa mertuanya. Erti senyuman mereka berbeza!

(Tamat)



[1] Majma’ al Fusaha, pada awal tahun ke 4 Hijrah, hlm 131 – Lihat: Haji Muhammad Bukhari

Lubis, 1990, Bunga Rampai Sastra Parsi, Kuala Lumpur, DBP, hlm.71.

[2] Quran, An Nisa:3.

[3] An Nahl: 69.

[4] Maksud Hadis. Riwayat: Al Bukhari.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.