Menyorot penerbitan biografi Malaysia
KARYA biografi atau autobiografi boleh dianggap sepotong kecil sejarah yang tidak bermaksud menggambarkan nostalgia atau kerinduan masa lampau, apatah lagi untuk menonjolkan diri.
Maka, biografi adalah pengalaman tokoh atau pengarang yang menarik untuk dibaca. Perkembangan awal penghasilan biografi di negara ini ditandai oleh penghasilan karya klasik termasuk sastera lama seperti Hikayat Hang Tuah, sastera moden seperti Hikayat Abdullah, dan biografi moden yang merangkumi nilai dan nurani bangsa Melayu.
Biografi juga seharusnya bersifat peribadi iaitu merakamkan ingatan dan rakaman sejak kelahiran sehingga peristiwa terakhir.
Bagaimanapun biografi mesti disulam dengan peristiwa besar dan bermakna kepada masyarakat, bangsa, negara atau sesuatu masyarakat. Biografi yang baik juga terpancar pada ciri dan sifat tokoh yang dirakam yang seharusnya mempunyai kedudukan tertentu dalam negara, bangsa, kerjaya atau kampung.
Memoir dan biografi juga mesti memperlihatkan cubaan mempertahankan diri atau membela diri atau menegakkan benang basah oleh atau bagi pihak tokoh yang dibicarakan.
Dalam biografi juga, diselitkan usaha memuji atau memuja tokoh tersebut yang diselang dengan gaya penyampaian dan penulisan tentang peristiwa tokoh tersebut.
Penulisan biografi kini tidak lagi banyak terikat kepada karya yang bersifat upahan dan suruhan. Kini terdapat usaha yang menggali buah fikiran dan visi tokoh yang ditulis. Penulisan juga berasaskan penyelidikan dengan fakta yang sahih. Penerbit swasta juga kini giat mengusahakan penerbitan biografi dan memoir. Bagaimanapun masih terdapat penulis upahan yang bermusim. Mereka ini menulis semasa ada pemilihan parti atau pilihan raya. Karya yang dihasilkan bertujuan menonjolkan tokoh tersebut dan menjatuhkan yang lain. Namun demikian, kini telah muncul beberapa penulis biografi yang prolifik dan berwibawa. Antaranya termasuklah Victor Morais, Ramlah Adam, Aziz Zariza dan Mokhtar Petah.(Artikel ini diambil dari Utusan Online - arkib 10 - 12 - 2007)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.