Friday, October 3, 2008

TERCEKIK DAGING UNTA

Oleh: Mokhtar Petah


Datin Seri Farajatul Hayat; terkenal dengan nama manjanya Farajah. Orang-orang kenamaan memanggilnya, Datin Seri Faraj sahaja. Namanya bukan dari bahasa Arab. Entah dari bahasa apa pun tidak siapa yang tahu. Dia anak angkat kepada keluarga keturunan orang Kemboja yang memerintah Manjong, pada zaman silam.

Suami Datin Seri Faraj, Dato’ Seri Megat Kilau. Menurut cerita, dia keturunan orang-orang Melayu menentang Inggeris, di Pasir Salak, Perak pada tahun 1970-an. Mungkin Dato Sagor atau mungkin Sultan Abdullah.

Dato Seri Megat Kilau ahli perniagaan terkenal. Namanya terkenal seluruh Kuala Lumpur hingga ke Putrajaya. Wajah dan tubuhnya sering di tayang di kaca tv. Dia sering memberi derma dan sedekah. Setiap kali dia berderma dan bersedekah, dia mahu wajah dan tubuhnya ditayangkankan di kaca televisyen.

Wajah Datin Seri Faraj jarang-jarang di tayang di kaca tv. Tetapi namanya sentiasa meniti di atas bibir pengemar karaoke, mahjong dan ahli-ahli kelab membela kaum Hawa.

Hartawan suami isteri itu tidak pernah menjejakkan kakinya ke tanah suci. Tetapi negara-negara lain telah menjadi tempat mereka berulang mandi. Kadang-kadang Dato’ Seri Megat Kilau rasa amat ingin hendak mengerjakan ibadat Haji atau umrah di Tanah Suci. Mahu menenangkan diri di kaki Kabah. Sujud dalam Masjdil Haram.

Sebagai orang kaya dan pengaruh, Dato’ Seri Megat Kilau tidak takut dan segan kepada siapa. Dia tidak takut dan segan dengan Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri dan siapa sahaja. Tetapi dia takut menjejak Tanah Suci Mekah dan Madinah.

“Teman takut, takut nak ke Mekah ..., heee, takut teman ...,” Dato’ Seri Megat Kilau berkata kepada temannya, lelaki tua, penulis buku sejarah Pasir Salak.

“Ngapa, Dato’ ... takut apa ..., Dato?” Penulis tua itu bertanya.

“...macam nila, Man, mike pergi ke Mekah ..., teman bagi duit, teman upah mike buat umghah, buat haji ..., “jawab Dato’ Seri Kilau.

“...boleh, Dato’ ..., tapi, Dato’ takut apa?” Othman bertanya.

“Mike pegi minggu depan ..., bulan puasa ni elok..., semingu lagi dekat ghaya, mike balik ...,” Dato’ Seri Megat Kilau memotong pertanyaan Othman.

“Baik, Dato’, sahut Othman.

“Elok, elok bebenor ..., teman nak mike beli daging unte ..., nak buat jamu haghi ghaya.

“Ia, baik, Dato’,”sambut Othman.

“Mike beli daging, dua tiga kakinya ..., boleh buat ubat kuat ...,”kata Dato’ Seri Megat Kilau.

“Ngapa Dato’ takut nak ke Mekah?” Othman mengulangkan pertanyaannya.

Dato’ Seri Megat Kilau tunduk. Separuh tubuhnya macam menggigil. Dua biji matanya merenung kepada penulis buku sejarah itu. Hatinya memaksa dia memberitahu kepada manusia sejarawan di hadapannya itu.

“Teman ni ...,” Dato’ Seri Megat Kilau menjawab payah.

“Agaknye oghang tua ni bukan oghang Islam, astghafirullah ...” buruk sangka tumbuh dalam hati Othman.

“Teman ni, Man, asal usul teman ketughunan oghang bermukah ...,” jawab Dato’ Seri Megat Kilau.

“ Haa, bermukah, ... anak zina, anak haram ..., ia, anak haram ..., Dato? Tanya Othman. Selamba.

Memang telah lama Othman mengetahui asal usul Dato’ Seri Megat Kilau. Pada lima lapis ke atas asal usul Dato’ Seri Megat Kilau, isteri muda Sang Dato’, iaitu pia (datok, moyang, piut, piai, pia) kepadanya telah bermukah (berzina) dengan Maha Sultan. Perbuatan itu dengan kerelaan sang Dato’, kerana dia mahukan pangkah dan kekayaan dari Sang Sultan.

Pemergian Othman di hantar oleh Dato’ Seri Megat Kilau ke KLIA. Othman telah pergi ke Tanah suci dengan biaya Dato’ Seri Megat Kilau. Di Mekah nanti, Othman akan mengerjakan ibadat umrah untuk Sang Dato dan dirinya sendiri. Dia akan membawa kembali daging dan beberapa puntung kaki unta.

“Daging unta buat jamu hari raya,” petak fikiran Othman tersumbat dengan daging unta pada ketika kapal terbang SAL mendarat di lapangan terbang Jeddah.

“Kaki unta ubata kuat tenaga batin Dato ...,” fikirannya tersumbat lagi.

“Di Jabal Uhud , aku nak beli bunga kacip Fatimah untuk Datin Seri Faraj ...,”sungut Othman.

“Lantah, bior deme tu sama kuat ...,”ruang otak Othman tersumbat lagi.

Seminggu sebelum hari raya, Othman telah kembali ke tanah air bersama daging dan empat puntung kaki unta dan tujuk kuntum bunga kacip Fatimah.

Othman amat tahu akan perangai Datin Faraj. Wanita itu berasal dari sebuah kampung di Port Weld, Perak. Bapa dan ibunya berniaga belacan buatan sendiri. Nasibnya baik, dia telah berkahwin dengan Dato’ Seri Megat Kilau pada usianya 27 tahun. Pada masa itu suaminya berusia 44 tahun.

Datin Seri Faraj tidak sombong. Lemah lembut. Tetapi suka menunjuk-menunjuk akan kekayaannya. Setiap hari dia memakai barang kemas seperi Qarun. Setiap kali membuat amal kebajikan mahu orang ramai tahu. Dia rasa bangga kerana suaminya mengikut telunjuknya.

Datin Seri Faraj menggua-batukan rahsianya. Suaminya tidak tahu. Polis tidak tahu. Tida ada siapa yang tahu. Lima tahun yang lalu dia telah meracun kekasih suaminya, Intan Naimah. Gadis lepasan universiti itu telah mati di kampungnya, pada malam awal Ramadan. Ibu bapanya tidak mengetahui kematiannya kerana diracun. Mereka yakin, anak gadis mati kerana demam panas.

Pada malam raya, Datin Seri Faraj dengan dibantu oleh orang gajinya, dia telah memasak rendang tok daging unta. Sepotong tulang kaki unta yang telah dipotong kecil-kecil dan dimasak bersama daging haiwan padang pasir itu. Sepuntung kaki unta dibuat sop.

Dato’ Seri Megat Kilau masih menyimpan duka kerana kekasihnya telah mati. Khabar kematian kekssihnya itu telah tiba ke telinganya seminggu kemudian. Khabar itu menjadikan dia dimamah duka. Derita. Lara.

Pada malam raya itu, Dato’ Seri Megat Kilau seperti menarik membawa hatinya yang lara seperti menarik pangkal merbau dalam rimba untuk memakan lemang besama rendang tok daging unta. Lubang halkumnya seperti terowong menelan sop tulang haiwan jenis kenderaan para nabi dan rasul Allah itu.unta. Menghirup kuah sup tulang haiwan tersebut.

Datin Seri Faraj yang tidak pernah makan daging unta – dia sering makan daging ayam yang dibeli di pasar raya yang tak tentu haram halalnya - , sambil merenung suaminya dia mengunyah daging unta yang bertulang.

Pada ketika itu, Datin Seri Faraj teringatkan kekasih suaminya, Intan Naimah. Pada saat itu juga dia tertelan seketul daging unta. Terowong lehernya tersumbat. Daging unta itu tidak turun ke bawah dan tidak naik ke atas. Tersangkut dalam halkumnya.

Dua biji mata Datin Seri Faraj terbeliak. Terbelalak. Banyak putih dari hitamnya. Mulutnya ternganga dengan dua bibirnya menebal. Belum sempat Dato’ Seri Megat Kilau menolongnya, dia terjelepok atas hidangan. Pengsan.

Dato’ Seri Megat Kilau menekan-nekan dan memukul-mukul dengan tapak tangannya kepada belakang isterinya. Perempuan itu masih pengsan. Tubuh Datin Seri Faraj yang gedempol itu dirimpung oleh suaminya dan diletakkan atas permaidani di tengah rumah.

Pada saat begitu Datin Seri Faraj telah mengembara ke alam ghaib. Beberapa makhluk ganjil datang menemuinya. Ada yang jerkah. Ada yang pekik kepadanya, suara mereka laksana bunyi guruh.

“Kamu manusia, binatang, kamu beri suami kamu makan nasi tangas, nasi kangkang, kotor, kotor,kamu isi neraka...,” jerkah makhluk itu.

“Kamu racun, kamu bunuh gadis tak berdosa, Intan Naimah. Kekasih suami kamu. Mereka akan kahwin ..., kamu berdosa, kamu akan masuk neraka,”jerkah makhluk itu lagi.

“hei, perempuan, kamu jahat, kamu bunuh orang, kamu derhaka kepada suami ...,kamu isi neraka, kamu akan bakar dalam api menyala,”laung satu makhluk bernyawa lagi.

Datin Seri Faraj menjerit. Dia mengaku membunuh bakal madunya. Dia telah memberi makan berbagai jenis kotoran kepada suaminya. Kerana dia mahu suaminya mengikut telunjuknya.l

Doktor peribadi yang dipanggil datang segera. Kira-kira setengah jam kemudian. Daging unta yang tersangkut pada lubang leher Datin Seri Faraj telah turun ke dalam ususnya. Dia telah sedar semula. Tubuhnya masih lemah.

“Minta maaf, Dato,” kata Dr. Jamaluddin kepada Dato’ Seri Megat Kilau.

“Ngapa?” Dato’ Seri Megat Kilau bertanya.

“ ...dua kaki Datin lumpuh ...,” jawab Dr. Jamaluddin.

“ Ia, lumpuh?” Tanya Dato’ Megat Kilau.

“Ia, Dato’,” sahut Dr. Jamaluddin.

“Bagus, mampus lagi baik,” sambut Dato’ Seri Megat Kilau.

“Dato,” Dr. Jamaluddin berkata. Hairan.

“Bior dia mampus ...masuk neraka,”pekik Dato’ Megat Kilau.

Datin Seri Faraj menangis. Menyesal. Dua puntung tangannya meraba-raba dua pada kakinya.Dengan dua biji mata yang lemah, dia melihat suaminya berjalah ke ruang depan rumahnya.

“ ... yang, yang ...,”Datin Seri Faraj memanggil suaminya.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.