Monday, September 29, 2008

ORANG MELAYU BERPOLITIK:

PERAHU HANYUT DAYUNG HILANG

Oleh:Mokhtar Petah

Semenjak isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalan beliau, Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi mimpi dan igauan para ahli UMNO, parti-parti lain dan semua rakyat Malaysia, ternampak di hadapan kita yang bangsa Melayu dan Raja Melayu akan hilang di dunia.

Bangsa Melayu dan Raja Melayu yang dilindungi dan dijunjung oleh UMNO dan Perlembagaan negara akan hilang. Raja-Raja Melayu akan terpaksa meninggalkan istana masing-masing seperti Raja-Raja di Jawa dan Sumatera pada zaman revolusi Indonesia 1945.mahkota-mahkota mereka akan pindah ke muzium dan berada di sana bersama barang-barang purba..

UMNO akan terpaksa mengikut jejak-jejak parti-parti politik Melayu yang terkubur tanpa batu tanda seperti Kesatuan Melayu Musa, Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan beberapa buah parti politik lagi.

PAS tumpul taring dan susuh; terpaksa ketepikan hudud dan Negara Islam berjalan seiring dengan Parti Keadilan Rakyat dan Demoratic Action Party mememerintah negara ini; sebuah negara republik baru yang berdasarkan sosio-demokrasi.

Dalam sains politik, sosio-demokrasi, adalah dari sosialis yang menjadi adik kandung kepada komunis. Ertinya, pada masa akan datang negara ini akan menjadi negara adik kepada komunis. Semua rakyat mesti menganut sosialisme.

Mungkin ada orang yang menganggap tulisan saya ini tidak lojik. Tetapi untuk menyakinkan semua, bagaimana parti politik pimpinan Lee Kwan Yew – PAP boleh memerintah Singapura dengan menggunakan azimat sosio-demokrasi. Pulau Pinang terlepas kepada DAP dengan azimat yang sama.

Terkubur bangsa dan Raja Melayu adalah akibat dari mereka dalam parti politik yang memerintah sekarang bercakaran sama sendiri. Masing-masing mahukan kuasa. Menyalahkan orang lain dan sebagainya.

Pada masa Abdullah Badawi masih Menteri Luar Negeri, saya telah menulis buku biografinya, Dato Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat, pada waktu bercakap dengan beliau di pejabat Kementerian Luar Negara, di Kuala Lumpur, saya yakin; kalau beliau menjadi Perdana Menteri, beliau akan ditentang oleh ramai rakan dalam partinya dan kalau beliau membiarkan dirinya di bawah, maka beliau terus dipijak oleh rakan-rakannya sendiri.

Allah dengan hikmat-Nya; Dato’ Seri Anwar Ibrahim tersingkir dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Badawi naik ke atas dan menggantikan tempat beliau. Mereka sama-sama tokoh ‘Islamik’ tetapi tidak zuhud seperti orang-orang yang zuhud.

Kedua-dua mereka macam Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang dan dulunya Dr. Burhanuddin Helmi dan Haji Ahmad Fuad Hassan, iaitu orang Islam ‘sekular Islam’ – beramal untuk dunia dan beramal untuk akhirat.

Pada masa Anwar Ibrahim dalam UMNO, kira-kira 54% dari semua ahli UMNO adalah terdiri dari ahli yang Islamik (cenderung kepada amalan Islam dalam semua bidang kehidupaan termasuk politik).Mereka itu berdiri di belakang beliau dan tidak di belakang Dr. Mahathir Mohamad.

Apabila Abdullah Badawi memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri, mereka itu berdiri teguh di belakang beliau pula. Ramai juga dari mereka yang keluar dari UMNO.

Abdullah Badawi yang Islamik,mahukan perubahan dalam UMNO, terutama mengenai amalan umat Islam di negara ini dengan agama Islam, maka beliau telah memanggil para ulama untuk mencari jalan yang baik. Maka di antara ulama itu, Dato Haji Nakhae Haji Ahamad bekas naib yang Dipertua PAS mengemukakan ‘Islam Hadhari’.Lalu diterima oleh Abdullah Badawi dan para ulama yang hadir.

Berikutnya Islam Hadhari telah diterima menjadi hidayatul jadid ‘panduan baru’ bagi kerajaan mengamalkan Islam. Semua ahli UMMO menerima (ada yang tidak menerima), beberapa orang mufti menolak, PAS dan sebilangan dari umat Islam menentang dan menolak.

Sebenar Islam Hadhari yang dikemukakan kepada Abdullah Badawi, adalah dari kandungan ucapan dasar Presiden PAS, Allahyarham Haji Yusof Rawa dalam muktamar PAS. Ucapan itu disusun dan ditulis oleh Dato’ Nakhaie Haji Ahamad. Pada masa itu beliau masih dalam PAS.

Sebilangan ahli UMNO yang tidak Islamik menentang Islam Hadhari secara diam-diam, kerana Islam Hadhari akan menutup banyak lubang atau sumber pendapatan mereka secara haram, seperti rasuah dan perjudian.

Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang dan semua ahli PAS menentang Islam Hadhari. Mereka yang tidak tahu akan asal usul Islam hadhari itu menganggap ia sebagai mazhab baru. Mana yang tahu asal usul, khuatir akan menenggelamkan PAS kerana UMNO juga menggunakann Islam.

Haji Hadi paling takut; kalau UMNO bertukar corak kepada Islam, UMNO akana lebih popular dari PAS dalam melaksanakan Islam. Lebih khuatir lagi mana-mana ahli PAS yang mengejar kebendaan, seperti golongan muda yang tidak zuhud akan menyeberang kepada UMNO.

Kira-kira tiga setelah Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Islam Hadhari di Shah Alam beberapa orang tokoh UMNO bersungut kepada saya, bahawa mereka tidak setuju dengan Islam Hadhari. Ada pula yang berani berkata, bahawa mereka akan menentang Perdana Menteri itu.

Penentangan terhadap Abdullah Ahmad Badawi telah berjalan dalam UMNO oleh mereka yang menentang Islam Hadhari. Usaha untuk menjatuhkan beliau telah berjalan lancar.Akhirnya berlakulah pengumuman peralihan kuasa pada 2010.

Apabila usaha mereka berjaya (lihat dalam internet, bahawa kumpulan Tun Abdul Razak telah menggulingkan Tunku Abdul Rahman), maka mereka terus mendesak supaya Abdullah Aahmad Badawi berundur lebih awal dari 2010.

Mereka itu mencapai kejayaan untuk menjatuhkan pemimpin. Maka, Majlis Tertinggi UMNO teah mencapai persetujuan, bahawa Abdullah Ahmad Badawi akan mengundurkan dirinya pada April tahun 2009. Kejayaan itu adalah dibanggakan oleh mereka yang menentang Islam Hadhari dan tidak mahu UMNO berubah menjadi sebuah parti yang berideologikan Islam.

Semenjak berlaku gerakan dalam UMNO untuk menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi, maka individu yang Islamik dalam UMNO yang mengikut beliau memandang jauh ke hadapan; lebih baik mereka kembali kepada Anwar Ibrahim dari berada dalam UMNO di bawah pimpinan Najib Tun Razak.

Akibat dari mereka kembali kepada Anwar Ibrahim dan orang-orang Cina dan India berpaling kepada parti-parti pembangkang, maka pilihan raya umum yang lalu dan pilihan raya kecil Permatang Pauh telah menghampakan UMNO dan Barisan Nasional.

Kita akan melihat dengan penuh sesalan, iaitu setelah Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan kerusi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, maka ramai dari pengikut beliau akan mengikut Anwar Ibrahim sama ada secara terang-terangan atau seperti anai-anai dalam batang buruk.

Anwar Ibrahim tidak akan berjaya membawa undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat. Beliau juga tidak akan mendapat restu Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan kerajaan, kerana Perdana Menteri tidak akan menasihatkan Baginda berbuat demikian.

Kalau Anwar Ibrahim rakus, maka dia akan gagal, tetapi kalau dia sabar, pada pilihan raya umum mendatang beliau akan mencapai kejayaan. UMNO akan mengalami kekalahan teruk dan Najib Tun Razak akan menghadapi ujian besar.

Apabila parti-parti pembangkang – Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan, mereka akan mengambil beberapa langkah yang sesuai dengan sosio-demokrasi, di antaranya, meminda Perlembagaan Negara, mengenai bangsa Melayu, Raja Melayu dan Islam. Pendeknya akan berlaku penghapusan terhadap tiga perkara itu.

Pada masa itu belum tentu Anwar Ibrahim akan menjadi Presiden atau Perdana Menteri negara Republik Sosialis Malaysia. Jika negara baru itu seperti Singapura, mungkin seorang Cina akan menjadi Perdana Menteri dan Presidennya, Anwar Ibrahim atau seorang India.

Anwar Ibrahim yang dulunya pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan berjuang menegakkan Islam sebagai Addin, akan terpaksa berubah pegangannya dan menjunjung sosialisme pula.

Pada masa itu juga, Najib Tun Razak akan menghadapi banyak tuduhan terhadap dirinya yang dilakukan oleh pemerintah baru. Pada zaman itu akan berlakulah ‘anak Melayu merempat di bumi sendiri’. Hidup seperti cengkadak; dua mata besar dan kaki dan tangan panjang tanpa isi.

Jalan di hadapan masih terbuka bagi mereka yang sedar. Untuk menyelamatkan UMNO dari terkubur, maka parti politik Melayu itu mengubah coraknya dari sebuah parti politik Melayu dan kapitalis kepada parti Islam dan kebangsaan Melayu. Membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam (menurut perlembagaan, mereka itu Melayu) untuk menjadi ahlinya.

Selain dari pemimpin UMNO mestilah seorang tokoh yang berpengetahuan Islam yang luas, parti politik itu itu hendaklah bekerjasama secara ikhlas dengan PAS. Sama-sama berusaha membentuk Negara Islam yang perlembagaannya berdasarkan Quran..

Jika mereka yang masih tegar mempertahankan dasar UMNO sekarang, maka mereka akan mejadi seperti nelayan yang perahu hanyut dayung hilang. Tidak ada sesiapa yang boleh takbur mempertahankan UMNO, kalau dasar parti politik itu masih konsevertif atau ortodoks ragam dan sifatnya.

Sebenarnya kita telah dewasa dengan kemerdekaan kita, tetapi parti politik yang membela bangsa kita masih enggan menerima pakai undang-undang yang ditunjukkan oleh Allah dalam Quran.Maka tidaka hairanlah kalau ramai orang telah jemu dengan UMNO dan masing-masing mencari parti politik yang benar-benar mengikut petunjuk dari Allah. Pada masa ini, PAS adalah terbaik bagi orang Melayu yang Islamik.

1 comment:

  1. Tulisan ini amat baik. Alangkah baik jika ramai lagi yang dapat membacanya.

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.