Monday, August 18, 2008

RAJA MUDA PERAK DAN HAJI HADI

RAJA MELAYU KETIGA MESRA ISLAM

Oleh: Mokhtar Petah


Berita Raja Muda Perak, Raja Dr.Nazrin Shah menerima mengadap Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul ‘Am merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 14 Ogos lalu, adalah Raja Melayu yang keempat mesra Islam dan menaruh perhatian kepada perjuangan umat Islam.

Raja Melayu yang pertama mesra Islam, ialah Sultan Kelantan, yang kedua Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah dan yang ketiga Sultan Terangganu dan kini Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Haji Abdul Hadi mengetuai beribu-ribu ahli PAS yang mengadakan muktamar parti tersebut di Ipoh.

Menyertai Haji Abdul Hadi mengadap Raja Dr. Nazrin ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Ahmad Awang.

Raja Dr. Nazrin adalah terkenal sebagai waris Sultan Perak yang berfikiran terbuka dan menaruh perhatian yang serius kepada agama Islam dan perjuangan umat Islam, sama ada dalam ekonomi mahupun politik.

Baginda juga telah berkenan Haji Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri dan Masjid Sultan, Masjid Sultan Idris Shah II, di Ipoh.

Malangnya media kerajaan, BERNAMA telah mengelirukan ‘sikap suci’ Raja Muda Perak itu dengan menyebarkan berita kononnya, dua orang tokoh PAS itu dilarang oleh Raja Muda untuk membaca khutbah di masjid-masjid, di Ipoh.

Raja Muda Dr. Nazrin Shah amat mengetahui akan perbezaan antara agama Islam dengan agama Kristian, iaitu Islam sebuah agama yang ada politik di dalamnya, iaitu politik berdasarkan Quran dan Sunnah dan Kristian menolak politik, iaitu agama tersebut tidak ada politik.

Amalan pihak-pihak tertentu melarang orang-orang politik Islam berkhutbah dalam masjid, adalah mengikut ajaran atau fahaman orang-orang Kristian.

Sesungguhnya, Raja Dr. Nazrin yang bakal menaiki takhta kerajaan Perak telah ditaufik dan hidayatkan oleh Allah. Beliau adalah satu-satunya waris Raja negeri yang memahami agama Islam secara menyeluruh.

Allah telah mentakdirkan selepas pilihan raya ke- 12, Menteri Besar Perak dari tokoh PAS, iaitu Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengambil rasa besar hati dari pertemuan Raja Dr. Nazrin Shah dengan para pemimpin PAS itu, saya berharap kerajaan Perak dapat mengkaji semula undang-undang syariah di negeri itu kerana terdapat di antara undang-undang yang dipraktikkan tidak sesuai dengan Islam.

Di antara undang-undang itu, ialah mengenai khalwat dan zina. Dalam Islam tidak ada undang-undang cegah khalwat (duduk berdua-duaan lelaki dan perempuan yang sah nikah di tempat sunyi), tetapi boleh diguna undang-undang dengan tujuan mencegah perbuatan maksiat.

Tidak wujud undang-undang mengenai zina dihukum dengan menguntungkan kerajaan, iaitu denda. Dalam Quran, surah Nur (2):

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera (sebatan), dan jangan belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.


Undang-undang khalwat dan zina yang diamalkan di Perak, selain dari dikenakan hukuman penjara, dikenakan hukuman denda. Hukuman denda yang menguntungkan kerajaan tidak ada dalam Islam.

Dalam Islam, semua undang-undang (hudud), kepada yang bersalah dikenakan hukuman seperti potong tangan, bunuh dan sebagainya. Tidak ada denda.

Hukum denda atas pesalah zina dan khalwat, wang hasil denda itu sama dengan wang yang dipungut oleh ibu atau bapa ayam di sarang-sarang pelacuran dari orang-orang lelaki yang melacur.

Wang hasil denda itu dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Negeri. Wang itu bercampur dengan wang yang didapati dari berbagai sumber. Kemudian dibayar gaji para pejawat kerajaan, termasuk kadi, guru agama dan iman masjid.

Mungkin Raja Dr. Nazrin Shah bersetuju, kerana dalam Quran ada tegahan ke atas perempuan Islam mendedahkan aurat, maka undang-undang syariah Negeri Perak elok dipinda dan ditambah dengan undang-undang menegah perempuan mendedah aurat, iaitu tidak bertudung kepada di luar rumah dan membuka sebahagian dada, perut dan pusat.

Kerana Raja Melayu menjadi ketua Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri masing-masing, maka undang-undang Islam perlulah dilaksanakan dengan betul agar yang memikul bebanan itu tidak ditimpa bala oleh Allah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.