Saturday, August 16, 2008

LESUNG BATU


BERSUMPAH


Semua orang kampung tahu Jamilah kena penyakit busung, kena tangas dengan lesung batu panas kerana dia berdosa. Dia berdosa kepada Allah dan kepada suaminya. Kerana suaminya telah lumpuh, dia telah menggunakan suami sambilan atau menduakan suami.

“Milah busung,” kata orang-orang tua.

“Kak Milah busung,” laung budak-budak nakal.

“Mak cik Milah busung,” kata kanak-kanak berhingus

“Betina setan tu busung, tangas dengan lesung batu...,”kata Siak surau, Lebai Bedol.


Sepuluh tahun yang lalu, Jamilah seorang gadis kampung yang cantik. Tidak ada gadis yang lebih cantik daripadanya. Ada yang menyamakan Jamilah dengan Kasma Booty, Fatimah Ahmad, Zaiton, Hashimah Yon dan beberapa seniwati filem Melayu.

Jamilah tamat darjah enam Sekolah Kebangsaan. Sebagai kebanyakan gadis kampung, dia telah belajar ilmu agama Islam di sekolah agama rakyat di kampungnya. Ilmu fardu ain yang dipelajarinya memadai untuk mengawal dirinya dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama Islam.

Pada usia 22 tahun, Jamilah telah berkenalan dengan seorang pemuda yang bekerja sebagai pegawai luar sebuah agensi kerajaan, bernama Johari. Pejabat Johari berhampiran dengan kampungnya.

Perkenalan mereka bermula pada hari diadakan gotong royong di kampung Jamilah. Dari perkenalan itu ibarat bumi ditabur benih dan benih itu cambah, tumbuh dan berdaun segar. Cinta Jamilah dan Johari tumbuh segar. Berbunga. Kembang.

Kira-kira tiga bulan Jamilah dengan Johari berkasih sayang. Janji setinggi gunung dan ikrar seluas lautan Hindi. Mereka berkahwin dalam satu majlis yang meriah.

Berbagai jenis hadiah telah diterima oleh sepasang pengantin baru itu. Di antara kotak-kotak barang hadiah yang paling berat itu, ialah sebuah kotak berukuran kira-kira 14”X14”. Berat bagaikan sama dengan satu batu nisan pusara kanak-kanak. Di dalam kota itu adalah sepasang lesung batu. Dihadiahkan oleh orang yang tidak diketahui namanya. Hanya pada kad kecil ditulis: Dari penghuni kampung.

“Ada gunanya lesung batu ni,”kata pengantin lelaki.

“Alaaa, nak buat apa lesung batu ..., kalau ia juga ...,”sambut pengantin lelaki.

“Lesung batu ni, nilainya lebih mahal dari emas ...,” kata pengantin lelaki.


Pengantin perempuan diam. Hatinya menolak pendapat suaminya. Dia tidak terfikir nilai lesung batu itu lebih mahal dari emas.

Kira-kira sebulan kemudian Jamilah dan suaminya berpindah ke sebuah rumah teres setingkat yang terletak di tepi jalan raya. Rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah ibu dan bapa Jamilah itu telah dibeli oleh Johari.

Lesung batu hadiah dari penghuni kampung itu dibawa oleh Johari ke rumah mereka. Lesung batu tidak pernah dibawa ke tengah rumah. Saban waktu ia terperosok di ceruk dapur. Sekali sekala lesung batu itu digunakan oleh Johari untuk menumbuk halia bara, buah pelaga dan isi cekur untuk mengubati dirinya sendiri.

Malang tidak berbau. Pada satu hari Johari telah ditimpa kemalangan. Pada dia memandu sebuah jeep dalam ladang di tempat kerjanya. Pada ketika melalui atas jalan di pinggir gaung, jeepnya telah terbabas lalu menjunam ke dalam gaung tersebut. Akibat dari kemalangan itu Johari menderita lumpuh dari pinggang hingga ke dua puntung kakinya.

Setelah dikeluarkan dari hospital, Johari terlantar sebagai bangkai bernyawa di rumahnya. Wang pampasan dari insuran dan sumber-sumber lain cukup untuk menyara dirinya dan isterinya.

Walaupun Jamilah ada sedikit sebanyak ilmu agama Islam, tetapi kerana tidak sabar, imannya nipis dan runtunan nafsunya kuat, maka dia telah menduakan suaminya. Seorang lelaki Bangladesh, bekerja mandur di ladang tempat suaminya bekerja telah menjadi suami sambilannya.

Beberapa bulan kemudian, perbuatan Jamilah telah diketahui oleh orang-orang kampung. Kemudian khabar buruk itu telah sampai kepada suaminya. Apabila suaminya bertanya dan mendesak, Jamilah menafikannya. Dia telah menuduh orang-orang kampungnya sengaja memburuk-burukkan namanya.

Pada satu malam, kerana terlalu didesak oleh suaminya, Jamilah dengan berani dan bodohnya telah bersumpah dengan nama Allah dan menjunjung Quran di hadapan suaminya.

Johari yang telah menyaksikan Jamilah bersumpah, dia tidak menaruh sebarang syak dan sangka kepada isterinya. Dia percaya isterinya seorang perempuan yang jujur dan amanah.

Seminggu kemudian Jamilah diserang sejenis penyakit ganjil. Kemaluannya membengkak seperti punggung beruk betina datang bulan. Sakitnya Allah sahaja yang mengetahui.

Kira-kira tiga minggu dia dirawat dihospital, tetapi para doktor yang merawatnya tidak dapat pengetahuan mengenai penyakit yang dihidapi oleh Jamilah. Dia kembali ke rumah dan menderita kesakitan di sisi suaminya.

Seorang dukun yang menjampi orang sakit dengan menggunakan ayat-ayat Quran dan doa, telah mengubat Jamilah. Dia telah menulis beberapa ayat Quran pada perut dan anak lesung batu itu. Kemudian lesung batu itu dibakar sebagai tungku. Tungku panas itu dibalut dengan daun seruntun sebekum dibalut dengan kain.

Jamilah disuruh bertaubat dan bertungku selama tujuh pagi. Selama tujuh pagi juga Jamilah disuruh minum air basuh kaki suaminya. Semuanya itu dilakukan oleh Jamilah.

Pada hari yang ke lapan, penyakit busung Jamilah mulai betah. Johari sukacita kerana isterinya telah bertaubat dan penyakitnya telah betah sedikit.

Tiga bulan kemudian Johari telah meninggal dunia. Jamilah yang ditinggalkan masih mengidap busung kemaluannya. Saban pagi dia bertangas dengan lesung batu panas.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.