Tuesday, August 19, 2008

KEMERDEKAAN


Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Laung Abu Bakar Al Baqir,

Parti Islam Hizbul Muslimin,

Dr. Burhanuddin Helmi dan Ishak Haji Muhammad.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya.


Satu bangsa; bangsa Melayu,

Satu negara; negara Melayu,

Satu bahasa; bahasa Melayu,

Islam, agama negara Melayu.

Cita dan nekad bangsa kita.


Hidup Melayu!

Laung Dato’ Onn Jaafar,

Dari Kampung Baru ke puncak Titiwangsa,

Menguak ombak Selat Melaka,

Merentang angin di Langkawi.

“Tangkap semua!!!” pekik Dato’ Onn Jaafar,

Polis orang putih bertindak,

Tangkap Abu Bakar al Baqir, Ishak Haji Muhammad,

Semua pejuang tanah air ditahan,

Dalam khemah tahanan di merata-rata.


“Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Laung Tunku Abdul Rahman,

Pada bulan, pada bintang di dada langit.

Bisik British,

Bisik syaitan penjajah,

“Malays stop, no power stop,

jv country and jv independence”.


Bangsa Melayu layu,

Jadi kaum dalam dua bangsa baru,

Jiwa Melayu terjajah,

Bercakar sama sendiri,

Melaung sampai ke bulan,

Tahi lekat celah gelegar.

“Penjajah bentuk baru!” pekik Soekarno,

Ombak terhenti di Selat Melaka,

Angin patah di Gunung Jerai,

Semangat Melayu rebah di Kota Melaka.


Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Laung guru dan semua murid,

Tanah sekangkang kera entah ke mana,

Bahasa Melayu bak pegaga layu di huma,

Pandai anak Melayu jadi hamba,

Kera di hutan ketawa,

Bayi Melayu dalam buaian, lapar,

Susu ibu dihisap kera,

Puting ibu jadi barah payu dara.


Sayup-sayup suara Pak Pandir,

Megah dek tanjak kampung tergadai,

Badan merempat di bumi sendiri,

Yang berjuang kurang jujurnya,

Suara naga berjalan semut.


Kata ulama,

“Islam agama Allah,

Pegang sungguh-sungguh,

Jihad dan teguh iman,

Bangsa Melayu akan bangun semula,

Satu bangsa direda Allah”


Pulau Sabang, Aceh Mokhtar Petah

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.