Sunday, August 17, 2008

FILEM SEJARAH PASIR SALAK


MINTA JINS SHAMSUDDIN TUNAI JANJINYA?


Ipoh: Persatuan penulis dan peminat Sastera Perak (PENTAS) meminta seniman dan Senator Jins Shamsuddin menunaikan janjinya untuk menerbitkan filem perjuangan orang Melayu Pasir Salak yang hingga kini tidak mendengar khabar dan beritanya.

Presiden persatuan tersebut, Encik Osman Bakar memberitahu, pihaknya akan mengambil langkah-langkah tertentu supaya wang Yayasan Perak yang dikeluarkan untuk projek filem itu lebih RM1 juta tidak hilang begitu sahaja.

“Kami tahu wang itu telah dikeluarkan oleh Yayasan Perak kepada Jins Shamsuddin pada tahun 1995, tetapi hingga kini filem itu tidak diterbitkan dan wangnya entah ke mana,”kata Osman Bakar.

“Kami harap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Badan Pencegah Rasuah dapat menyiasat perkara filem Pasir Salak dan wang Yayasan Perak yang lesap itu,” katanya lagi.

“ Wang itu dikeluarkan kepada Jins Shamsuddin pada masa Datuk Anwar Zaini (kini pengerusi BERNAMA) menjadi ketua eksekutif yayasan itu, iaitu pada masa Tan Sri Ramli Ngah Talib menjadi Menteri Besar,”tambahnya.

Menurut Osman Bakar, bahawa persatuannya mahu Jins Shamsuddin memulangkan balik wang itu kepada Yayasan Perak jika filem itu gagal diterbitkan.

Dalam buku Kejayaan Bersama yang ditulis oleh Mokhtar Petah, pada tahun 1995, telah menerangkan:

‘Khabar yang sedang dipendam dan akan menjadi ‘isu hangat’ dan sedang digunakan oleh beberapa orang wakil rakyat yang ‘menyembunyikan keris’ di belakang Menteri Besar ialah tentang Yayasan Perak telah ‘melabur atau menabur’ wang yang banyak kepada sebuah syarikat yang dikelolakan oleh Datuk Jins Shamsuddin. Syarikat itu akan membuat filem sejarah Pasir Salak yang dinamakan ‘King Of The River’ – sebuah filem bahasa Inggeris yang dibiayai oleh sebuah syarikat filem dari negara Inggeris.

Saya telah mengkaji nama filem itu dan membaca skripnya dari seorang keturunan Sultan Abdullah, maka saya mendapati filem itu kalau ditayangkan nanti tidaklah menimbulkkan kebaikan kepada sejarah perjuangan bangsa Melayu dalam zaman Sultan Abdullah, Dato’ Sagor, Dato’ Maharaja Lela dan pahlawan-pahlawan Melayu yang lain, sebaliknya menghina atau sekurang-kurangnya merendahkan bangsa Melayu.

Mengapa Yayasan Perak tidak meminta fikiran dari para penulis, sasterawan, budayawan dan para intelektual Melayu Perak mengenai filem itu sebelum mengeluarkan wang yang begitu banyak? Tidakkah terfikir, bahawa wang milik Yayasan Perak itu adalah wang kerajaan dan rakyat? Ertinya wang tidak kepunyaan individu yang boleh dilaburkan (ditaburkan) sesuka hati.’


Kalangan budayawan di Negeri Perak berpendapat, bahawa wang yang banyak, iaitu adalak kepunyaan kerajaan negeri Perak dan rakyat, maka Menteri Besar sekarang perlu melakukan tindakan supaya orang ramai mendapat tahu apa telah jadi dengan filem Pasir Salak itu.

Menurut mereka, Datuk Anwar Zaini yang bertanggungjawab mengeluarkan wang tersebut perlu memberi penjelasan kerana mereka mendapati seperti ada penyelewengan.

Ramli Ngah Talib pada masa memegang jawatan Menteri Besar pernah bersungut tentang wang lebih RM1 juta itu kepada seorang penulis di Kuala Lumpur dan beliu menyalahkan pihak Yayasan Perak.

(Laji Lamin).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.