BERENANG DI LAUTAN API
Oleh:
“Demi cinta kita, jika terterap sama- sama membaham pasir, jika terlentang sama-sama menelan embun.”
Mungkin begitukah sumpah setia Anwar Ibrahim dengan kekasihnya, Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Szua memuji kejujuran dan keberanian Anwar Ibrahim dalam mempertahankan cintanya kepada kekasihnya. Dia dan kekasihnya tidak sebagai kebanyakan teruna dan dara, apabila datang dugaan, cinta mereka menjadi musnah. Masing-masing merana. Anwar dan Wan Azizah tidak berkhayal dengan kata-kata falsafah orang Melayu ini:
Kerana cinta walau lautan api akan aku renang juga.
Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan.
Anwar Ibrahim seorang belia yang berani. Bapa Wan Azizah adalah seorang pegawai tinggi yang menjaga kepentingan keselamatan negara. Di antara tanggungjawabnya adalah mengawal pergerakan belia dan tunjuk perasaan mahasiswa pimpinan Anwar Ibrahim.
Bapa mana tidak marah, pemuda yang dianggap bahaya kepada negara dan perlu dikawal, dengan tidak diketahui anak gadisnya menjadi kekasih pemuda itu.
Menurut cerita Ustaz Ahmad Awang, pegawai di Pusat Islam, di Kuala Lumpur (kini Pesuruhjaya PAS Negeri Perak dan tokoh politik Islam yang berperanan menyebabkan Barisan Nasional terlepas negeri Perak selepas pilihan raya umum ke- 13 lalu), bahawa beliau bersahabat rapat dengan Anwar Ibrahim.
Ustaz Ahmad Awang adalah orang perantara melamar Wan Azizah bagi pihak Anwar Ibrahim.
“Ana tak tau bagaimana hubungan depa terjalin. Anwar memang banyak calon pilihan, tetapi Dr.Wan Azizah menjadi pilihannya,”kata Ustaz Ahmad Awang.
“Ayah Wan Aziz, Dr. Ismail orang kerajaan dan bekerja di tempat yang paling sensitif dengan gerakan yang menentang kerajaan, jadi senangkah nak minang anaknya untuk Anwar?” Tanya Ahmad Awang.
“ ... ana tak tau, kawan-kawan menolak saya supaya jadi ketua rombongan melamar Dr. Wan Azizah sebab saya kenal ayahnya ..., saya memanggil Dr. Wan Ismail tu, Pak Wan ...,” jelas Ustaz Ahmad Awang.
Jelas Ustaz Ahmad Awang lagi, “ ...ana bersama rombongan pergi ke rumah Dr. Wan Ismail, di Jalan Maaruf, Bangsar dan melamar dr. Wan Azizah ..., sebulan kemudian ana dapat jawapan negatif dari Dr. Wan Ismail, tak boleh runding lagi.”
Menurut Ustaz Ahmad Awang, pihak Anwar Ibrahim mendesaknya supaya menikahkan Anwar Ibrahim dengan Wan Azizah. Tetapi beliau dengan orang-orang tertentu telah melakukan pernikahan Anwar Ibrahim dengan Dr. Wan Azizah mengikut proses undang–undang.
Ustaz Ahmad Awang bersama beberapa orang telah beruding dengan pihak pentadbiran Agama Islam Persekutuan, akhirnya Kadi Besar, Sheikh Ghazali memanggil Dr. Wan Ismail untguk mengisi borang khas, tetapi dia menolak pinangan Anwar Ibrahim. Oleh sebab alasan dia menolak pinangan Anwar Ibrahim itu tidak kukuh, maka hak wali gurur dari dirinya. Perkahwinan Anwar Ibrahim dengan Dr. Wan Azizah dicadangkan melalui wali hakim di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Disebabkan Jabatan Agama Islam Persekutuan dekat dengan rumah Dr. Wan Ismail, dikhuatirkan akan berlaku sesuatu yang tidak diingini, maka pernikahan Anwar Ibrahim dengan Dr. Wan Azizah disetujui untuk dilangsungkan di Pulau Pinang.
Maka, Anwar Ibrahim telah menikah dengan Dr. Wan Azizah menggunakan wali hakim. Kadi Besar Pulau Pinang, Datuk Harun Sani bin Zakaria (kini Mufti Kerajaan Perak) telah melakukan akad nikah ke atas Anwar Ibrahim.
Seperti yang diceritakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Luar Negeri, Abdullah Ahmad Badawi, iaitu Abdul Fatah, bahawa sehari selepas Anwar Ibrahim dan Dr.Wan Azizah bernikah di tinggal di rumah ibu bapa Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Dr. Wan Ismail telah datang menemui Abdullah Ahmd Badawi di Kepala Batas. Dia membawa sepucuk pistol dengan tujuan untuk menembak Anwar Ibrahim. Abdullah Ahmad Badawi membawanya ke dalam masjid Kepala Batas dan sambil menasihati rakannya itu, dia mengambil pistol dari Dr. Wan Ismail dan mengeluarkan semua enam butir peluru dari pistol itu.
Allah telah menolong sesiapa yang menolong-Nya. Dr. Wan Ismail telah mengikut nasihat rakannya itu. Dia telah kembali ke Kuala Lumpur dengan perasaan baru dan hatinya menyerah kepada kekuasaan Allah.
Abdullah Ahmad Badawi adalah rakan Dr. Wan Ismail. Pada masa berlaku tragedi 13 Mei 1969, mereka sama-sama memikul tanggungjawab atas keselamatan negara. Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara dan Dr. Wan Ismail pegawai yang bertanggungjawab atas keselamatan negara.
(bersambung)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.