Tuesday, July 8, 2008

LESUNG BATU


POLITIKUS TEH TARIK

Kulup Mejah warga kampung. Dia pernah belajar ilmu politik. Bahkan pelajarannya sekadar darjah enam sekolah rendah. Tetapi saban hari dia bercakap fasal politik. Orang politik itu tak betul. Orang politik itu tak baik. Pendeknya dia macam penonton boleh sepak, walau sepuntung kakinya tempang, dia sentiasa marahkan pemain bola. Ada tak betul dan tak kena.

Pekerjaan Kulup Mejah tak menentu. Jadi broker, tukang pacak tiang bendera parti politik. Setiap pagi dan petang dia berulang ke warung teh tarik Pak Abu di kampung itu. Dia tumpang makan dan minum belanja percuma dari orang-orang yang datang ke warung teh tarik di kampung itu.

Rakan-rakan Kulup Mejah, Mat Kentoi, Bodin, Awang, Sayed Nontak dan Seman Cerut. Mereka berpelajaran sekadar pelajaran Kulup Mejah. Cara hidu dan perangai mereka juga sama dengan Kulup Mejah.

Kulup Mejah ada seorang isteri dan dua orang anak. Seorang dari anaknya cacat.

Oleh kerana Kulup Mejak sentiasa bercakap politik dan menjadi pelepak politik di warung teh tarik, maka isteri, Embun dan anak-anaknya hidup dalam kesempitan. Makan nasi dengan garam telah menjadi kebisaan. Makan sambal telunjuk berdiri menjadi amalan saban hari.

Mujurlah isteri Kulup Mejah pandai menjahit baju kurung. Dari wang upah menjahit baju-baju kurung perempuan-perempuan di kampungnya dan kampung-kampung lain dapatlah dia membeli beras, gula, kopi dan makan makanan perlu ala kadar.

Embun perempuan rajin. Dia berbudi kepada tanah. Kawasan tanah di sekitar rumahnya ditanami dengan pokok cabai burung, cabai besar, kunyit, serai, terung, pegaga dan sayur-sayuran lain.

Kulup Mejak orang politik. Dia tidak pernah menolong isterinya bercocok tanam. Kadang- kadang, bila rasa sedih dan tidak tahan menderita, Embun bersungut sendirian, “ semua atas embun ..., ambil air di perigi atas embun, jahit baju atas embun, cocok tanam keliling rumah atas embun ..., belanja anak sekolah atas embun ..., buat tu pun atas aku juga ...”

“Dolah Badawi tak tau politik, Najib mana tau politik, Anwar Ibrahim lagi tak tau politik, Nik Aziz, Haji Hadi mana tau politik ...,”Kulup Mejah berkata kepada rakan-rakannya di warung teh tarik.

Kulup Mejah telah jadi macam mubaligh politik di warung teh tarik itu. Bila bercakap dengan orang UMNO, dia puji Abdullah Badawi, Najib, Zahid Hamidi dan beberapa orang lagi, dia cerca dan umpat Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Nik Aziz dan menteri-menteri besar PAS.

Bila dia bercakap dengan orang PAS, dia puji Nik Aziz, Haji Hadi dan cerca Abdullah Badawi, Najib dan beberapa orang lagi.

Kulup Mejah orang politik lepak tidak sedar; kerana dia terlalu kerap dan banyak minum teh tarik, tubuhnya telah menjadi sarang kencing manis dan tenaga lelakinya telah menjadi macam daun bayam tengah panas sahaja.

Pada satu hari, Kulup Mejak pulang ke rumahnya. Hajatnya hendak makan nasi tengah hari. Tetapi bila dia tiba di rumahnya, di dapati isteri dan anak-anaknya tidak ada lagi. Di bawah tudung saji atas meja tidak ada makanan di sediakan.

Di bawah tudung saji itu ada sepasang lesung batu. Dalam lesung batu itu ada sebiji cabai burung yang masak dan merah. Ada lima cebisan kertas kecil tersusun di bawah buntut lesung batu itu.

Kulup Mejah membaca tulisan isterinya pada kertas-kertas kecil itu:

(1) ‘Politik abang kami jadi lapar’ ,

(2) ‘Abang berpolitik dapur kita tak berasap’,

(3) ‘Orang politik macam abang hanya tukang umpat orang’,

(4) ‘Embun harap anak lesung batu ini ajar abang jadi suami sejati’,

(5) ‘Orang berpolitik, abang berpolitik, abang macam rambutan jantan, orang berbunga abang berbunga, orang berbuah, abang tidak’.

Dalam kedaan perut lapar, Kulup Mejah tersandar pada dinding. Dia insaf; dia bukan ahli politik, tetapi pelepak politik. Orang politik teh tarik. Dia orang politik jahil politik. Jadi mangsa orang politik seperti pantun di bawah ini:

Orang kota bela itik,

Itik buta makan lada;

Orang buta beza politik,

Politik jadikan dia hamba.

mokhtarpetah.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.