Tuesday, July 22, 2008

ANWAR IBRAHIM

RAJA MELAYU DUKA DIA GEMBIRA

Oleh: Mokhtar Petah

[Manuskrip buku Anwar Ibrahim Dalam Sejarah Alam Melayu ditulis oleh Mokhtar Petah pada tahun 1998, tetapi kerana beberapa sebab, manuskrip tersebut tidak dapat disiapkan. Adalah diharapkan, sebaik-baik manuskrip ini telah siap ditulis dan akan diterbitkan.

Petah Shahrir Aidid.]

*** ***

Penasihat Parti Kedilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.Anwarditahan pada jam 1 petang selepas keretanya dipintas kenderaan Pasukan Khas Bukit Aman (16.7.2008), termasuk 20 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang bertopeng ski, kira-kira 50 meter dari rumahnya di Bukit Segambut, dekat sini.’

(Berita Harian 17 Julai 2008).

Pada hakikatnya, semenjak Anwar Ibrahim menyertai UMNO sebilangan besar orang-orang lama -veteran, dalam UMNO berada dalam keadaan gelisah, kerana mereka khuatir Anwar Ibrahim akan melakukan reformasi dalam UMNO dan parti politik asobiah Melayu itu akan bertukar menjadi sebuah parti Islam. Mereka dihantui oleh prasangka terhadap Anwar Ibrahim akan membawa UMNO berganding bahu dengan PAS.

Kegelisahan mereka itu, kerana sebelum menyertai UMNO, Anwar Ibrahim pernah mengumumkan secara lantang yang dia akan memasuki UMNO kerana dia akan mengislamisasikan parti kebangsaan Melayu itu.

Dua negarawan Melayu itu – Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim telah menghapuskan pengaruh istana. Penghapusan itu menjadi lebih menonjol setelah buku Malay Dilema yang ditulis oleh Dr. Mahathir Mohamad pada masa dia disingkirkan dari UMNO oleh Tunku Abdul Rhman telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dibaca oleh kebanyakan orang Melayu. Buku itu lebih bersifat mengkritik dan mengecap sikap Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak dan beberapa orang tokoh politik di bawah dagu mereka.

‘Perkara yang mula-mula sekali terlintas di fikiran kita ialah kebanyakan orang Melayu adalah berfahaman feodal dan mereka mahu terus berfahaman demikian. Revolusi yang dimulakan dengan mengajar pemusnahan institusi kesultanan yang sudah termaktub akan gagal. Ia tidak akan mendapat sokongan dari kebanyakan orang Melayu yang ortodoks. Lagi pula kesultanan itu tidak membawa apa-apa kerugian terhadap orang Melayu atau pun sesiapa jua. Pemeliharaan sistem yang begini tidak dapat dinafikan memang tinggi biayanya, tetapi oleh kerana Raja-Raja dipisahkan dari kuasa, maka ia tidak merupakan penindasan. Lagi pula Malaysia tanpa Raja bermaknalah seolah-olah orang Melayu tidak wujud sama sekali. Pada masa yang lampau Raja-Rajalah yang telah memberi dan meneruskan ciri- Melayu di Tanah Melayu. Jika mereka disingkirkan maka bermaknalah peninggalan akhir Tanah Melayu tradisional akan hilang. Inilah sebabnya orang Melayu masih lagi bersifat feodal walaupun mereka telah menerima pendidikan moden dan mempunyai sofistikasi dalam politiki.’

(tullisan Dr. Mahathir Mohamad pada muka surat 124, buku Dilema Melayu 1994.)

Hasil dari pengertian dan anggapan Tunku Abdul Rahman dan para penyokongnya terhadap kandungan buku Malaysia Dilema (Dilema Melayu), maka buku tersebut telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negberi dari diedarkan, dijual dan dibaca oleh orang ramai negara ini. Pengharaman terhadap buku itu telah berakhir, apabila King Gaz – Tan Sri Ghazali Shafie tidak lagi memegang tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri.

Satu revolusi mengurangkan kekebalan Raja-Raja Melayu yang dipelopori oleh Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim pada tahun 1982 dan pada tahun 1992 revolusi itu menjadi lebih berjaya dan kekebalan Raja-Raja Melayu di kurangkan. (baca buku Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu, oleh: Mokhtar Petah). Revolusi itu telah berjaya setelah anak Negeri Sembilan bermastautin di Melaka, Tun Abdul Ghafar Baba telah dijadikan wira yang memakai bayangan Hang Jebat seperti dalam cerita dongeng sejarah Melayu. Dia telah membentang usul menghapuskan kekebalan Raja-Raja Melayu di Dewan Rakyat pada 10 Disember 1992.

Pada masa Tunku Abdul Rahman menyingkirkan Dr. Mahahtir Mohamad dari UMNO dulu, Ghafar Baba menjadi penyokong Tunku yang terkuat. Pada masa itu, seperti juga Tunku Abdul Rahman dan rakana-rakannya yang lain, Ghafar Baba telah menganggap Dr. Mahathir Mohamad musuh dan pengkhianat UMNO buat selama-lamanya.

Sesungguhnya, manusia hanya merancang dan mentadbir, tetapi kehendak dan kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Akhirnya, dengan usaha Datuk Haji Harun Idris, Dr.Mahathir Mohamad diterima semula ke dalam UMNO dan Ghafar Baba terpaksa tunduk kepada beliau dengan taat setia yang tidak berbelah bahagi.

Sebagai seorang pejuang yang telah memulakan perjuangannya dari sekolah – Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Universiti Malaysia hingga tahun 1971, Anwar Ibrahim telah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1972 – 1982 dan sebelum itu telah mengetuai Majlis Belia Malaysia 1972 - 1976 . Nama Anwar Ibrahim telah terjulang ke langit zaman sebagai seorang pejuang nasionalis – Islam dan pelopor pembela rakyat marhein yang terpaksa memakan sambal telunjuk berdiri.

(bersambung esok).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.