Wednesday, July 9, 2008

ABANG MB PERAK TAASUB

Cari Rahsia Dalam Sejarah Islam


Jika benarlah abang kepada Menteri Besar Perak, Mohd. Nizar Jamaluddin, iaitu Fadhil Jamaluddin pensyarah perguruan Darul Iman Jitra, Kedah, menyifatkan adiknya ‘kacang lupakan kulit’, maka dia adalah perentas silaturrahim keluarga dan taasub.

Fadhil telah mencipta satu kealahan memutuskan silaturrahim dan mengisytiharkannya kepada umum. Tanyalah mana-mana ulama, perbuatannya itu adalah salah di sisi Islam.

Dari segi Perlembagaan Negara tidak menjadi kesalahan bagi Mohd. Nizar menyertai PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat - PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat. Semua organisasi politik dibenarkan memerintah negara dan negeri, jika ia mendapat kemenangan majoriti dalam pilihan raya kebangsaan dan negeri.

Seperti yang dilaporkan wartawan Utusan Malaysia (7 Julai 2008), Hashim P.Mamat (salah seorang peserta kursus kewartawanan yang saya anjurkan di Kuala Kangsar pada tahun 1960-an), ... orang Melayu sepatutnya sedar tentang perjuangan UMNO dan BN yang hingga kini telah berjaya melahirkan ramai daripada kalangan bangsanya (Mohd. Nizar) menjadi orang berjaya.

Justeru, jelas beliau, adalah tidak manis sekiranya seseorang yang telah berjaya hasil dari perjuangan UMNO dan BN akhirnya bertindak menentang kerajaan pula.

“Saya berasa bangga di atas usaha kerajaan BN yang memerintah negara selama 50 tahun kerana berjaya melahirkan anak-anak Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang.”

“Mereka yang berjaya itu termasuklah adik saya yang kini menjadi Menteri Besar Perak. Jadi saya rasa semua yang berjaya termasuk adik saya tidak boleh menafikan perjuangan UMNO dan BN selama ini,”ujarnya.


Walaupun Fadhil berpelajaran tinggi, tetapi dia tidak berjaya mengikis penyakit fanatik atau taasub dalam dirinya. Untuk mengubat penyakit itu, dia kenalah membaca sejarah, terutama sejarah agama Islam dari Nabi Musa, Ibrahim hingga kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Nabi Musa anak angkat Raja Firaun, kerana perjuangan menegakkan agama Allah, Junjungan menentang Firaun. Nabi Ibrahim kerana menjalankan perintah Allah, Junjungan tidak mengikut atau tidak taat kepada bapanya.

Nabi Muhammad s.a.w., pada masa kecil Junjungan hidup, manja di kalangan keluarga kaya dan tidak beragama Islam. Tetapi kemudiannya, Junjungan bertelagah dan menentang mereka kerana menegakkan Islam.

Abdullah Ibnu Ubai, seorang munafik yang kaya raya. Ramai pekerjanya. Tetapi ramai di antara mereka meninggalkannya dan mengikut Nabi Muhammad s.a.w. dan Junjungan tidak menegah mereka.

Dia juga kena meneliti sejarah perjuangan Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman hingga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mereka itu menuntut ilmu pengetahuan hingga universiti luar dan dalam negara adalah dari biasiswa atau kemudahan bantuan dari kerajaan penjajah Inggeris.

Dato Onn misalnya, anak angkat Sultan Johor, tetapi dalam perjuangan dia bercanggah dengan Baginda. Dia menuntut dengan biasiswa kerajaan Inggeris. Dia menentang Inggeris.

Demikian juga para pemimpin UMNO dulu dan kini. Dr. Mahathir Mohamad telah menuntut di Universiti Malayaia Singapura dengan kemudahan dari kerajaan Inggeris dan Abdullah Badawi demikian juga. Tetapi mereka itu mengikut jejak orang-orang menolak Inggeris dan bebas dalam negara sendiri.

Benar anak-anak Melayu yang pandai dan berjaya adalah kerana mendapat bantuan kerajaan UMNO dan BN. Tetapi, kalau Fadhil tidak taasub, beliau tentu tahu, bantuan itu dari Kerajaan Malaysia atau Kerajaan Negeri Perak atau negeri-negeri lain, tetapi bukan wang UMNO dan Barisan Nasional.

UMNO dan BN hanya menerima amanah menjaga kerajaan. Ibarat noja atau siak menjaga masjid. Atau seperti Fadhil menjaga Perguruan Darul Aman. Wang kerajaan bukan milik UMNO dan BN. Masjid bukan milik noja atau siak. Perguruan Darul Aman bukan milik Fadhil.

Ir Mohamad Nizar ahli PAS - organisasi menegakkan Negara Islam (cita-cita mereka belum berjaya). Beliau tidak mengkhianat atau tidak lupa budi Kerajaan Malaysia atau Kerajaan Negeri Perak. Beliau menjadi Menteri Besar kerana membela kerajaan Negeri Perak.

Saya menyokong Fadhil, jika PAS dan parti-parti yang memerintah Negeri Perak tidak diterima oleh Perlembagaan atau mereka itu berada dalam organisasi haram.

Cuba Fadhil membaca banyak buku ilmu politik, tentu akan dapat mengetahui, bahawa PAS sebuah parti politik memperjuangkan kebangkitan Islam dan Negara Islam dan UMNO sebuah organisasi tidak berideologi, iaitu nasional - kapitalis. agama Islam dijaga sebagai agama tanggungjawab orang Islam, tetapi tidak berjuang menegakkan Negara Islam.

Sebagai seorang pensyarah, luas pengetahuan, Dia menimbulkan clash adik beradik kerana dia terikut-ikut dengan propaganda kebendaan atau taasub, maka eloklah dia kembali meminta maaf kepada adiknya. Tidak baik memutuskan silaturrahim antara adik beradik.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Seorang lelaki tidak halal (haram) bermusuh dengan saudaranya lebih tiga malam.”

(Perawi: Abi Ayub Ansari dan ImamBukhari.)


Kerana saya orang Perak, maka saya menasihatkan Fadhil macam kata orang Perak jugalah, “Mike jangan buat dose keghing weh!”

(Mokhtar Petah)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.