Saturday, June 14, 2008

UMNO TANPA ABDULLAH

Hancur di Tangan Anwar Ibrahim?
Oleh: Mokhtar Petah

“Saya dengan Najib sudah pun bermuafakat dan sama-sama bersetuju bila masanya saya nak bersara serta bila beliau akan mula menjadi Perdana Menteri. Tak perlu berbalah dalam hal ini kerana ia menyebabkan kita hilang semangat.”

“Antara yang hendak menyerah dan yang hendak menerima, sudah ada persetujuan. Yang pentingnya kami berdua sentiasa bekerja untuk kemajuan negara serta memperkuatkan parti. Tiada masalah antara kami berdua, tidak payah perkara ini ditimbulkan.”

“Kita berjuang kerana kita tahu kebaikan dan kemakmuran adalah sesuatu yang dituntut agama (Islam). Ini yang perlu kita bina sekuatnya,”

“Walaupun sokongan rakyat merosot pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, (semua ahli) UMNO tidak harus patah semangat sebagai pejuang, kita jangan patah semangat demi agama dan bangsa..

“Istilah kecewa sepatutnya tidak ada dalam kamus pejuang ini. Pantang undur dan menyerah. Sebagai pejuang perlu terus berjuang. Kalau patah hati, tak payah berjuang …, tunggu mati sajalah,” Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmd Badawi telah bercakap di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946, telah berkubur tanpa nisan pada tahun 1981, UMNO baru telah berusia kira-kira 28 tahun. Kini ramai orang bertanya; bagaimana UMNO tanpa Abdullah Ahmad Badawi.

Sekiranya sebilangan besar ahli UMNO terpengaruh dengan ‘manis madu’ Dr. Mahathir Mohamad, mungkin Abdullah Ahmad Badawi akan secara jujur meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri atau beliau diketepikan dalam Perhimpunan Agung parti itu yang mendatang.

Kemudian, UMNO akan dipimpin oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan beliau juga akan menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia. Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi timbalan beliau (!?).

Abdullah dan Najib

Abdullah Ahmd Badawi telah memimpin UMNO – Barisan Nasional ke arah trend baru, iaitu menerima Islam sebagai ‘pedoman’ seperti doktrin dalam sajak beliau, Aku Mencari Damai Abadi, iaitu Quran dan Sunnah jadi pedoman.

Najib yang kita semua ketahui, dalam hal pengetahuan agama Islam, beliau tidak dapat mengatasi Abdullah Ahmd Badawi. Bolehkah Najib menjadi imam sembahyang Jumaat dan sembahyang lima waktu. Memberi tazkirah di masjid dan surau seperti yang telah dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam UMNO hari ini, sama ada ahli mahupun ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan semua negeri di negara ini, ramai individu yang mempunyai pengetahuan agama Islam yang tinggi. Mereka lepasan universiti, kolej atau sekolah menengah agama Islam.

Sesiapa yang telus mata hati tentu mengetahui, bahawa dalam UMNO sekarang terdapat ramai individu yang cenderung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka terdiri dari bekas ahli Angkatan belia Islam Malaya (ABIM) dan yang mengikut dengan tujuan, ‘siap pemimpin berjiwa Islam kami ikut’.

Pada masa Dr. Mahathir Mohamad berkuasa, individu-individu itu tinggal diam seperti biji selasih kering, apabila disiram air, biji itu menjadi kembang.

Apabila Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO dan kerajaan Malaysia, para individu tersebut dalam UMNO tinggal bertahan (sabar?), kerana mereka mendapati perjuangan Abdullah Ahmad Badawi seperti perjuangan Anwar Ibrahim, iaitu, berkonsepkan Islam dan beriltizamnya kepada perlembagaan Islam, maka biji selasih itu kembang semula.

Seperti semua biji pokok; jatuh ke tanah cambah. Jatuh ke sungai, hanyut dan cambah menjadi pulau.

Sebaik-baik sahaja Abdullah Ahmad Badawi tidak memimpin UMNO dan kerajaan lagi, mereka yang seperti biji selasih itu akan kembang dan menjadi masalah kepada Najib dan menjadikan beliau berada dalam dilema.

Kerana Najib tidak seperti Abdullah Badawi dan Anwar Ibrahim, maka beliau akan sukar memimpin mereka yang kenal Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim. Mereka tidak akan merelakan diri mengikut arah kepada kapitalis atau berpedomankan Barat.

Dalam buku saya, Abdullah Badawi Penjana Modal Insan, ada tulisan saya, sebagai orang Islam, dalam Abdullah Badawi ada Anwar Ibrahim dan dalam Anwar Ibrahim ada Abdullah Badawi.

Selain dari Najib sukar mencari rakan setia dalam UMNO. Beliau juga sukar mengimbangkan dirinya (berpendidikan Barat semata) dengan individu yang berpendidikan Islam dan berpendidikan sekular (Barat) dan Islam.

Di antara mereka yang berpendidikan sekular (Barat) dan Islam, Datuk Mohd. Zahid Hamidi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada masa itulah biji selasih yang telah kembang akan menimbangkan alternatif dalam UMNO.

Semua individu dalam UMNO yang menganut ‘spirit Anwar Ibrahim’, di antaranya Ezam Mohd. Nor akan membuka jalan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi jaguh dalam parti politik orang Melayu itu. Apabila Anwar Ibrahim telah berada dalam UMNO, beliau dan para juak dan penyokongnya akan menjadi seperti lalang dalam huma padi; pokok lalang subur tetapi pokok padi akan kerdil atau mati.

Oleh yang demikian, setiap ahli UMNO eloklah menjauhkan diri dari terpengaruh dengan ‘suara atau madu beracun Dr. Mahathir Mohamad’ dan mengelakkan diri dari terperangkap dengan pihak-pihak tertentu dalam UMNO untuk mengetepikan Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO mendatang.

Najib telah bercakap di London, bahawa beliau tidak rela UMNO mati. Tetapi beliau patut ingat, seorang bapa yang menangis kerana anaknya mengidap penyakit kanser otak. Walaupun menangis air mata darah, anak akan ke hujung usia juga.

Mungkin elok saya jelaskan di sini, pada masa memimpin ABIM dan mendekati PAS, Anwar Ibrahim membawa arah kepada Islam. Apabila beliau berada dalam UMNO dan menjadi orang dua memimpin parti Melayu itu, beliau telah bertukar menjadi seorang nasionalis Malaysia.

Pada masa ini, Anwar Ibrahim adalah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang saya lihat bercorak sosio-demokratik, maka, beliau telah melangkah ke politik antarabangsa sebagai seorang tokoh sosialis dan menjulang demokrasi sejagat.

Jika kita mengandaikan; apabila Anwar Ibrahim dengan semangat dan jiwa sosialisnya berada dalam UMNO, maka parti nasionalis Melayu itu akan hancur di tangan nya.

Saya berpendapat, kalau mahukan UMNO selamat dan usianya lanjut, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib hendaklah diberi amanah yang jujur untuk memimpin UMNO hingga beberapa tahun lagi.

1 comment:

  1. Semasa seluruh umat Melayu-Islam sedang mendoakan semoga Abdullah Badawi kembali bertegas dan mantap di dalam kepimpinannya, kembali sedar akan amanah yang dipikul dibahunya - kita dikejutkan dengan kata-katanya seolah-olah bersetuju untuk memindahkan kerusi keramat negara kepada Najib.

    Beliau seolah-olah menyerah kalah sebelum benar-benar bertempur. Abdullah selama ini terus tenggelam di kalangan orang-orang di sekelilingnya, beliau terus lemah kerana input yang diterimanya menampar mukanya kembali sedangkan beliau tidak pernah berusaha untuk mencari mencapai tangan-tangan yang bersedia untuk membina negara, bangsa dan negara tanpa mengharapkan apa-apa kecuali keredhaan Allah semata-mata.

    Beliau selama ini dilihat seperti dibelit ular sawa yang tidak pernah kenyang-kenyang menyebabkan semua keputusan beliau sebagai pemimpin negara hanya memihak kepada yang berkepentingan sahaja sekaligus menindas rakyat jelata.

    Adalah lebih baik, Abdullah bertafakur dan mengumpulkan sahabat-sahabat seperjuangan dan mencari minda baru yang kreatif dan inovatif yang kini telah berada di luar kotak.
    _________________

    Ingin saya sertakan artikel yang telah disiarkan di dalam sebuah blog untuk tatapan dan renungan sahabat-sahabat Abdullah dan Abdullah sendiri.
    _____

    Friday, May 2, 2008
    SALIN PAKAIAN ATAU BERTUKAR TOPI

    Jauhkan jentera kerajaan dari berpolitik atau digunakan untuk kepentingan politik. Jika ada di antara kakitangan kerajaan itu berpolitik (ghairah untuk merebut jawatan di dalam parti), hantar surat dan bagi mereka tempoh untuk bertukar sikap, bertukar jawatan atau meletakkan jawatan jika tidak - pecat.

    Seorang Jenderal harus tahu ketika yang sesuai untuk dia mengeluarkan perintah. Perintah itu wajib dipatuhi. Selagi Jenderal itu berada di atas jalan kebenaran, sesuai dengan prinsip dan kaedah terkini pemerintahan bermatlamatkan menaik dan menjaga maruah Melayu dan mengikut prinsip yang mengamalkan kasih dan sayang, adil dan saksama, bijak dan berstrategi, merancang masadepan dengan baik, bertanggungjawab, berdisiplin dan memahami jiwa rakyat tanpa batasan agama dan bangsa di dalam pemerintahan, selagi itulah tingkah, adab, adat dan rohaninya mulia.

    Ciri-ciri ini perlu ada pada setiap Jenderal :

    Ketegasan mahu semua arahan disempurnakan,
    Menguatkuasakan arahan itu dilaksanakan,
    Berhati mulia dan memahami harapan rakyat; dan
    adalah seorang ahli silap mata yang boleh menyelesaikan semua masalah dengan baik.

    Beserta dengan Allah.

    ________________
    dari TOK JANGGUT
    http://royalpattani.blogspot.com \

    _________________

    Thursday, May 29, 2008
    MAHUKAH KITA BERUBAH?

    Setelah 50 tahun merdeka, orang Melayu masih kekal dengan kuasa politiknya. Menjadi pagar mengawal harta dan dana pendatang yang kini menjadi rakyat negara ini.

    Sebagai rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, Punjabi atau lain-lain bangsa di anggap bertuah kerana mempunyai atau mendapat kerakyatan negara ini.

    Kita sama-sama membangunkan negara ini, dari miskin kita kaya, dari terpinggir kita terkenal di seluruh dunia.

    Bangkahulu lain, Semarang lain.
    Dahulu lain sekarang lain.

    Jika dahulu dunia hanya mengetahui Malaysia terletak di antara Thailand dan Singapura tetapi hari ini ramai dari kalangan masyarakat antarabangsa sudah pernah bercuti atau berdagang dan berkenal baik dengan masyarakat di negara ini.

    Kaum Cina dapat berbangga dengan tradisi nenek moyang mereka kerana mengamalkan kebudayaan yang 'tahan lasak', manakala kaum India pula cepat belajar dari kesilapan mereka.

    Kaum Punjabi berusaha gigih di dalam bidang pendidikan, kini ramai menjadi tenaga professional. Mereka menjawat berbagai jawatan penting samada di dalam sektor awam mahupun di dalam sektor swasta. Di dalam bidang politik juga ketokohan mereka sudah mulai menyerlah.

    Hanya nasib orang Melayu masih tertinggal di dalam hampir semua sektor ekonomi, sosial dan cuai di dalam perancangan masa depan.

    "..The Malay College, Kuala Kangsar (MCKK) is the premier and first fully-residential school in Malaysia. Established on 2nd January 1905, it was originally known as the Malay Residential School of Kuala Kangsar. It was an all Malay boys' school located in the Royal Town of Kuala Kangsar, Perak.

    The school was the brainchild of Mr. R. J. Wilkinson, then Inspector of Schools for the Federated Malay States. In a letter to the Resident-General dated 2nd February 1904, he wrote about "establishing at a suitable locality in the FMS a special residential school for the education of Malays of good family and for the training of Malay boys for admission to certain branches of Government Service."

    Its formation was enthusiastically supported by the then Ruler of the Federated Malay States, Sultan Idris Murshidul Adzam Shah of Perak, Sultan Alaiddin Sulaiman Shah of Selangor, YAM Tuan Tuanku Muhamad Shah of Negeri Sembilan and Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah of Pahang.

    Since its inception, more than 5,000 boys (and 2 girls) have had the privilege to enter the gates of The MCKK. Though it was initially founded to educate the Malay elites, it changed dramatically as a result of rising Malay nationalism since 1947. Today, selected Malay boys from all walks of life and aged from 12 to 17 from all over Malaysia are educated in the MCKK.

    The MCKK has been the school for many prominent Malaysians such as Kings, Sultans, Prime Ministers, Ministers as well as senior officers in the Government and leading figures in the private sector. The MCKK boys would undoubtedly fill many of the pages of Who is Who in Malaysia..."

    Kolej Melayu Kuala Kangsar telah ditubuhkan pada tahun 1905, kolej ini telah mendidik anak orang-orang besar, putera-putera Sultan, golongan elit, anak mualim yang dipilih oleh British.

    Setelah mereka mendidik anak-anak ini, sebaik sahaja tamat belajar, mereka melanjutkan pelajaran ke England dan pulang menjadi pentadbir kerajaan, pendidik dan ramai pula yang menceburi bidang politik. Mereka menjadi pemimpin.

    Setelah melatih dan memastikan bekas pelajar MCKK ini telah terdidik dan terlatih menggunakan kaedah British, 52 tahun selepas itu KEMERDEKAAN dikurniakan kepada negara ini. Merdekalah Malaysia tanpa menumpahkan darah.

    Kata Inggeris " Walaupun kami memberi kemerdekaan kepada Malaya, kami akan tetap memerintah (minda?) rakyat Malaya untuk 100 tahun lagi...?

    Kini 50 tahun babak pertama selepas merdeka telah berlalu, tinggal 50 tahun babak yang kedua masih belum terusik lagi. Kita baru 9 bulan memasuki babak 50 tahun yang kedua.

    UMNO yang ditubuhkan dan bersekutu dengan doktrin British ("...she struggled for a whole life time, and she is very insistent that the struggle against imperialism and capitalism is a correct struggle. She considered UMNO to be the subordinates of the British. The British tried to hand over power to the people who were friendly to their interest..." - Shamsiah Fakeh dalam Sunday Star, STARMAG, 25hb Mei 2008 m.s 6 kolum 3 para 4) kini menjadi tulang belakang orang Melayu dan menerajui kerajaan.

    Sungguhpun pemimpinnya bertukar ganti namun nasib orang Melayu masih tetap sama. Baju cantik, kereta besar, pendidikan tinggi tetapi minda masih tertinggal jauh jika dibangdingkan dengan bangsa lain.

    Pemimpin bercakaran sesama sendiri. Menuding kesalahan masing-masing dan mengamalkan berbagai-bagai bentuk sistem imperial seperti Michaevallian dan doktrin yang memenangkan agenda diri sendiri.

    Hendaklah diingat jika pemerintah negara bertukar dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat, ikon Pakatan Rakyat juga adalah bekas pelajar MCKK dan kini menjadi pejuang demokrasi antarabangsa.

    Adalah baik jika pemimpin-pemimpin Melayu ini tanpa memperdulikan dari parti mana asal mereka boleh duduk semeja membincangkan masadepan nasib orang Melayu dan kaedah untuk menyelesaikannya.
    ______________

    Melayu oh Melayu!

    Orang Melayu bukannya mahu memikul parang berantakan dengan kaum Cina atau dengan orang India seperti 13 Mei 1969 tetapi amat mengharapkan supaya kerajaan yang diperintah dan bertulang belakangkan oleh orang Melayu sendiri mengambil inisiatif segera bagi memulihkan orang Melayu.

    Berpegang dengan ajaran Islam yang hak, orang Melayu yang telah sedar akan mempertahankan orang Cina, India atau Punjabi jika golongan itu di ancam oleh musuh dan sebagainya.

    Jika semua sudah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan terlepas dari penjajahan fikiran yang melampau-lampau - orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang penuh inovasi, berbudi pekerti dan bijaksana juga akhirnya.

    Masa itu berlakulah banyak perkahwinan campuran, banyak kerjasama tulen (tiada lagi Ali Baba atau Baba Ali) yang boleh dilaksanakan. Perhubungan erat semua bangsa ini akan memutikkan satu kebudayaan baru dan akhirnya akan lahirlah satu peradaban yang mengasuh konsep mulia memuliakan satu sama lain. Lahirlah Islam di dalam erti kata yang sebenar.

    Orang Melayu yang berpegang pada Islam yang hak sebenarnya tidak takut atau cemas apabila duduk bersama bangsa-bangsa lain yang lain kepercayaan mereka kerana orang Melayu telah arif benar dengan sejarah Rasullullah s.a.w.

    Pada zaman Baginda, Islam menerajui Madinah walaupun penduduk Islam hanya 15%. Selebihnya, kaum pagan 35% dan kaum Yahudi 50%.

    Untuk melahirkan satu peradaban baru yang berkonsepkan mulia memuliakan satu sama lain adalah disarankan supaya satu usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan dijalankan untuk membangunkan minda Melayu mencapai ke peringkat Minda Tahap Tinggi.

    Hari ini kita seolah-olah tidak dapat berharap lagi kepada kerajaan atau bergantung harap kepada mana-mana parti politik. Setiap individu Melayu yang sudah mula celik dan membukakan mata melihat realiti sebenar wajiblah bangun dan membuat satu barisan kerjasama yang mempunyai semangat bergotong royong yang kuat dan kukuh.

    Kita mestilah mengakui kesilapan kita supaya pihak lain dapat membantu untuk menyelesaikan masalah bukannya menutup kesilapan dan menuding menuduh orang lain.

    Mulai sekarang kita hendaklah benar-benar jujur kerana kini sudah wujud golongan orang Melayu yang tidak lagi mengejar pangkat atau kekayaan dan membiarkan amanah tercicir tidak disempurnakan.

    Rombakan besar dan bersungguh-sungguh perlulah dilakukan. Perkataan Ketuanan Melayu perlu dikikis dari orang Melayu jika masih mempunyai minda hamba kepada harta, pangkat dan manusia.

    Pelajar-pelajar perlu dilatih Ilmu Keusahawanan dan Perancangan Kewangan (Financial Planning) sejak di sekolah rendah lagi. Wujudkan kem-kem cuti sekolah yang memperkenalkan Perancangan dan Pengurusan Kewangan kepada pelajar-pelajar.

    Kita didik mereka mengenali perdagangan pertukaran matawang asing, pasaran modal, komoditi, insuran dan berbagai-bagai instrumen dagang terbaru yang di amalkan diperingkat antarabangsa.

    ______________

    Jurang bangsa suku-suku perlu dibuang terus dan terapkan nilai mulia memuliakan satu sama lain. Yang kurang dilengkapkan dan yang berlebih hendaklah menghulurkan bantuan dan memberi khidmat nasihat.

    Mendidik biar dari rebung sebelum degil untuk di lentur. Sistem pendidikan dan korikulum sekolah hendaklah dibiarkan fleksibel menggunakan pendekatan baru.

    Jika pelajaran bahasa Inggeris mengajar "Bapa Ali adalah tukang kayu" di dalam bahasa Inggeris maka gunakan "Bapa Ali adalah tukang kayu" di dalam mempelajari bahasa Melayu.

    Di dalam metamatik pula "Bapa Ali adalah tukang kayu, bapa Ali membuat 10 buah kerusi setiap hari, kosnya sekian dan dijual dengan harga sekian-sekian". Wujudkan kesinambungan dalam matapelajaran ini.

    Pelajaran Islam pula, ketengahkan tokoh-tokoh ilmuwan, teknokrat, usahawan Islam. Sirah Rasulullah hendaklah diutamakan bukannya mengajar pelajar-pelajar ilmu yang tidak relevan dengan perkembangan atau keperluan semasa.

    Janganlah apabila mereka dewasa hanya menghabiskan masa bercakap mengenai hukum nikah, hukum junub, hukum halal haram semata-mata.

    Kita yakin hukum hudud juga tidak akan timbul walaupun ianya tetap ada apabila semua penduduk di negara ini mempunyai ekonomi diri yang kukuh dan menghargai nilai kekeluargaan yang mantap. Masing-masing memuliakan satu sama lain.

    Terbalikkan abjad rumi menjadi 'mirror image' supaya minda kanak-kanak dapat berubah. Ini adalah perubahan paradigma yang awal. Jika bahasa Cina boleh dibaca dari kanan kekiri dan kiri kekanan, dari atas kebawah - kenapa biarkan anak Melayu membaca menggunakan sistem satu arah sahaja.

    Menggunakan sistem abjad rumi 'mirror image' maka mudahlah sesiapa sahaja membaca Al Quran yang berbahasa Arab dan diiringi dengan terjemahannya samada di dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Sambil membaca sambil memahami apa yang dibaca.

    ______________

    Banyak lagi idea-idea baru yang boleh diketengahkan, pangkal pokoknya: MAHUKAH KITA BERUBAH?

    Hentikan segala polemik, mari kita semua bekerjasama dan tulus dengan matlamat kita.

    Percayalah jika ini tidak kita lakukan segera, apabila berakhirnya babak kedua 50 tahun ini - orang Melayu akan merempat di negara sendiri. Tanah dan air bukan milik orang Melayu lagi.

    ______________
    Posted by raspintar
    http://raspintar.blogspot.com

    ______________________

    Abdullah patutlah berfikir dengan memandang ke dalam dirinya sebelum mengambil keputusan mudah mengundurkan diri.

    Ada dikalangan rakyat jelata di luar merasakan bahawa cara perpindahan kuasa adalah tidak tepat dan wajar dilakukan menggunakan kaedah UMNO, seolah-olah UMNOlah yang menentukan masadepan umat Melayu-Islam dinegara ini.

    JIka Rasulullah masih ada tempat kita merujuk, agaknya apakah kaedah beliau dan siapakah yang menggantikan Abdullah dan bilakah masanya yang paling sesuai?

    Di tangan Abdullah terletak masa depan umat Islam di negara ini, masa depan orang Melayu, masa depan masyarakat Tionghua, masadepan masyarakat India, Punjabi, Kadazan, Iban, Bidayuh, Temiar, Negrito dan berjuta-juta jiwa. Jika kali ini Abdullah silap, akan berlaku banyak pertelingkahan yang mungkin akan menumpahkan darah !

    Jika ini berlaku, Abdullah dipertanggungjawabkan kerana tidak sedar sebesar mana amanah yang dipikulnya, sesuci mana amanat yang terzahir di atas batu jemalanya.

    Ampun dan Maaf dari kami yang sentiasa menantikan cahaya menerangi nusantara ini.

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.