PENTADBIRAN AGAMA ISLAM DI PULAU PINANG
Sejarah pentadbiran Islam di Pulau Pinang agak berbeza jika dibandingkan dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Perbezaan ini berpunca daripada sejarah pembentukan dan struktur masyarakat Islam Pulau Pinang khususnya dan juga dasar-dasar Inggeris yang memerintah Pulau Pinang sejak 1786. Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling lewat mempunyai badan pentadbiran Islam. Sejarah masyarakat Islam Pulau Pinang menarik terutama berkenaan dengan corak kehidupan mereka sejak ia mula terbentuk sehingga ke abad ke 20, sama ada terlibat dengan perkumpulan agama yang diragui kebenarannya dan pada awal abad yang ke 20 pula ia menjadi pusat gerakan para reformis.
Rencana ini ditulis adalah bertujuan untuk menyingkap kembali sejarah pembentukan komuniti Islam Pulau Pinang dan suasana kehidupan masyarakat serta badan-badan atau jawatan-jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran Islam di negeri tersebut. Tidak ketinggalan, rencana ini juga akan meninjau dasar Inggeris yang berkaitan dengan Islam kerana ianya mempunyai pengaruh yang besar di atas kemunculan masalah-masalah sosial masyarakat Islam dan kelemahan pentadbiran Islam di negeri itu sebelum merdeka.
Pembentukan awal komuniti Islam Pulau Pinang.
Kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah Pulau Pinang menyatakan bahawa sebelum pembukaan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light pada Julai 1786, pulau itu hanya di penuhi dengan hutan belantara dan hampir tidak berpenghuni, kalau ada pun hanya sebilangan kecil orang Melayu sahaja. Namun begitu, ada juga yang menyatakan bahawa sebelum Francis Light mendarat di pulau itu, ianya telah duduki oleh orang Melayu di kawasan-kawasan tertentu yang bekerja sebagai nelayan, pedagang, pelebur timah dan juga yang menjadi lanun. Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan laporan yang menyebut bahawa rombongan Inggeris itu telah bertemu dengan sekumpulan penduduk di tepi pantai di kawasan yang dikenali sebagai Datuk Keramat. Mereka ini terdiri daripada laki-laki, perempuan dan kanak-kanak yang diketuai oleh seorang laki-laki yang dikenali sebagai Nakhoda Kechil. Dalam laporan yang lain pula menyatakan bahawa Pulau Pinang telah diduduki oleh sekumpulan orang Melayu sejak dari tahun 1705 lagi, iaitu di kawasan tebing selatan Sungai Pinang.
Daripada catatan itu adalah jelas bahawa penduduk terawal Pulau Pinang adalah orang Melayu sama ada yang berhijrah dari Semenanjung mahu pun dari kepulauan Melayu Yang lain. Namun begitu, dalam perkembangan Pulau Pinang yang semakin meningkat di bawah pentadbiran Inggeris, orang-orang Melayu jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain yang datang kemudiannya. Bukanlah menjadi hasrat rencana ini untuk membincangkan faktor-faktor yang membawa kepada kepincangan ini, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa sumbangan kerajaan Inggeris adalah besar sekali kerana ada yang menyebutkan bahawa hubungan kerajaan Inggeris dan masyarakat Melayu hampir tidak ada langsung berbanding dengan kaum Cina dan India terutamanya.
Dari segi perkembangan kependudukannya, ketandusan penduduk di Pulau Pinang telah berubah wajah apabila pulau itu cuba dimajukan oleh pihak Inggeris sebagai sebuah pelabuhan perdagangan bebas yang utama di Nusantara. Pulau Pinang mula dibanjiri oleh berbagai-bagai jenis kaum dan bangsa yang kebanyakannya bertujuan untuk berdagang dan tidak kurang juga yang mencari penempatan baru. Situasi ini bertepatan dengan matlamat Francis Light yang ingin melihat Pulau Pinang maju dari segi perdagangan. Menurut L. A. Mills penduduk Pulau Pinang bertambah pesat, dalam tempoh dua tahun selepas penerokaannya. Penduduk pulau itu telah bertambah kepada 1,000 orang dan sehingga tahun 1804 pula ia meningkat menjadi 12,000. Mereka yang berhijrah ke Pulau Pinang adalah terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan bangsa, kebanyakannya daripada Asia. Sejumlah besar adalah daripada orang Melayu yang datang daripada Semenanjung Tanah Melayu, diikuti oleh orang India, Cina dan sejumlah kecil orang Arab, Inggeris, Jawa, Bugis dan lain-lain. Bilangan orang Melayu meningkat apabila meletusnya Perang Kedah Siam pada tahun 1821 apabila beribu-ribu penduduk Melayu Kedah melarikan diri ke Pulau Pinang. Taburan kependudukan adalah mengikut kaum dan bangsa. Secara kasarnya, orang-orang Melayu menetap di kawasan pendalaman dan mereka menjalankan aktiviti pertanian untuk menampung sara hidup mereka seperti bersawah padi. Sementara itu, orang-orang India, Cina, Arab dan Inggeris tinggal di kawasan bandar dan bergiat cergas dalam lapangan perniagaan dan perdagangan. Taburan penduduk sebegini rupa adalah merupakan satu fenomena yang biasa bagi negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu. Orang-orang Melayu lebih berminat untuk tinggal di luar-luar bandar dan menjalankan kegiatan ekonomi tradisi sebagai punca pendapatan.
Daripada situasi ini bolehlah dikatakan bahawa komuniti penduduk Pulau Pinang adalah sebuah komuniti yang baru terbentuk akibat dasar Inggeris. Masing-masing merupakan golongan yang berhijrah. Kemudian daripada itu barulah mereka membentuk komuniti masing-masing di daerah yang dipilih. Bagi masyarakat Islam amnya dan Melayu Pulau Pinang khasnya, keadaan mereka berbeza dengan masyarakat Islam di negeri-negeri Melayu yang lain, kecuali Melaka dan,Singapura. Selain daripada hilang mereka yang kecil, mereka tidak mempunyai raja atau Sultan sebagai pemerintah utama. Mereka tidak mempunyai elit tradisional, bahkan masyarakatnya tidak mempunyai struktur masyarakat yang berperingkat-peringkat seperti di negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung. Berkenaan dengan status agama Islam,
"The states were Muslim long before the advent of the British, with a vast Muslim majority: Besides, the Settlements were a Crown Colony directly under the British government while the States were a Crown Colony directly under the British government while the States were linked to Whitehall by treaty: they owed their development to Britain, and the writs protecting Islam did not run"
Situasi ini sebenarnya telah meninggalkan kesan yang tidak sedikit akibat daripada dasar-dasar Inggeris, terutamanya yang berkaitan dengan pentadbiran Islam di Pulau Pinang dan seterusnya memberi kesan yang besar kepada masyarakat Islam Pulau Pinang.
Masyarakat Islam Pulau Pinang yang menjadi fokus dalam rencana ini, bukanlah golongan majoriti, walaupun terdiri daripada pelbagai kaum. Selain daripada orang Melayu, masyarakat Islam Pulau Pinang terdiri daripada orang India, Arab, peranakan India dan Melayu yang dikenali juga dengan nama Jawi Pekan dan sedikit daripada orang Cina. Seperti Yang telah disebutkan tadi, masyarakat Islam ini hidup dalam kelompok masing-masing mengikut kaum. Contohnya, orang Arab tinggal di kawasan Acheh Street, Malacca Street di pusat bandar dan Batu Uban yang menjadi petempatan bagi orang Melayu dari Indonesia. Manakala bagi orang-orang India Muslim pula, mereka memilih kawasan yang berdekatan dengan pelabuhan dan bandar Georgetown sebagai tempat kediaman seperti di Leboh Chulia, Leboh King, Jalan Kedah dan Lorong Hutton. Manakala orang-orang Melayu pula lebih gemar tinggal di kawasan pendalaman seperti di kawasan Balik Pulau, Batu Maung dan Bayan Lepas. Umumnya, daripada corak hidup keterasingan ini menyebabkan tiada kesatuan atau perpaduan yang wujud antara penduduk Islam ini, hatta dalam urusan agama juga mereka terpisah oleh wujudnya guru agama dari kalangan mereka sendiri.
Dasar Inggeris mengenai Islam dan kesannya ke atas suasana kehidupan masyarakat Islam Pulau Pinang.
Sebelum Pulau Pinang ditadbir oleh Inggeris, penduduk asalnya tertakluk di bawah undang-undang dan pentadbiran negeri Kedah kerana Pulau Pinang adalah sebahagian daripada negeri itu. Apabila pulau itu diserahkan kepada Inggeris, maka untuk mentadbirnya dari segi perundangan telah diperkenalkan piagam keadilan (charter of justice) pada tahun 1807 yang dikatakan telah membawa undang-undang England ke Pulau Pinang. Dengan kemasukan undang-undang ini, segala urusan yang berkaitan dengan undang-undang adalah merujuk kepada undang-undang tersebut. Walau bagaimanapun, undang-undang ini mengiktiraf undang-undang adat dan agama dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan-perayaan agama dan soal-soal perkahwinan selagi ianya tidak bercanggah dengan keadilan dan kemanusiaan. Oleh yang demikian, masyarakat Islam Pulau Pinang khususnya tidak lagi tertakluk kepada undang-undang hukum adat tempatan.
Untuk mengendalikan hal ehwal penduduknya yang berbilang kaum itu, kerajaan Negeri-Negeri Selat telah melantik seorang ketua daripada tiap-tiap kaum terutama tiga kaum yang terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India. Antara tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas ketua-ketua ini ialah untuk mencatatkan tentang perkahwinan, kelahiran dan kematian yang berlaku dalam kaumnya, ketibaan dan pemergian orang-orangnya, serta menyelia pihak polis di daerahnya. Boleh dikatakan bahawa tanggungjawab ketua-ketua ini adalah untuk melaporkan tentang pertumbuhan penduduk kaumnya serta sedikit berkenaan hal ehwal keselamatan.
Dasar British berkenaan dengan hal ehwal Islam di Pulau Pinang adalah sama seperti dasarnya di negeri-negeri Melayu lain. Namun begitu, oleh kerana wujudnya perbezaan yang ketara dari segi struktur masyarakat Islam Pulau Pinang dengan masyarakat Islam di negeri-negeri Melayu yang lain, maka implikasi dasar Inggeris itu menimbulkan kesan dan suasana yang berbeza juga. Biarpun kerajaan Inggeris mengambil pendirian untuk tidak mahu campur tangan dalam soal-soal agama dan adat resam orang-orang Melayu, di negeri-negeri Melayu, ianya tidak menimbulkan masalah besar. Ini adalah kerana pengendalian hal ehwal berkenaan diserahkan kepada sultan-sultan yang menjadi ketua agama Islam di negeri masing-masing dengan di bantu oleh pembesar-pembesarnya yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam dan masyarakatnya yang merupakan penduduk majoriti. Untuk melicinkan pentadbiran ini tiap-tiap negeri ada majlis agama Islam mereka sendiri yang mempunyai bidang kuasa yang agak besar juga.
Sebaliknya di Pulau Pinang, masyarakat Islam negeri itu tidak mempunyai sultan atau pembesar untuk menjadi ketua agama. Oleh yang demikian, dasar Inggeris yang tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal adat dan agama Islam itu telah menyebabkan hal ehwal Islam penduduknya terbiar tanpa kawalan dan perhatian secara rasmi daripada kerajaan yang memerintah dan mengikut haluan sendiri sahaja. Walau bagaimanapun, dalam erti kata yang sebenarnya, masyarakat Islam Pulau Pinang yang terdiri daripada beberapa etnik ini masih mempunyai ketua agama masing-masing yang dipilih sendiri. Mereka ini terdiri daripada para alim ulama seperti guru-guru agama, haji-haji dan lebai serta imam. Merekalah yang menjadi rujukan dalam hal-hal agama. Dari segi pentadbiran secara rasmi, kerajaan Inggeris ada melantik para qadhi dengan bidang tugas yang terhad di sekitar pengendalian urusan nikah kahwin dan perceraian bagi masyarakat Islam.
Jika ditinjau tentang kehidupan beragama masyarakat Islam di Pulau Pinang, secara keseluruhannya ia boleh digolongkan kepada dua kelompok yang besar tanpa mengira suku kaum. Kelompok yang pertama ialah mereka yang patuh pada ajaran agama Islam dan adat menurut apa yang mereka fahami. Dikatakan bahawa pada abad ke 19, masyarakat Melayu dalam kelompok ini kelihatannya menjadi pengikut setia Islam adalah kerana ketua atau pemimpin mereka, walaupun sebenarnya pengetahuan mereka mengenai agama anutan itu tidaklah mendalam dan bercampur aduk dengan nilai-nilai tempatan. Oleh yang demikian, kita akan dapat melihat fenomena wujudnya kelompok-kelompok masyarakat Islam tertentu yang diketuai oleh guru-guru agama atau haji-haji yang berjaya mendapat pengiktirafan dan penghormatan sebagai orang yang alim dalam hal ehwal agama. Mereka inilah yang menjadi tempat rujukan dalam hal-hal tersebut dan juga tempat untuk memperoleh perlindungan.
Ada ketikanya pengaruh guru-guru agama atau haji-haji ini mengatasi pengaruh qadhi-qadhi yang dilantik oleh kerajaan. Dua orang tokoh agama yang terkenal di Pulau Pinang pada abad ke 19 boleh dijadikan sebagai contoh iaitu Haji Macawi dan Tuan Guru Haji Abdul Ghani. Haji Macawi adalah seorang guru agama berketurunan Arab dan menetap di Batu Uban. Beliau bukan sahaja berpengaruh dalam kalangan penduduk Islam di Pulau Pinang, tetapi juga dihormati oleh pegawai-pegawai Eropah, para pedagang dan juga peladang pada zamannya. Tuan Guru Abdul Ghani pula muncul pada pertengahan abad ke 19 dan mempunyai pengaruh yang besar selepas kematian Haji Macawi. Beliau adalah orang Melayu Yang datang berhijrah dari Madura, Indonesia dan tinggal di Perak Road. Berbeza dengan Haji Macawi, Tuan Guru Haji Abdul Ghani membentuk perkumpulan agamanya yang tersendiri dan terasing daripada kelompok masyarakat Islam yang lain. Ada di antara perkumpulan-perkumpulan agama ini yang dikatakan mengamalkan ajaran agama yang menyimpang daripada ajaran Islam, contohnya perkumpulan Taslim yang diketuai oleh Syed Muhammad Syafie sejak dari tahun 1870an.
Selain daripada menjadi pengikut kepada mana-mana guru agama yang dipercayai alim, ada juga masyarakat Islam yang hidup dalam lingkungan kaum keluarga mereka sendiri. Mereka bagaikan hidup dalam satu masyarakat kecil yang lain yang mempunyai undang-undang sendiri. Syed Hussain dan Syed Jaafar adalah contoh kepada masyarakat Islam yang hidup sedemikian rupa. Mereka mempunyai keluarga yang besar termasuk hamba dan mentadbirkannya dengan peraturan-peraturan mereka sendiri yang bersumberkan Undang-Undang Islam.
Dalam hal-hal seperti yang disebutkan di atas, kerajaan Inggeris tidak memberikan apa-apa perhatian kerana seperti yang telah disebutkan tadi, memang menjadi dasarnya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal agama masyarakat Islam. Oleh yang demikian, di sini kita dapat satu gambaran tentang corak hidup masyarakat Islam yang berkelompok dan terpisah antara satu sama lain dalam ruang lingkup pengaruh ketua agama atau kaum keluarga masing-masing tanpa mengambil kira matlamat dan tujuan sebenar ketua mereka bagi yang mengikut mana-mana perkumpulan agama. Keadaan ini berterusan sehingga abad 20 tanpa perhatian daripada mana-mana pihak, kecuali para reformis Islam yang muncul pada abad ke 20. Namun begitu, mereka hanya mampu memberi teguran-teguran sahaja kerana mereka tidak memiliki apa-apa kuasa untuk mengawal keadaan ini.
Di samping kelompok yang telah disebutkan di atas tadi, ada kelompok yang lain, iaitu mereka yang tidak kuat dan tidak kukuh pegangan pada agama dan adat. Sebaliknya, mereka ini lebih gemar kepada hidup berfoya-foya sehingga melanggar batas-batas dan hukum agama serta adat biar pun tidak diketahui dengan jelas tentang ilmu dan amal agama mereka. Sebagai contohnya, orang-orang Melayu dan Arab yang kaya raya gemar minum minuman keras walaupun di khalayak ramai. Ada juga yang gemar menghisap candu sehingga mendorong mereka melakukan rompakan di kedai-kedai menjual candu.
Selain daripada itu, terdapat juga orang-orang Islam yang terlibat dengan kegiatan pakatan sulit atau kongsi gelap khasnya yang dikenali sebagai kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah. Kumpulan pakatan sulit ini sering terlibat dalam kegiatan jenayah yang adakalanya bergabung dengan kongsi-kongsi gelap Cina. Dalam rusuhan yang berlaku pada tahun 1867, di Pulau Pinang antara kongsi-kongsi gelap ini, ramai orang-orang Islam yang terlibat. Biasanya orang-orang Islam yang menjadi ahli kepada kumpulan kongsi gelap ini adalah mereka yang dicap sebagai yang 'berkelakuan jahat'. Oleh yang demikian, kemungkinan tidak dapat ditolak bahawa mereka adalah terdiri daripada kelompok yang suka hidup berfoya-foya dan tidak mempunyai asas agama yang kukuh telah diperkatakan tadi.
Melihatkan kepada keadaan masyarakat Islam amnya dan Melayu khasnya di Pulau Pinang ini, timbul satu persoalan pula, mengapa mereka berkeadaan demikian?. Yang cenderung kepada hidup beragama hidup berkelompok-kelompok dengan ketua agama masing-masing. Yang lain pula terlibat dengan jenayah dan pakatan sulit. Inilah kesan yang timbul akibat daripada dasar kerajaan Inggeris yang tidak mahu ambil peduli tentang hal ehwal agama masyarakat Islam dan tidak mahu menubuhkan satu-satu institusi agama yang boleh mengendali dan mengawalkan masyarakat Islam dalam hal ehwal tersebut. Di samping itu, masalah kepimpinan agama yang tidak teratur dan terurus juga dipercayai menjadi punca kepada masalah ini.
Institusi Terawal (Qadhi)
Seperti yang telah disebutkan tadi, qadhi-qadhi yang dilantik secara rasmi oleh kerajaan Inggeris untuk menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan agama dalam masyarakat Islam. Tidaklah dapat diketahui dengan jelas yang tepat berkenaan dengan pelantikan qadhi yang pertama dalam masyarakat Islam Pulau Pinang. Namun begitu, boleh dikatakan bahawa sejak awal abad 19 jawatan ini telah wujud. Ini adalah berdasarkan kepada adanya seorang qadhi yang begitu terkenal di Telok Air Tawar Seberang Perai sekitar pertengahan abad ke 19.
Sistem pelantikan seseorang qadhi di satu-satu daerah itu sangat mudah dilakukan. Kerajaan Inggeris hanya menyerahkan kepada masyarakat Islam berkenaan untuk memilih orang yang mereka mahu lantik sebagai qadhi. Apabila telah ditemui calon yang difikirkan layak, maka masyarakat Islam berkenaan akan memaklumkannya kepada kerajaan Inggeris dan kerajaan akan mengeluarkan surat tauliah untuknya. Dengan itu terlantiklah orang berkenaan sebagai qadhi. Dasar kerajaan ini telah menimbulkan fenomena munculnya qadhi-qadhi yang berbeza mengikut kaum. Misalnya, dalam kalangan masyarakat India Muslim qadhinya berketurunan India Muslim, manakala dalam kalangan masyarakat Arab pula qadhinya juga berketurunan Arab. Keadaan ini menyebabkan integrasi kaum dalam masyarakat Islam Pulau Pinang menjadi sangat terbatas.
Bidang kuasa yang diberikan kepada para qadhi ini sangatlah kecil. Selain daripada menguruskan tentang perihal nikah kahwin dan perceraian dalam kalangan masyarakat Islam di daerahnya, mereka juga mempunyai kuasa untuk melantik imam-imam dan bilal yang bertugas di masjid-masjid tertentu. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu masjid-masjid yang kebanyakannya didirikan oleh pihak-pihak tertentu biasanya dikendalikan oleh pihak yang mendirikannya. Mereka sendiri yang melantik imam dan bilal bagi masjid berkenaan. Sebagai contohnya, apabila Syed Muhammad Syafie mendirikan sebuah masjid di Kampung Seronok, beliau melantik dirinya sebagai imam masjid tersebut. Oleh yang demikian, dalam erti kata yang sebenarnya, kuasa pelantikan oleh qadhi-qadhi ini tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Keadaan ini sebenarnya lama kelamaan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan rasa kecurigaan kepada qadhi dan orang Islam yang lain. Namun begitu, tiada apa-apa yang dapat dilakukan mengenainya kerana para qadhi ini tiada kuasa untuk melucutkan jawatan-jawatan imam tersebut biar pun ada di antara imam-imam itu yang disyaki cuba menyebarkan ajaran-ajaran agama yang bercanggah dengan Islam.
Dengan bidang kuasa yang sedemikian kecil, maka sudah tentulah para qadhi yang dilantik ini tidak dapat menangani masalah-masalah agama yang timbul dalam kalangan masyarakat Islam di bawah kawalannya. Lebih-lebih lagi jika ada guru-guru agama yang lebih berpengaruh dan lebih disukai oleh orang-orang Islam daripada para qadhi ini, walaupun ada antara guru-guru agama ini yang mempunyai kepentingan peribadi dalam meluaskan pengaruh mereka.
Lembaga Penasihat Islam
Pada awal abad ke 20, timbullah rasa tidak puas hati dan rasa keterabaian dalam kalangan masyarakat Islam. Mereka ini, terutama yang begitu prihatin terhadap kemaslahatan orang Islam merasakan bahawa perlu ada perhubungan secara langsung antara masyarakat Islam dengan kerajaan melalui sesebuah institusi. Dengan cara ini, segala masalah yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dapat diputuskan secara bersama dengan kerajaan Inggeris. Satu perkara menarik berkenaan dengan isu tidak puas hati ini, ia bukan sahaja muncul dalam kalangan orang Islam, tetapi juga pada sesetengah pegawai Inggeris, contohnya Hugh Fort yang telah membawa isu ini untuk dibincangkan dalam Majlis Legislatif. Mereka meminta supaya kerajaan melantik satu jurucakap bagi pihak masyarakat Islam seperti yang terdapat pada masyarakat Cina. Akhirnya, setelah perbincangan demi perbincangan diadakan, pada tahun 1915 kerajaan Inggeris telah menubuhkan Lembaga Penasihat Islam (Muslim Advisory Board) di Singapura dan Pulau Pinang.
Mereka yang menjadi ahli Lembaga Penasihat Islam adalah terdiri daripada orang-orang Arab, India Muslim dan Melayu yang berpengaruh dalam masyarakat Islam. Namun begitu tidak dapat dikesan mereka yang menganggotai lembaga ini. Bagi Lembaga Penasihat Islam Singapura, di awal penubuhannya, ia telah dipengerusikan oleh seorang pegawai Inggeris. Barangkali ini adalah bertujuan memudahkan perhubungan antara lembaga ini dengan kerajaan Inggeris biar pun ia kelihatan janggal apabila sebuah institusi Islam diterajui oleh seorang bukan Islam. Kemungkinan adalah besar bahawa bagi Lembaga Penasihat Islam Pulau Pinang juga dipengerusikan oleh pegawai Inggeris. Sumber tentang aktiviti dan bidang tugas Lembaga Penasihat Islam Pulau Pinang adalah sukar untuk ditemui. Oleh yang demikian, rencana ini tidak dapat membincangkan secara khusus mengenainya.
Dari segi matlamat utama penubuhan Lembaga Penasihat Islam ini, ianya jelas bagi Lembaga Penasihat Islam Singapura iaitu;
"The aim was to help the Government in making decisions about Muslim affairs, with terms like those of the Chinese, Hindu and Sikh advisory Board, and also channelling advice and assistance for Muslim in their concerns with the Government". |
Namun begitu, bagi Lembaga Penasihat Islam Pulau Pinang, tidak dinyatakan secara jelas sama ada ianya berfungsi untuk menasihati kerajaan berkenaan dengan perkara-perkara agama Islam atau untuk menasihati masyarakat Islam. Dengan kekaburan ini maka tentulah sukar untuk dibuat satu rumusan yang tepat berkenaan dengan tugas dan fungsi lembaga ini. Sejarah perjalanan lembaga ini juga terlalu sedikit yang diketahui. Namun begitu, keterbatasan fungsi dan keupayaan Lembaga ini menangani kes-kes yang bersabit dengan Islam jelas kelihatan apabila tercetusnya satu kontroversi mengenai cara sembelihan binatang mengikut hukum Islam di Pulau Pinang pada tahun 1930.
Perselisihan bermula apabila seorang lelaki Muslim didenda RM25 atas tuduhan tidak menyembelih binatang mengikut hukum Islam dan menyebabkan berlakunya kekejaman ke atas binatang itu apabila binatang berkenaan masih hidup walaupun lehernya telah dipotong. Dalam rayuan balasnya, kes ini melibatkan pula seorang pakar perubatan yang membuat kenyataan berhubung dengan cara penyembelihan binatang mengikut Islam. Beliau tetap menyatakan bahawa sembelihan tersebut tidak mengikut Islam walaupun penerangan tentang penyembelihan mengikut Islam telah dikemukakan oleh seorang Islam yang mahir dalam hal ini. Dalam isu ini, Lembaga Penasihat Islam tidak tampil ke hadapan untuk memainkan peranan sebagai sebuah pertubuhan Islam, sekadar menulis tentang kerunsingan mereka tentang kes itu di dalam akhbar. Oleh yang demikian, kewujudan Lembaga Penasihat Islam seolah-olah tidak memberi apa-apa makna tambahan pula masyarakat Islam itu sendiri kurang merujuk atau meminta apa-apa pertolongan daripada institusi ini.
Peristiwa perselisihan ini telah memberikan kesan yang agak besar kepada masyarakat Islam Pulau Pinang. Mereka mula menyedari hakikat bahawa mereka tidak mempunyai badan agama yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi untuk menangani kes-kes yang sebegitu rupa lebih-lebih lagi yang melibatkan maruah dan kesucian agama itu sendiri. Bukan setakat itu, mereka juga mulai sedar tentang wujudnya kegiatan-kegiatan yang tidak sihat dan yang mencemarkan kemurnian Islam dalam masyarakat mereka sendiri. Oleh yang demikian, timbullah kesedaran bahawa mereka perlu memiliki institusi yang lebih berkuasa daripada Lembaga Penasihat Islam.
Menyorot kepada sejarah perjalanan Lembaga Penasihat Islam Pulau Pinang ini, kita dapat membuat satu rumusan di sini bahawa, dalam erti kata yang sebenarnya, Lembaga Penasihat Islam Pulau Pinang, tidak mempunyai kuasa seperti yang dimiliki oleh badan-badan agama di negeri-negeri Melayu yang lain. Tidak ada peruntukan kepada lembaga tersebut untuk membasmi kegiatan-kegiatan yang tidak sihat yang berlaku dalam masyarakat Islam itu sendiri seperti mengambil tindakan terhadap mereka yang diketahui menyebarkan ajaran-ajaran agama yang bercanggah dengan Islam seperti perkumpulan Taslim. Sehingga tahun-tahun 1950an, antara aktiviti-aktiviti lembaga ini selain daripada mengadakan mesyuarat, mereka juga telah melantik beberapa orang guru agama untuk mengajar di satu-satu tempat, contohnya di Pulau Aman, dan berusaha untuk mengadakan sembahyang Jumaat di penjara.
Majlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Dalam Mesyuarat Agung UMNO yang ke 10 yang diadakan di Pulau Pinang, Persatuan Melayu Perlis telah mencadangkan agar negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang belum mempunyai Pejabat ,Agama dan Majlis Agama, diwujudkan satu pertubuhan seumpama itu. Berikutan daripada cadangan itu, Majlis Mesyuarat Agung UMNO telah bersetuju untuk melantik satu jawatankuasa yang akan menyusun dan mengarang satu peraturan bagi mengadakan serta menjalankan Pejabat Agama dan Majlis Agama di setiap negeri yang belum mempunyainya. Ini adalah antara usaha-usaha terawal yang dilakukan untuk menubuhkan sebuah badan agama yang lebih berkuasa di negeri-negeri yang belum mempunyainya, termasuk Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun sehingga tahun 1950, tiada apa-apa perkembangan positif yang muncul berhubung dengan perkara ini sehinggalah ia disuarakan sekali lagi dalam Perjumpaan Alim Ulama Seluruh Malaya, anjuran UMNO di Muar, Johor. Kali ini, ia dicadangkan sendiri oleh Tuan Haji Ahmad Mokhtar bin Haji Yusuf, seorang wakil UNNO dari Pulau Pinang. Beliau mahu agar taraf Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang bakal ditubuhkan itu mempunyai taraf yang sama dengan jabatan-jabatan agama negeri yang lain yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa terhadap hal ehwal dan kebajikan agama Islam. Permohonan ini dibuat atas alasan bahawa didapati munculnya ramai orang yang mendakwa dirinya sebagai nabi dan rasul. Beliau bimbang jika keadaan ini tidak disekat, gejala ini akan bertambah meluas.
Dalam sejarah penubuhan Majlis Agama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, prosesnya agak lewat. Biar pun cadangan dan permohonan untuk menubuhkannya telah dibuat pada tahun 1950, tetapi hanya pada tahun 1955 barulah dapat dibentuk satu jawatan kuasa untuk mengkaji tentang penubuhannya oleh kerajaan negeri. Dua tahun berikutnya pula sebuah lagi jawatan kuasa khas dibentuk atas tujuan yang sama dan akhirnya pada 15/4/59 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang satu undang-undang bagi membolehkan penubuhan Majlis Agama Islam Pulau Pinang iaitu 'Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam tahun 1959'. Berikutan daripada itu, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, dan Seberang Perai akhirnya telah dapat ditubuhkan dengan rasminya pada 28/7/60. Kelewatan proses penubuhan majlis ini telah dikaitkan dengan suasana politik yang wujud pada tahun-tahun 1950an yang sedang sibuk dengan perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada kerajaan Inggeris.
Dengan tertubuhnya Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai, maka kini masyarakat Islam Pulau Pinang mempunyai sebuah badan rasmi yang akan menguruskan hal ehwal agama bagi mereka sesuai dengan objektif majlis itu;
1. Untuk melahirkan sebuah masyarakat Islam yang beriman, bertakwa dan dinamis dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup serta mengikut dan menghayati ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam Al-Quran dan As Sunnah.
2. Untuk menegakkan keadilan mengikut hukum-hukum Islam serta mengawal, membasmi murtad, bidaah dhalalah, kemungkaran, maksiat, khurafat dan fikiran-fikiran yang menjejaskan Islam.
Yang di Pertua MAIPP & SP yang pertama ialah Allahyarham Tuan Haji G.M. Yusuff yang memegang jawatan sehingga tahun 1973.Majlis ini hanya mempunyai 6 orang kakitangan Yang mengendalikan bahagian-bahagian tertentu.
Jelas di sini bahawa fungsi MAIPP & SP telah diperluaskan berbanding dengan fungsi Lembaga Penasihat Islam. Urusan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam kini boleh dirujuk kepada majlis ini yang memperlihatkan bahawa masyarakat Islam Pulau Pinang kini mempunyai organisasi mereka sendiri. Cabang-cabang dalam pentadbiran majlis ini diperluaskan lagi tahun demi tahun, contohnya kini, majlis mempunyai bahagian penerangan, pelajaran dan pendidikan yang bertanggungjawab meningkatkan dan mengemaskinikan masyarakat dalam memahami ajaran Islam yang sebenarnya dan dapat mengelakkan masyarakat dari ajaran yang sesat, bahagian dakwah dan bahagian penguatkuasaan serta pendakwaan.
Sehubungan dengan tertubuhnya Majlis Agama Negeri ini, satu rang undang-undang yang berkaitan telah diwujudkan. Undang-undang ini dikenali sebagai Undang-undang Pentadbiran Agama Islam tahun 1959. Undang-undang ini mencakupi pelbagai jenis undang-undang yang berkaitan dengan Islam termasuklah yang berkenaan dengan pengajaran atau penyampaian tentang Islam kepada orang ramai. Contohnya, dalam artikel 158, ada menyebutkan bahawa,
"Barang siapa mengajar atau bersyarah di hadapan orang ramai suatu ajaran atau melakukan suatu istiadat atau perbuatan yang bersabit dengan negara Islam dengan sesuatu cara yang berlawanan dengan hukum Syarak, hendaklah menjadi salah bagi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara selama tidak lebih daripada 3 bulan atau dengan denda sebanyak tidak lebih daripada dua ratus lima puluh ringgit".
Dengan adanya undang-undang seperti ini, kini kegiatan masyarakat Islam Pulau Pinang lebih terkawal dalam erti kata bahawa masyarakat Islam Pulau Pinang tidak boleh lagi melakukan dengan sewenang-wenangnya apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menyebarkan ajaran-ajaran yang diragui kebenarannya. Dan jika ia berlaku MAIPP akan segera mengambil tindakan yang sewajarnya seperti yang berlaku pada penyebar ajaran Crypto. Kesimpulan.
Masyarakat Islam walau di mana jua mereka berada pada umumnya perlukan sesebuah institusi atau organisasi Islam untuk mengendalikan hal ehwal dan kebajikan mereka, terutamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam. Begitulah juga halnya dengan masyarakat Islam Pulau Pinang yang mempunyai latar belakang sejarah yang menarik dan berbeza dari masyarakat Islam di negeri-negeri Melayu yang lain. Pada peringkat awal pembentukannya, masyarakat Islam Pulau Pinang bagai ayam kehilangan ibu, lantaran tidak mempunyai suatu badan agama yang boleh mengendalikan hal ehwal agama Islam untuk mereka. Hanya setelah hampir tiga perempat abad barulah Pulau Pinang berjaya memiliki badan agama yang seumpama itu. Ternyata keadaan ini mempunyai hubungan yang sungguh rapat dengan dasar Inggeris pada masa silam.
(Dari khazanah bekas Mufti Pulau Pinang khazanah Sheikh Abdullah Fahim dan Ahma Haji Hashim (Ahmad Saghir.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.