Tuesday, June 10, 2008

LESUNG BATU


Pada masa Persekutuan Tanah Melayu baru merdeka, telah berlaku kejadian di sebuah kampung, dalam daerah Kuala Kangsar, sepasang lesung batu lebih berharga dari berekar- ekar ladang getah, sawah padi dan wang berpuluh ribu ringgit.

Lelaki duda, Nontak, namanya, telah meninggal dunia pada usianya 57 tahun. Dia telah meninggalkan dua orang anak perempuan; Ramlah, 27 tahun dan Maimun, 24 tahun. Kedua-duanya hanya tamat sekolah Melayu darjah tiga. Masing -masing telah bersuami.

Setelah Nontak meninggal dunia, dua anaknya terasa dunia ini milik mereka, kerana dia telah meninggalkan harta yang banyak.

Nontak ada seorang adik lelaki sebapa. Namanya, Bodin – Bodin Siak, kerana dia bekerja sukarela sebagai siak masjid, di kampungnya, dalam daerah kecil Keruh, Hulu Perak. Dia bekerja seperti orang-orang kampung di sana; menoreh getah dan kutip atap rezeki Tuhan dari rimba.

Bodin dan abangnya telah tidak bertemu bertahun-tahun lamanya. Mereka berpisah pada usia mereka masih kanak-kanak. Dua anak perempuan Nontak tidak mengetahui yang bapa mereka ada adik lelaki.

Imam kampung Nontak, Pandak Setokin, tahu yang Nontak ada adik lelaki. Dia pernah bertemu dengan Bodin pada masa dia pergi ke Bandar Betong, di Selatan Thailand beberapa tahun lalu.

Setelah Bodin mendapat tahu dari Pandak Setokin yang abangnya telah meninggal dunia, maka dia telah datang ke kampung abangnya dengan tujuan menziarahi dan menyelesaikan pembahagian harta pusaka abangnya.

Walaupun Bodin sentiasa dililit dan dibelit oleh kemiskinan, tetapi dia tidak berniat untuk menerima pusaka abangnya. Dia mahu menyerahkan semua harta itu kepada dua anak saudaranya.

Kedatangan Bodin telah menjadikan Ramlah, Mainum dan suami masing-masing marah kepadanya. Menyangka Bodin hendak membolot semua harta abangnya.

Ramalah dan Maimun tidak menjemput Bodin ke rumah mereka. Bahkan mereka telah datang menemui Bodin di rumah Pandak Setokin. Mereka telah memaki hamun kepada Bodin.

Setelah naib, kadi, Haji Hassan dan ketua kampong, Pandak Setokin membahagikan harta Nontak mengikut hukum syarak, Bodin telah mendapat lebih banyak harta peninggalan abangnya, berbanding dengan habuan untuk dua anak saudaranya.

“Ramlah, Maimun, ikut hukum syarak, harta ayah mikeme tu, pak ngah yang dapat banyak …,” Bodin berhenti bercakap.

“Kamu tak adil, zalim …, rampas harta bapa kami …,” Ramlah melaung dan membalah percakapan Bodin.

“Tak, pak ngah tak macam tu …, la ni, pak ngah nak kamu berdua ambil lesung batu bapa kamu di dapur tu …, bawa ke sini …,” Bodin menyuruh dua anak saudaranya.

“Buat apa, lesung batu pun nak juga,” sungut Ramlah lalu pergi ke ruang dapur.

Ramlah dan Maimun membawa lesung batu bersama anaknya dan diletakkan di hadapan Bodin.

“… tok naib, tok ketua …, semua yang hadir …, demi Allah, semua harta, Tanah kebun getah, sawah, tanah kampung, duit RM30,000 habuan saya tu …,” dia berhenti bercakap.

Dua biji mata Bodin merenung dua anak saudaranya. Kemudian merenung orang-orang yang hadir.

“ … semua habuan saya tu, saya beri sama banyak kepada Ramlah …, Maimun …,” Bodin berhenti bercakap.

“Wauuu …,” suara mereka yang hadir.

“Saya, Ikhlas, lesung batu, pusaka abang saya, ini saya yang saya nak …, milik saya …,” Bodin menyambung percakapannya.

Bodin memegang lesung batu dan anaknya. Lesung batu tua. Hitam. Bagi Bodin yang banyak bersyukur kepada Allah; Harga lesung batu pusaka abangnya, lebih bernilai dari segala-galanya.

“Abang, atas kuburmu ada dua batu nisan, pusaka abang pada aku, lesung batu dengan anaknya,” suara hati Bodin.

1 comment:

  1. Salam.. sejak pertama kali membaca tulisan tuan di dalam blog ini, saya begitu teruja dengan tulisan tuan yang memberi makna yang mendalam.. setiap topik di kupas dengan begitu baik dan melalui pengalaman dan analisis yang cukup baik. saya tidak tahu menahu dalam bidang penulisan.. tetapi setiap hari saya menjengah blog tuan untuk membaca topik2 yang tuan paparkan.. dari itu saya mendapat panduan dan pengetahuan baru.. tetapi saya ingin bertanya.. Apakah simbolik nya maksud "Lesung Batu" yang tuan selalu papar kan dalam pelbagai cerita.? terima kasih. jumpa lagi.

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.