Thursday, May 22, 2008

MUHIBBAH ANTARA WAKIL RAKYAT

Oleh: Mokhtar Petah


Semua ahli Dewan Rakyat dari semua parti politik – parti pihak kerajaan dan pembangkang yang menghadiri siding Dewan Rakyat telah mengamalkan ‘trend’ muhibbah antara mereka sebagai pejuang-pejuang yang cintakan perpaduan yang ikhlas.

Berbeza dengan ‘trend’ pada masa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang semua ahli Dewan Rakyat dari UMNO dan Barisan Nasional tidak mahu bermesra dengan wakil-rakil rakyat dari parti-parti pembangkang.

Masih menjadi ‘kenangan pahit’ saya, pada masa Dr. Mahathir Mohamad, pada satu hari saya telah menghadiri persidangan Dewan Rakyat, saya telah bercakap-cakap dengan beberapa orang ahli Dewan Rakyat dari UMNO, di antara mereka, Datuk Raja Ahmad Zainuddin dari Larut, di lobi Parlimen, tiba-tiba muncul ahli Dewan Rakyat, Mahfuz Omar (PAS).

Kami bersalaman dan pada waktu itu Raja Ahmad dan wakil-wakil rakyat lain telah beredar dari kami dengan tidak memberi pamitan.

Pada masa itu bilik khas untuk ahli-ahli Dewan Rakyat hanya dipenuhi oleh mereka dari UMNO sahaja, manakala mereka dari parti-parti lain berehat atau makan dan minum di kantin awam dalam bangunan itu.

Pendeknya pada masa itu ahli-ahli Dewan Rakyat dari UMNO tidak mahu bermuhibbah dengan ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti-parti pembangkang.

Saya telah melihat seperti ada peraturan tersembunyi, iaitu kalau bermesra dengan ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti-parti pembangkang akan dikenakan tindakan.

Pada zaman itu saya melihat ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti-parti pembangkang seperti ada penyakit berjangkit yang takut didekati oleh wakil-wakil rakyat pihak kerajaan.

Selepas Pilihan Raya ke-12, keadaan ahli-ahli Dewan Rakyat dari UMNO terhadap mereka dari parti-parti pembangkang telah berubah ‘trend’; ada kemesraan dan muhibbah.

Ahli-ahli Dewan Rakyat dari MCA dan Parti Gerakan lain pula. Mereka tidak bermesra dengan wakil-wakil rakyat DAP di lobi Parlimen, tetapi di luar; dalam pub dan restoran mereka bersahabat baik dan menjadi rakan dalam perniagaan.

Pada hari Selasa lalu, saya telah menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat, di antara dalam bilik rehat dipenuhi oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dari semua parti politik – pihak kerajaan dan pihak pembangkang.

Ahmad Shubery Cheek

Di antara mereka Menteri Luar, Datuk Hamid Albar, Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz, Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Zahid Hamidi dan beberapa ahli Dewan Rakyat bermesra dan bermuhibbah dengan wakil-wakil rakyat dari pembangkang, di antaranya, Lim Kit Siang, Mahfuz Omar, Mohd.Azmin Ali dan Lim Guan Eng.

Manakala Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kelihatan tidak dapat menyesuaikan diri di lobi Parlimen itu, beliau kelihatan berseorang (meminggirkan diri) di satu sudut berasingan dari tempat wakil-wakil rakyat sedang bermesra.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.