ABDULLAH BADAWI TAK KENANG BUDI?
Oleh: Khairul Adib
Bekas Perdana Menteri dan ahli UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menganggapkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai orang yang tidak mengenang budi.
Beliau telah membuat anggapan demikian, pada ketika berucap kepada sekumpulan penyokong beliau yang telah menyambut ketibaannya dari melancong ke Jepun, di Subang pada petang semalam (Selasa).
Ucapan Dr. Mahathir Mohamad yang penuh sentimen itu bolehlah dianggap ‘oleh-oleh’ yang dibawa dari Jepun untuk para penyokongnya.
Suara Dr. Mahathir Mohamad adalah suara orang marah dan kecewa.
Setiap orang yang senantiasa menggunakan fikiran yang waras dan berlandaskan ajaran Islam, amat terkejut akan anggapan bekas pemimpin negara itu, kerana tidak sepatutnya anggapan demikian lahir daripada beliau.
Semua orang mengetahui, bahawa Abdullah Ahmad Badawi tidak seperti yang dianggapkan oleh Dr. Mahathir Mohamad itu. Beliau adalah jenis manusia ‘berfikir sebelum bercakap’ dan ‘menghormati orang lain walaupun orang lain tidak menghormati beliau’.
Soal siapa bawa masuk Abdullah Ahmad Badawi ke dalam UMNO, mengangkat beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri hinggalah kepada Perdana Menteri, tidaklah patut diungkit, kerana itu ‘bukan budi’, tetapi tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh setiap pejuang.
Siapa yang memulakan krisis peribadi antara Dr. Mahathir Mohamad dengan Abdullah Ahmad Badawi? Dr. Mahathir Mohamad yang telah memulakan lebih dahulu. Beliau telah mengecam dan boleh dikatakan hampir mengutuk Abdullah Ahmad Badawi dalam semua ucapannya.
Walaupun kecaman demi kecaman dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamad terhadap Abdullah Badawi, tetapi beliau tidak pernah bersuara kasar terhadap bekas ketuanya.
Seperti kebanyakan orang mengetahui, perasaan marah dan benci bekas Perdana Menteri itu kepada Abdullah Ahmad Badawi, bukanlah kerana ‘demi UMNO dan bangsa Melayu’, tetapi kerana kebendaan, iaitu setelah kerajaan membatalkan projek jambatan bengkok Johor – Singapura.
Bagi pengamal-pengamal politik yang telus, selama lebih 20 tahun Dr. Mahathir Mohamad memerintah negara ini, tidak nampak beliau menyatupadukan orang Melayu dan ummah, tetapi yang kelihatan nyata, beliau melakukan pecah dan perintah, sehingga orang Melayu berpecah belah.
Bagaimana kesetiaan dan ‘kenang budi’ Abdullah Ahmad Badawi kepada Dr. Mahathir Mohamad dapat kita teliti dari ‘Ucapan Terima Kasih Kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad’ oleh beliau dalam Dewan Rakyat, pada 3 November 2003, iaitu:
“ ... bahawa Dewan ini, menerima hakikat bahawa ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat sejak 16 Julai 1981, dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara; Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besar, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara.
Menyedari serta menginsafi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir; Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan an pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia.
... semoga beliau dan Tun Dr. Siti Hasmah serta keluarga dilimpahkan segala kebahagiaan. Semoga khidmat bakti beliau diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal makruf, dianugerahkan ganjarannya dunia ganjaran akhirat.
Sebesar-besar hadiah persaraan yang dapat warga Malaysia berikan kepada beliau adalah untuk meneruskan wawasan dan impian, menjadikan Malaysia sebuah negara maju, makmur, aman dan stabil.”
Ucapan yang memakan sembilan paragraf yang panjang itu, telah membuktikan Abdullah Ahmad Badawi amat ‘kenang budi’ terhadap Dr. Mahathir.
Ucapan tersebut menjadi khazanah sejarah yang membuktikan Abdullah Badawi amat menghargai jasa bekas ketuanya, Dr. Mahathir Mohamad.
Sebenarnya, kalau Dr. Mahathir Mohamad menginsafi dirinya; sebagai orang tua dan ‘orang tua-tua’, dengan kemudahan yang diperoleh dari kerajaan, sepatutnya beliau tidak melakukan karenah, menimbulkan perpecahan di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu. Beliau meneruskan sisa-sisa untuk tiga jenis ini:
1. Bekerja sebagai bekas Perdana Menteri. Jika ada sesuatu yang tidak kena yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menyambungkan lebuh raya perjuangannya, maka beliau eloklah secara persaudaraan, dan memberi nasihat dan tunjuk ajar.
2. Maknanya, tidak melaung-laung ke seluruh dunia akan salah dan silap Abdullah Badawi sehingga mencemarkan maruah beliau dan orang Melayu dan rakyat Malaysia yang dipimpinnya.
3. Beribadat kepada Allah sebagai hamba yang berada di hujung usia.
4. Singkirkan perasaan memandang rendah terhadap orang lain, mengata dan mencerca orang dan sebagainya.
5. Menulis buku dan beberapa buah buku ilmu pengetahuan untuk menjadi pengetahuan dan panduan bagi generasi pada masa ini dan akan datang. Tetapi tulisan dalam buku itu jauhkanlah dari sesuatu yang terkandung dalam ucapan beliau mencaci Abdullah Ahmad Badawi..
Tetapi, jika Dr. Mahathir Mohamad telah termasuk dalam manusia yang seperti firman Allah dalam surat At Taubah: 82, maka mereka ketawa sedikit dan banyak menangis sebagai pembalasan atas apa yang mereka kerjakan, maka tidak ada siapa yang boleh menasihatinya. Apa jua nasihat dari orang lain tidak akan diterima dan tidak memberi sebarang guna lagi.
Jika kita kaji imbas kembali sejarah negara kita, maka kita akan mendapati; Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra tidak puas hati terhadap orang yang mengganti tempatnya, Allahyarham Tun Abdul Razak. Tunku pernah memberitahu kepada seorang penulis, bahawa Tun Abdul Razak memaksa dia meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Tunku Abdul Rahman juga banyak mengkritik dan mengecam Dr. Mahathir Mohamad. Titik hitam telah wujud dalam UMNO, bahawa Dr. Mahathir Mohamad dipecat dari parti orang Melayu itu kerana melawan Tunku Abdul Rahman.
Tidak ada kecaman dari Allahyarham Tun Abdul Razak ke atas Tun Hussein Onn. Seperti orang ramai mengetahui, bahawa Tun Abdul Razak telah meninggal dunia di London pada masa berjawatan Perdana Menteri.
Perdana Menteri yang ketiga, Tun Hussein Onn telah tidak puas hati dengan tindak tanduk Dr. Mahathir Mohamad sebagai timbalannya kerana dikatakan Dr. Mahathir Mohamad telah menjalan kuasa melangkau dari yang diberi oleh ketuanya, termasuk kisah pengampunan ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Haji Harun Idris.
Kita memohon kepada Tuhan, mudah-mudahan, setelah Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan kerusi Perdana Menteri, beliau tidak akan menjadi seperti Dr. Mahathir Mohamad, iaitu mencerca dan mengumpat terhadap orang yang mengambil alih kerusi beliau.
Sesungguhnya, manusia selagi bernama manusia, dia mempunyai kemahuan nafsu yang sukar disekat atau dibendung seperti tiga tenis berikut ini:
* Apabila dia lapar, dia mahukan kenyang.
* Apabila dia telah kenyang, dia mahukan senang.
* Apabila telah senang, dia mahukan menang.
Dr. Mahathir Mohamad dan orang-orang lain pun berkeadaan seperti itu juga. Oleh yang demikian wujudlah perbuatan menjatuhkan kawan seperjuangan, tidak senang melihat orang lain maju, tidak puas hati melihat orang lain berjaya dan ingin menjatuhkan sesiapa sahaja yang berkeadaan melebihinya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk blog ini.
Harap Maaf juga kerana penulis tidak dapat membalas comment anda atas sebab2 tertentu.
Komen, Ulasan,dan Idea anda amat dihargai.
Sekian.