Sunday, May 29, 2011

MAKSUD AYAT QURAN DAN HADIS

JANGAN SEKUTUKAN ALLAH

Sesiapa yang berharap berjumpa dengan Penguasa (Allah)nya, maka hendAklah dia melaksanakan amalan yang soleh dan jangan mempersekutukanAllah dengan seseorang pun dalam kehidupannya.
Al Kahfi: 110



SIRAM ANAK

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia tidak menyiramkan airnya kepada anak orang lain (ertinya bersetubuh dengan wanita hamil).
– Ahmad Tarmizi.

Saturday, May 28, 2011

NABI HIDIR (Ulangan)

KISAH IKAN SEBELAH

MAMBANG HIJAU NABI HIDIR?

Oleh: Mokhtar Petah


Sesiapa yang menuntut ilmu jampi serapah, tentu pernah mendengar bomoh dan pawang menyebut ‘mambang hijau’ dan “Pusat Tasik Paun Janggi’ dalam jampi mereka, iaitu“ …hai, mambang hijau yang jaga lautan Pusat Tasik Pauh Janggi …” Mambang hijau, ialah Nabi Hidir dan Pusat Tasik Pauh Janggi, ialah Segi Tiga di Bermuda.


Ada sejenis ikan, iaitu ikan sebelah. Boleh buat kuah laksa. Orang Arab menamakan ikan itu, ‘samak Musa’ (ikan Musa), iaitu ikan Nabi Musa. Ikan itu ada kaitan dengan kisah dalam Quran berikut ini.


Kisah ini boleh menjadi pengajaran dan mengubah hati setiap orang yang rasa dirinya lebih pandai dari orang lain. Berbangga dengan ijazah bergulung-gulung atau mempunyai kuasa memandang orang lain jahil dan lemah.



Sesungguhnya manusia itu bertindak melanggar batas. Disebabkan dia melihat dirinya serba cukup.


(Al Alaq: 6,7).


Berpandu pada ayat - ayat Quran berikut ini dan pendapat para ulama, bahawa Nabi Hidir dikurniakan oleh Tuhan ilmu ‘ladunni’ (pengetahuan luar biasa dan ilham dari Tuhan).


Sebuah Hadis Nabi Muhammad s.a.w. ,diriwayatkan oleh Imam Bukhari, iaitu pada ketika Nabi Musa a.s. berucap kepada orang-orangnya, seorang dari mereka bertanya: “Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih pengetahuannya daripada Tuan?”. Nabi Musa menjawab: “Tidak ada.”. Allah telah menegur Nabi Musa kerana dia tidak merujukkan soalan itu kepada Allah. Dan Allah telah menerangkan: Ada seorang hambaku yang lebih ilmunya daripada kamu. Orang itu dapat ditemui di tepi pantai, berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut (mungkin Nil Biru dengan Nil Putih atau jernih). Kemudian Allah telah mengarahkan Nabi Musa membawa bekalan ikan dalam sebuah bakul. Ditempat ikan itu hidup semula dan masuk ke laut, maka, di situlah tempat pertemuan Nabi Musa dengan Nabi Hidir.


Pada ketika Musa berkata kepada pemuda (pekerja atau temannya, Jusya bin Nun. Setelah Nabi Musa wafat, Jusya telah menjadi khalifah dan memerintah berdasarkan agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Musa): Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua batang sungai atau aku akan berjalan bertahun-tahun.


Maka apabila mereka tiba di tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan ikan (yang mereka bawa), lalu ikan itu mengelunsur mengikut jalannya ke laut, iaitu lubang di bawah tanah.


Pertemuan dua laut dalam firman tuhan di atas, ada dua pendapat, 1 – Mungkin laut itu sungai Nil Biru dan sungai Nil Putih jernih, atau 2 – Cabang dari Laut Merah, iaitu Teluk Aqabah dan Teluk Suwais (Suez).



Nabi Muhammad s.a.w.telah menjelaskan dalam Hadisnya: Nabi Musa dan pemuda itu telah berjalan dan sampai kepada batu besar tepi laut. Mereka telah memakan ikan itu pada bahagian sebelah badannya. (kerana kepenatan) mereka telah tidur. Pada waktu itu baki ikan dalam bakul mereka telah mengelunsur masuk ke laut. Setelah mereka bangun, teman Nabi Musa terlupa akan ikan itu (Nabi Musa juga lupa bertanya kepada temannya itu tentang ikan tersebut). Mereka telah meneruskan perjalanan sepanjang hari dan malam.


(Perawi: Imam Bukhari).


Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.:


Setelah mereka melepasi tempat (batu besar) itu, Nabi Musa telah berkata kepada pemuda (teman)nya: Bawalah makanan (ikan) tengah hari kita, sebenarnya kita telah penat dalam perjalanan kita ini.


Teman Nabi Musa telah berkata: Tahukah, apa telah terjadi pada kita, pada ketika kita berehat atas batu besar itu? Sebenarnya aku telah lupakan ikan itu; dan tidak ada yang menyebabkan aku lupa dari meyebut halnya (ikan) kepada kamu melainkan (kerana) syaitan, dan ikan itu telah mengelunsur mengikut jalannya ke laut dengan cara yang menakjubkan.


Nabi Musa telah berkata: Itulah yang kita kehendaki (perihal ikan hidup semula dan mengelunsur ke dalam laut dan Nabi Musa telah mengetahui di situlah tempat akan berlakukan pertemuannya dengan Nabi Hidir). Mereka pun berpatah balik semula ke situ (kepada batu besar itu), dengan menurut jejak mereka.


Lalu mereka mendapati seorang dari hamba-hamba Kami (Nabi Hidir) yang Kami telah kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya ladunni dari Kami.


Nabi Musa telah berkata kepadanya (Nabi Hidir): “Bolehkah aku mengikuti kamu dengan syarat kamu mengajar aku dari ilmu yang telah diajarkan oleh Allah kepada kamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagi aku?


Hadis Nabi Muhamamad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:


Setelah Nabi Musa memberi salam dan mengenalkan dirinya kepada Nabi Hidir, dia memberitahu akan hajatnya untuk menuntut pengetahuan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Hidir. Nabi Hidir telah menjawab salam Nabi Muda dan berkata: “ Tidak cukupkah dengan kitab Taurat yang ada di tangan kamu dan wahyu yang sering diturunkan Allah kepada kamu, hai Musa? Sebenarnya ilmu yang ada padaku tidak boleh kamu mengetahuinya dan ilmu yang ada pada kamu tidak boleh aku mengetahuinya.


Sesungguhnya kamu (Nabi Musa), tidak akan dapat bersabar bersama aku. Dan Bagaimana kamu akan sabar terhadap perkara yang kamu tidak mengetahuinya secara menyeluruh


Nabi Hidir telah memberitahu kepada Nabi Musa, bahawa Nabi Musa tidak akan sabar, bahkan akan membantah apabila melihat perkara-perkara ganjil yang akan dilakukan olehnya. Pada hakikatnya Nabi Musa tidak mengetahui.



Nabi Musa telah berkata: Kamu akan mendapati aku, insya Allah, orang yang sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintah kamu. Ia (Nabi Hidir) telah berkata: Sekiranya kamu mengikuti aku, maka jangan kamu bertanya kepada aku akan sesuatu pun sehingga aku memberitahu halnya kepada kamu.


Mereka berdua berjalan (di pesisir pantai) hingga bila mereka menumpang sebuah perahu, dia (Nabi Hidir) membocorkannya. Nabi Musa telah bertanya, patutkah kamu membocorkannya sedangkan akibat perbuatan (kamu) itu menenggelamkan penumpang-penumpang? Sesungguh kamu telah melakukan satu perkara (salah) yang besar.


Dia (Nabi Hidir) menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa kamu tidak sekali-kali akan bersabar bersama aku?


Nabi Musa berkata: Janganlah kamu marahkan aku disebabkan aku terlupa (akan syarat kamu) dan jangan kamu membebankan aku dengan sebarang kesukaran dan urusan (menuntut ilmu).


Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda, lalu dia (Nabi Hidir) membunuhnya. Nabi Musa telah berkata: Patutkah kamu membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa (kerana) membunuh orang? Sesungguhnya kamu telah melakukan perbuatan yang mungkar.


Dia (Nabi Hidr) menjawab: Bukankah aku telah katakan kepada kamu, bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersama aku?.


Nabi Musa telah berkata: Jika aku bertanya kepada kamu tentang sebarang perkara kemudian ini, maka janganlah kamu jadikan aku hamba kamu lagi. Sesungguhnya kamu telah cukup mendapat alasan melakukan demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahan aku.


Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk-penduduk sebuah pekan, mereka telah meminta makanan dari orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka mendapati di situ ada sebuah tembok yang akan roboh, lalu dia membinanya. Nabi Musa telah berkata: Jika kamu mahu, tentu kamu berhak mengambil upah mengenainya.


Nabi Hidir menjawab: Inilah masanya perpisahan antara aku dengan kamu, aku akan terangkan kepada kamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang kamu tidak dapat bersabar mengenainya.


Adapun perahu itu dimiliki oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada raja yang akan merampas tiap-tiap perahu yang tidak cacat.


Ada pun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang, dia akan memaksa mereka melakukan perbuatan yang kufur.


Oleh itu, kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya (pemuda itu) tentang kebersihan jiwa dan lebih mesra kasih sayangnya.


Ada pun tembok itu pula, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di pekan itu dan di bawahnya ada ‘harta terpendam’ kepunyaan mereka dan bapa mereka pula orang yang soleh. Maka Tuhan kamu mengendaki; apabila mereka telah cukup umur dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhan kamu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya mengikut fikiran aku sendiri (iaitu dengan perintah Allah). Demikianlah penjelasan tentang tujuan perkara-perkara yang kamu tidak dapat bersabar mengenainya.


(Al Kahf: 60 - 82)


Demikian Allah mengajar manusia tentang pengetahuan yang ada pada manusia. Di antara seorang dengan seorang ada kelebihan ilmu pengetahuan. Oleh itu manusia tidak boleh membanggakan dirinya lebih pandai kerana manusia lain pun lebih pandai juga.(mp)

SAJAK




AYAH

Merdeka!!!
Suara ayah bergema,
Jerkah ayah laksana petir,
Suara keramat pada 1957,
Amat lama jaraknya.

Merdeka!!!
Suara ayah,
terpendam dalam minda putranya,
di Malay College,
Lalu ke Oxford London.

Merdeka!!!
Suara ayah nanah hanyir,
Dalam minda putranya,
Politikus di sanjung umat,
Hatinya sewarna Bush dan Obama.
.
Merdeka!
Malam kelam,
Dia benci suara ayah,
Suara Melayu mundur kuno,
Hidup merimpa di bumi sendiri,
Yang ada kuku dan gusi.

Merdeka!!
Ayah dan ibunya tiada kini,
Suami isteri pindah jauh,
Ke alam baqa mengadap Allah,
Tinggalah putra tongkat negara.

Merdeka!!
Jatuh seorang putra borjois,
Putra Melayu berjiwa Inggeris,
Allah takdir dia jadi kalkatu,
Terhempap ke bumi telanjang diri.

Merdeka!!!
Suara ayah bergema,
Putranya di mamah usia,
Dadanya sarang penyakit,
Mencari yang nan tiada.

Ayah!
Ayah!!
Ayah!!!
Emaaaaaaaaaaaak!!! ???

Kampung Raja .....................Mokhtar Petah

MASAKAN HARINI



GULAI IKAN BELIDA

Seekor ikan belida - sejenis ikan air tawar, terdapat dalam sungai Perak dan sungai Pahang dan sungai - sungai besar lain di negara ini - kira - kira tiga kilo, goreng hingga hampir rangup, campurkan dengan 10 biji cabai besar hijau yang di belah dua, dua biji bawang besar dihiris sebagai gelang, bawang putih, halia dan kacang masin.
Sebelum dimasukkan daging ikan, semua bahan ramuan itu ditumis hingga agak hampair garing. Kemjudian masukkan daging ikan dan air sekadar perlu.

MAKSUD AYAT QURAN




BERHATI – HATI DARI PUJUKAN

Orang – orang yang beriman jangan (tidak boleh menurut Allah dan Islam) mengambil orang kafir menjadi rakan rapat dengan meninggalkan orang – orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian, maka, dia tidak (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kalian hendak menjaga diri dai sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir). Dan Allah perintahkan agar kalian berhati – hati (beringat) terhadap kekuasaan diriNya (menyiksa kalian). Dan kepada Allah jakan kembali.
– Ali Imran:28
Nota.
Ayat Quran di atas diturunkan Allah kepada RasulNya, Muhammad s.a.w., ialah, bahawa Al Hajjaj bin Amar, yang mewakili para pemimpin Yahudi, iaitu, Kaab bin Al Asraf, Ibnu Abil Haqiq dan Qais bin Zaid telah memujuk segolongan orang Ansar (orang – orang Madinah yang membantu Rasul Allah, Muhammad s.a.w.) supaya meninggalkan agama Islam. Sebelum berlaku kekufuran, Abdullah bin Jubair, Rifa’ah bin Al Munzir dan Sa’ad bin Hathamah telah menasihat dan memberi peringatan kepada golongan Ansar tersebut, agar berhati – hati dengan pujukan musuh – musuh Islam dan jangan keluar dari agama Islam, tetapi mereka tidak menghiraukan peringatan tersebut, maka Allah menurunkan wahyu, iaitu ayat tersebut.
Pada masa ini ramai orang Islam dalam organisasi yang berjuang dalam Islam sering dipujuk rayu oleh mereka yang bekerjasama dengan orang – orang kafir atau mereka menolak Islam sebagai dasar undang – undang negara, maka, untuk meneruskan perjuangan suci, eloklah mendalami ayat dalam surah Ali Imran:28 ini, agar tidak terjun ke dalam jurang yang merugikan bangsa Melayu dan merosakkan agama Islam.

Friday, May 27, 2011

MENGENANG MASA SILAM





MELATIH JADI WARTAWAN DAN PEMIMPIN

Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan 1957 hingga pada masa ilmu kewartawanan atau mass communication (mass com.) belum diwujudkan oleh Institut Teknologi Mara, belum ada sesiapa dan organisasi yang mengadakan kursus seperti itu secara umum di negara ini. Ada atau tidak, hanyalah institusi media atau akhbar mengadakan kursus atau bimbingan kepada pemberita-pemberita mereka sahaja.
Sekitar tahun 1960-an, persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri telah mengadakan ceramah dan seminar penulisan kreatif, tetapi tidak bersifat kursus atau bimbingan secara langsung kepada belia-belia yang meminati bidang kewartawanan dan penulisan.
Pada pertengahan tahun 1965, aku telah dikenali ramai sebagai seorang wartawan yang telah berpengalaman dalam bidang penulisan kreatif - novel, cerpen dan sajak-, maka aku telah menerima banyak sungutan dari ramai pemuda pemudi, di seluruh negeri Perak yang berminat dalam bidang pemberitaan atau kewartawanan, kerana mereka tidak berpeluang mempelajari ilmu tersebut.
TAHI UDANG ATAS KEPALA
Sementara itu ramai belia-belia, terutama lepasan sekolah agama rakyat yang meminati kerjaya dalam bidang penulisan dan kewartawanan telah meminta aku membimbing mereka dalam bidang tersebut.
Atas rasa tanggungjawab untuk mengembangkan ilmu pengetahuan, maka aku dengan ’ilmu sebanyak tahi udang atas kepala’, pada tahun tersebut aku telah mengadakan kursus ilmu kewartawanan dan penulisan kepada para belia lelaki dan perempuan, di beberapa tempat di negeri Perak, iaitu Kuala Kangsar, Ipoh, Taiping, Parit, Pulau Pangkor, Kampung Gajah, Teluk Anson, Parit Buntar dan Hulu Perak.
Pada peringkat mula aku telah mengadakan kursus kewartawanan dan penulisan pada tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad kepada kira-kira 30 orang pemuda pemudi, dalam sebuah bangunan, di Bandar Kuala Kangsar. Di antara mereka itu, ialah Nasaruddin Abu Bakar, Mohd. Nor Shamsuddin dan Shahbuddin Hassan (kemudian mereka bekerja sebagai wartawan Uutusan Melaysia). Beberapa orang peserta kursus itu tidak berminat bekerja sebgai wartawan tetapi berminat dalam bidang penulisan kreatif, di antara mereka itu, Hussein Arif (Lubuk Merabu), Cikgu Ismail (Parit) dan Ramlah Yatim daan Arbaayah Yatim (Manong) dan beberapa orang guru dan kakitangan kerajaan.
JURUFOTO TENTERA BRITISH
Pada masa yang sama, dalam satu program Belia, di Bukit Berapit, Padang Rengas, seorang jurufoto bebas, Radzuan Ahmad telah menemui aku. Dia berasal dari Kampung Tanah Merah, Kuala Kangsar dan bekas jurufoto Tentera British di Singapura. Radzuan telah meminta bantuanku untuk mendapatkan kerja sebagai jurufoto dalam syarikat Utusan Melayu, di Kuala Lumpur.
Aku telah menulis sedikit nota atas kertas kecil dan aku meminta dia berikan kepada Ketua Pengrang akhbar itu, Melan Abdullah (kemudian Tan Sri) atau Timbalannya, Othman Abadi. Tidak lama kemudian di telah bekerja sebagai jurufoto dalam syarikat tersebut.
Pada masa itu aku memegang jawatan Pengerusi Persatuan Belia Kuala Kangsar. Setiausaha, Hamdan Hazizi (penolong Pegawai Daerah), selepas itu telah memegang jawatan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak. Kemudian dia menceburkan dirinya dalam bidang perniagaan dan perusahaan di Ipoh. Anggota-anggota lain dalam persatuan belia itu, di antaranya, Ismail Shabuddin (penolong Pegawai Daerah) kemudian menjadi Datuk Bandar Ipoh.
AHLI PERSATUAN BELIA
Usaha aku mengadakan kursus kewartawanan dan penulisan telah menjadi agenda Persatuan Belia Kuala Kangsar. Usaha menarik lebih ramai lagi belia-belia dalam daerah itu untuk menyertai kursus tersebut telah dijalankan oleh persatuan tersebut.
Pada tahun 1966, dengan kerjasama Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Allahyarham Ahmad Daud Dahalan, maka kursus ilmu kewartawan dan penulisan yang aku adakan di bangunan dalam bandar Kuala Kangsar itu, telah berpindah ke dewan Rest House dekat Pejabat Daerah setempat. Lebih 70 orang belia lelaki dan perempuan termasuk ahli-ahli Persatuan Belia telah menyertai kursus tersebut.
Di antara mereka itu, Baharuddin Kahar (kemudian terkenal sebagai penulis novel dan menjayakan penulisan muzalah Berita Harian), Husni Tamrin Alimin (Tanjung Rambutan), mereka dari Ulu Kinta, Sharifah Saudah Ahmad, kemudian berkhidmat sebagai pramugari MAS, dua orang penuntut Malay College Kuala Kangsar, Mahson dan Abdul Rahman Yusof. Mahson telah berkhidmat dalam Jabatan Kerajaan Pusat, Abdul Rahman Yusof, kemudian telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Osman Hamzah bekerja sebagai tukang memperbaiki radio di Taiping dan Kemudian dia telah bekerja sebagai pemberita BERNAMA, di Taiping.
SKIM CEPAT KAYA
Pada awal tahun 1977, Osman Hamzah telah mengadakan skim cepat kaya yang terkenal dengan nama ’skim Pak Man Telo’. Skim itu telah menggemparkan penduduk-poenduduk sekitar negeri Perak dan negeri negeri lain, kerana sesiapa yang melabur wangnya menrusi skim tersebut cepat menjadi kaya. Kemudian dia telah ditangkap oleh pihak berkuasa mengikut seksyen 103, jadual ke empat Akta dan Isntitusi Kewangan. Sebelum meningga dunia, dia telah dibuang daerah ke Kuala Terengganu pada bulan Mac 1992.
Gadis Bukit Chandan, Mariam yang telah aku terangkan di atas telah mengikuti kursus kewartawanan dan penulisan di Rumah Rehat Kuala Kangsar. Dia masih berkeadaan lama juga terhadap diriku. Pada masa itu dia telah menulis cerpen-cerpen mengenai ke patahan cintanya, tetapi cerpen-cerpen itu tidak dikirimkan kepada mana-mana surat khabar dan majalah. Menurutnya dia hendak menyimpan cerpen-cerpennya itu sebagai kenangan.
Pada tahun yang sama, sebuah Jawatankuasa Sementara di Malay College Kuala Kangsar(di antara anggota-anggotanya, Ustaz Abdul Rahman dan Dismon Muzaffar Tat, telah menjemputku untuk memberi kursus ’kewartawanan dan antarabangsa’ pada tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad, selama empat bulan, yang dikhaskan kepada kira-kira dua ratus orang penuntut-penuntut yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi, di luar negara.
CARA - CARA BEREPIDATO
Pada masa kursus di Malay College itu pertama kali aku bertemu dengan seorang penuntut dari Cheruk To’kun, Bukit Mertajam, Anwar Ibrahim.Dia tidak dapat mengikuti kursus itu kerana dia akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
Anwar Ibrahim seorang penuntut yang petah bercakap pandai berucap. Dia telah belajar sedikit sebanyak cara-cara berpidato dengan baik daripadaku. Aku telah menasihatinya, supaya belajar pidato dengan praktik di hadapan cermin besar. Cara demikian pemidato itu dapat melihat gaya diri dan memek mukanya pada waktu berucap dalam cermin itu.
Aku juga telah mencadangkan kepadanya, supaya dia mengambil potongan-potongan penting dari ucapan dan tulisan Presiden Soekarno, Muhammad Abduh, Syed Qutb dan beberapa orang lagi selain dari ayat-ayat Quran dan Hadis untuk digunakan dalam ucapannya sebagai hias cakap
MAJLIS MAULIDUR RASUL
Kira-kira seminggu kemudian – Malay Colleh bercuti -, aku bersama Haji Fadhil Khalid, Abdul Latif Hussein (penulis dan anggota Parti Rakyat) telah membawa Anwar Ibrahim memberi ucapan dalam majlis Maulidur rasul, di Kampung Beluru (kampung di pendalaman) dan Kampung Talang Dusun(dekat Padang Polo Kuala Kangsar). Dia telah berucap dengan suara yang lantang, penuh gaya dan semangat. Hampir separuh dari ucapan Anwar telah menyelar atau mengecam Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, beberapa orang menteri kabinet wakil-wakil rakyat UMNO.
Ucapan-ucapan Anwar Ibrahaim telah menarik perhatian orang-orang dari parti pembangkang dan mereka yang tidak menyertai mana-mana parti politik. Pendapat-pendapat Anwar Ibrahim dalam ucapan-ucapannya sesuai dengan fikiran orang-orang parti pembangkang, seperti Socialist frunt atau Parti Rakyat dan PAS.
Pada masa itu ramai dari penduduk-penduduk kampung suka mendengar ucapan Anwar Ibrahim. Ucapannya seperti ucapan pemuda-pemuda revolusi Indonesia atau seakan-akan ucapan Presiden Soekarno.
Aku telah merenung wajah dan peribadi Anwar; dia seorang yang bercita-cita besar, mempunyai harapan untuk menjadi pemimpin, tetapi dalam banyak hal dia seorang yang gelojoh. Biasanaya, orang-orang yang gelojoh bernasib seperti seorang seldadu; kalau dia tidak membunuh musuh, maka dia akan dibunuh oleh musuhnya.
Semenjak Anwar Ibrahim tamat dari Malay College dan melanjutkan pelajarannya, di Universiti Malaya dan hingga dia berada di kedudukan yang tinggi, aku tidak pernah bertemu dengannya. Tetapi aku sentiasa mengikuti jejaknya, jejak seorang pejuang yang sarat dengan semangat dan cita-cita, namun, dia seperti seorang perajurit di medan perang; membunuh atau dibunuh.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

MAKSUD DARI AYAT QURAN





BUTA DIDUNIA DAN DI AKHIRAT

Pada hari (kiamat), Kami (Allah) memanggil setiap manusia dengan pemimpin mereka (Raja pemerintah, presiden, perdana menteri dan lain); dan sesiapa yang diberi buku (buku catatan baik dan buruk pada masa hidup di dunia) nya di tangan kanannya (kerana kandungan buku itu mengenai kebajika yang dilakukan di dunia) lalu mereka membaca buku tersebut dan mereka tidak dirugi atau disiksa sedikitpun.
Dan siapa yang buta di dunia ini ( iaitu buta dari mengikut petunjuk Allah dalam Quran, buta untuk beribadat, beramal kebajikan, bernegara dan berpolitik , menjalankan ekonomi, sosial dan lain), niscaya di akhirat (dia) buta (juga) dan lebih sesat di jalannya. – al Isra:
Dan katakan (Muhammad), telah datang yang benar dan hilang yang palsu(mengikut Islam dan Quran) dan hilang yang palsu (segala amalan, politik dan lain mengikut ciptaan manusia dan musuh – musuh Allah); sesaungguhnya yang palsu itu pasti lenyap.
al Isra: 71,72 dan 81.

Thursday, May 26, 2011

MENGENANG MASA SILAM





TIDAK BOLEH WUJUDKAN PERPADUAN AGAMA

Pada tahun semibalan belas tujuh puluhan
Negeri Perak seperti negeri-negeri lain juga, iaitu sesiapa yang hendak mengajar ilmu agama Islam-bersyarah, berceramah dan berdakwah- , kepada orang ramai diwajibkan mempunyai tauliah mengajar dari Sultan Perak. Tauliah itu dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri itu. Tetapi dengan surat kebenaran sementara dari pihak pejabat tersebut, seseorang itu boleh juga berbuat demikian.
Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak telah mengeluarkan surat kebenaran sementara kepadaku untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis agama Islam, di seluruh negeri itu. Sekitar tahun 1969-1977, aku telah berperanan dalam tiga bidang kepentingan orang ramai, iaitu kerjayaku sebagai wartawan, penceramah atau mubaligh dan membimbing pemuda pemudi yang berminat untuk menjadi pemberita atau wartawan dan penulis.
AMALAN ISLAM
Aku mengambil tanggungjawab berceramah dan dakwah agama Islam kepada orang ramai, kerana aku telah mendapati ramai di kalangan umat Islam, tidak mendapat kefahaman ilmu pengetahuan Islam yang cukup. Amalan mereka banyak yang bercampur aduk antara amalan Islam dengan amalan-amalan dalam agama-agama lain dan amalan bersifat khurafat atau tahyul. Perkara itu dapat kita melihat dalam bidang amalan-amalan harian, politik, ekonomi, sosial dan adat istiadat.
Pada satu hari aku telah dijemput oleh Jawatankuasa Masjid Bagan Tiang, Parit Buntar, untuk memberi ucapan dalam majlis menyambut maulidur rasul yang telah diadakan oleh penduduk kampung tersebut.
Majlis yang telah diadakan dalam kawasan masjid itu telah dihadiri oleh lebih seribu orang. Di antara mereka itu ramai alim ulama yang datang dari sekitar daerah Kerian, Larut Matang, dan daerah-daerah, di negeri Kedah dan Pulau Pinang.
SESAMA MANUSIA
Kebetulan pula pada hari itu akhbar telah menyiarkan ucapan Menteri Kewangan, Tan Sew Sin yang telah mencadangkan supaya rakyat negara ini menubuhkan sebuah Barisan Agama-Agama di negara ini. Salah satu dari isi-isi ucapanku dalam majlis itu, aku telah menekankan tentang pentingnya falsafah keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. yang merangkumi keimanan kepda Allah, jihad, hubungan baik sesama manusia, amanah dan budi pekarti yang mulia.
Aku telah mengingatkan mereka yang hadir tentang tentang bahaya Barisan Agama-Agama kepada agama Islam. Aku telah menjelaskan, sekiranaya barisan itu ditubuhkan, maka agama Islam akan tertindas atau terkapai-kapai dalam barisan tersebut.
Aku telah kemukakan pendapatku dalam ucapan itu, iaitu sekiranya kerajaan memberi bantuan kewangan sebanyak satu juta ringgit kepada tiap-tiap agama anggota barisan itu, maka agama Islam akan mendapat jumlah wang yang sedikit berbandingkan dengan wang bantuan yang didapati oleh agama-agama lain.
NEGARA PERINDUSTRIAN
Selain dari itu aku juga telah mengingatkan mereka yang hadir, bahawa pembangunan industri di seluruh negara memanglah baik, tetapi dalam mana-mana negara perindustrian, maruah pemuda pemudinya tidak terkawal, maka umat Islam di negara ini mestilah berusaha menanamkan ilmu pengetahuan Islam kepada anak-anak mereka dalam menghadapi negara perindustrian ini.
Aku telah berucap lebih satu jam.Pada waktu aku hampir menamatkan ucapanku, tiba-tiba ucapanku terganggu, pembesar suara mati kerana wayarnya telah dipotong. Pada ketika itu aku nampak beberapa orang pemuda telah berada di hadapanku. Mereka menunjukkan buku lima masing-masing ke arahku dan mereka telah menjerit-jerit menyuruh aku turun dari pentas.
Dengan hati yang risau aku telah turun dari pentas. Dalam keadaan yang kalut itu, kira-kira dua puluh orang pemuda dari sebuah parti politik telah mengelilingi aku dan mengiringi aku keluar dari majlis itu menuju ke kereta yang sedang menungu. Kemudian mereka membawa aku ke kediaman rasmi Kadi Daerah Kerian, Ustaz Arif bin Haji Yassin.
PARTI POLITIK
Pada waktu aku di rumah kadi itu, barulah aku mendapat tahu, bahawa pemuda itu adalah ahli-ahli sebuah parti politik Melayu rakan parti politik Menteri Kewangan, Tan Sew Sin.
Seminggu kemudian, beberapa orang dari daerah Kerian telah datang ke rumahku di Kuala Kangsar. Mereka telah mengundang aku untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis maulidur rasul yang mereka akan adakan. Semua majlis-majlis itu diadakan dalam kawasan kubu kuat parti Islam.
Pada hari itu, aku telah memberi ucapan dalam tiga majlis maulidur rasul dalam daerah tersebut. Seorang ulama tersuhur, di negeri Perak, Allahyarham Ustaz Haji Mat Saman Kati, telah menyertai aku untuk memberi ucapan, di majlis-majlis tersebut.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

MAKSUD AYAT QURAN

HUKUM QISAS

Hai orang orang – orang yang beriman, diwajibkan kalian menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) mengenai perkara orang yang mati dibunuh, iaitu: Balasan, orang merdeka dengan orang merdeka,, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan. Maka, sesiapa (pembunuh) yang mendapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang kena bunuh), maka, hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti rugi badan dan jiwa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti rugi badan dan jiwa itu) dengan sebaik – baiknya. Setelah itu, sesiapa yang melampaui batasan (seperti membalas dendam), baginya azab siksa yang tidak terperi.
– al Baqarah:178.

Nota: Sebab Allah wahyukan ayat ini, ialah, pada zaman Arab Jahiah, iaitu pada hari – hari agama Islam disyari’atkan, terdapat dua suku atau golongan bangsa Arab yang bermusuhan dan tempur sesama mereka. Akibatnya ada di antara mereka yang terbunuh, cedera dan mereka telahmembunuh perempuan – perempuan dan hamba – hamba.
Kerana kedatangan syari’at Islam, mereka memeluk agama Islam dan tidak sempat membalas dendam. Mereka membanggakan diri antara mereka, iaitu dengan jumlah pasukan dan harta benda yang mereka miliki. Ada yang bersumpa tidak akan meredai (berbaik – baik) jika peempuan – perempuan yang dibunuh itu tidak diganti dengan gadis – gadis dan hamba – hamba.
Ayat Quran di atas adalah menerangkan tentang hukum Qisas.
Undang – undang jenaya cara Barat – mengikut orang – orang Yahudi dan Kristian, seperti yang negara kita amalkan sejak dijajah Inggeris hingga kini, tidak mengikut wahyu Allah tersebut.
Undang – undang Barat, pembunuh mesti dihukum bunuh atau dipenjara. Jika menderakan orang, dikenakan hukuman penjara atau denda. Wang denda tersebut untuk kerajaan dan tidak untuk orang yang menjadi mangsa.
Umat Islam yang mahukan peraturan mengikut peraturan dari Allah, mestilah menerima hukuman – hukuman menurut yang dinhyatakan dalam Quran, iaitu undang – undang jenayah – hudud. Jika tidak, sebagai orang Islam akan teraniaya.
Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti dalam Quran:
Sesiapa yang tidak menjalankanhukuman mengikut yang diturunkan Allah (dalam Quran), maka mereka itu orang – orang kafir. Orang zalim. Orang fasik - jahat. – Al Maaidah: 44. 45 dan 47.

Wednesday, May 25, 2011

MENGENANG MASA SILAM


POLITIK DAN WARTAWAN SAMAD ISMAIL

Sesiapa jua yang kerjayanya, penulis dan wartawam tidak dapat tidak akan terlibat dalam mana-mana juga institusi masyarakat dan politik. Aku adalah wartawan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Aku berpendapat; tidak semua parti-parti politik itu tidak baik tujuan dan kerjanya dan tidak semua pula parti politik-parti, termasuk yang menerajui kerjaan itu baik atau betul tujuan dan amalannya.

Pada tahun-tahun 1963 – 1969 Negeri Perak telah diterajui oleh Menteri Besar, Dato’ Ashaari bin Shafie, lepasan sekolah menengah junior school, bekas Pegawai Kawalan Makanan dan sebelum menjadi ahki Dewan Undangan negeri (Senggang), dia berniaga kopi serbuk. Kerana dia berniaga kopi, maka gelaranya ’Shaari kopi’.

Ashaari telah mengalami jalan sukar pada tahun ketiga hingga tahun akhir dia memegang jawatan Menteri Besar Perak. Wakil peribadinya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Senggang), Shafie bin Mat telah mengambil kesempatan ’melawan taukeh’ untuk melemahkan kedudukkan Ashaari sebagai ahli Dewan Undangan Negeri dan Menteri Besar Perak, disamping menjadualkan masa depannya dalam parti politik. Dia telah bekerjasama dengan golongan penentang Ashaari yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Lengong), Dato’ Ahmad bin Said, Dato’ Haji Kamaruddin bin Mat Isa (Batu Kurau), Wan Othman (Kampung Pauh) dan beberapa orang tokoh-tokoh Hilir Perak, Sulaiman Bulon.Dia bekas Penolong Penghulu Mukim di Lambor, Perak.

PENYOKONG KUAT

Sulaiman Bulon telah mendapat sokongan daripada kalangan UMNO yang menentang Ashaari, di antaranya Mohd.Said Abu Bakar, Syed Othman bin Syed Abdul Hamid, Megat Fadzil dan beberapa orang lagi.

Manakala kalangan UMNO Hulu Perak turut menentang Ashaari dan mereka telah menamakan orang kuat mereka, Ahmad bin Said, ahli dewan Undangan Negeri (Lengong), iaitu penyokong kuat Ghazali Jawi yang telah diangkat oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman menjadi Duta Persekutuan Tanah Melayu, ke Republik Arab Bersatu, Mesir.

Pada masa itu, aku sebagai wartawan telah mengikuti krisis yang berlaku di kalangan ahli-ahli UMNO, di Kuala Kangsar khasnya dan seluruh negeri Perak amnya dengan penuh tumpuan. Aku telah mendapati krisis itu bukanlah kerana kepentingan rakyat atau kepentingan negeri, tetapi berkedaan seperti sekawan gagak merebut seketul bangkai sahaja, kerana negeri Perak pada masa itu kaya dengan hasil bijih timah, batu besi dan kayu balak.

BATU BESI

Kesempatan dari krisis itu, maka berlakulah; siapa yang rapat dengan orang yang berkuasa dan sanggup pula melakukan rasuah akan menjadi orang kaya segera, iaitu saudagar lombong, saudagar batu besi atau saudagar kayu balak.

Dalam krisis politik antara Shaari dengan Sulaiman Bulon, sama ada pihak Shaari mahupun pihak Sulaiman Bulon banyak bergantung kepadaku untuk mendapatkan publisiti dalam surat khabar. Berita Harian telah memberi tumpuan kepada krisis UMNO di negeri itu dan berbeda dengan surat khabar lain yang seolah-olah mehu menutup krisis yang berlaku.

Oleh kerana aku rapat dengan Tunku Abdul Rahman, maka Mohd. Said Abu Bakar orang-orangnya telah meminta aku menyertai satu rombongan yang terdiri dari ahli-ahli UMNO, termasuk anggota-anggota kaum ibu dari Kuala Kangsar untuk menemui Yang Dipertua Agung UMNO, Tunku Abdul Rahaman, di kediamannya di Kuala Lumpur.

PRLEMBAGAAN NEGERI

Rombongan UMNO dari Kuala Kangsar itu, bertujuan untuk menyerahkan satu memoradum kepada Tunku Abdul Rahaman, supaya Ashaari diberhentikan dari jawatan Menteri Besar Perak dan diganti dengan Sulaiman Bulon.

Kami telah pergi ke kediaman Tunku Abdul Rahman dengan menumpang dua buah bas sewa khas. Dalam pertemuan kira-kira satu jam pada waktu malam dengan Tunku Abdul Rahaman itu, beliau telah memberitahu, yang beliau tidak dapat memberhentikan Ashaari dari Menteri Besar Perak, tetapi berjanji akan melantik Sulaiman Bulon untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Besar negeri itu. Tunku telah meminta tempoh sementara dia berunding dengan Sultan Perak, Sultan Yusof Izzuddin Shah kerana dalam perlembagaan Negeri Perak, tidak termaktub jawatan Timbalan Menteri Besar.

Pada malam itu juga satu rombongan dari Hulu Perak telah berhimpun di halaman kediaman Tunku Abdul Rahman. Beberapa orang wakil mereka telah masuk menemui Tunku untuk menyampai surat yang mengandungi permemintaan Tunku supaya melantik Ahmad bin Said memegang jawatan Menteri Besar Perak menggantikan Ashaari Shafie.

ROMBONGAN UMNO

Setelah bertemu dengan kami dan rombongan UMNO Lengong, Tunku berangkat masuk ke kereta rasminya kerana hendak pergi ke satu majlis jamuan. Sebaik-baik sahaja kererta rasmi Tunku bergerak atas halaman kediamannya, tiba-tiba orang yang dicadangkan akan mengganti tempat Shaari Shafie itu berbaring di hadapan kereta Tunku. Pemandu kereta Tunku terpaksa memberhentikan kereta yang sedang dipandunya dan Tunku telah keluar dari keretanya untuk memujuk orang itu. Tunku telah berjanji, apabila sampai masanya, beliau akan mengemukakan nama orang itu kepada Sultan Perak agar dilantik memegang jawatan Menteri Besar Perak.

Kira-kira sebulan kemudian, Suliman Bulon telah dilantik oleh Sultan Perak untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Besar negeri itu. Jawatan itu hanya pada nama, kerana dalam perlembagaan negeri Perak tidak ada jawatan tertsebut. Timbalan Menteri Besar sama dengan taraf anggota Ahli Majlis Kerajaan (exco) kanan sahaja.

Kedudukan Sulaiman Bulon tidak selamat, kerana kumpulan UMNO Hulu Perak telah mendapat sokongan dari semua bahagian UMNO negeri itu. Apabila berlangsung pilihanraya 1969, Ahmad Said (Lenggong) telah dilantik oleh Sultan Perak. Almarhum Sultan Yusof Izzuddin Shah untuk memegang jawatan Menteri Besar Perak.

MENIMBULKAN PERGOLAKAN

Dalam pilihanraya 1969 Sulaiman Bulon telah dipilih oleh Presiden UMNO untuk bertanding dalam kawasan Dewan Rakyat (Hili Perak) dan dia telah menang. Selepas itu dia telah dilantik memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Bandar. Semenjak itu negeri Perak tidak wujud Timbalan Mentgeri Besar lagi.

. Setelah krisis itu berakhir, aku telah menyanjung Samad Ismail kerana dia telah menolongku akan cara-cara untuk menimbulkan pergolakan dalam sesebuah organisasi dengan menggunakan media massa. Aku telah banyak memepelajari cara dia menulis, menyelit kata-kata dan anjuran dalam tulisannya.

Satu tindakan Samad Ismail yang tidak dapat aku melupakan, ialah mengenai aku dengan Syed Jaafar Albar yang pada masa itu Setiausaha Agung UMNO. Pada satu hari Syed Jaafar Albar yang mewakili ibu pejabat UMNO telah datang ke Ipoh untuk menyelesaikan krisis UMNO negeri Perak. Sebaik-baik sahaja dia meninggalkan tempat pertemuan tertutup dengan para perwakilan dari bahagian-bahagian UMNO negeri itu, aku telah menemu ramahnya secara ekselusif di Station Hotel Ipoh.

Oleh kerana Syed Jaafar Albar telah bersahabat denganku semenjak tahun 1955 lagi, maka dalam temubual itu, dia telah tidak menyembunyikan segala butiran dalam pertemuannya dengan wakil-wakil semua bahagian di negeri Perak itu. Pendeknya dia telah meluahkan semuanya kepadaku. Tetapi dia sering mengingatkan aku mengenai percakapannya itu dengan ’on the record’ (boleh disiarkan) dan ’off the record’(tidak boleh disiarkan).

MEMBACA CATATAN

Setelah selesai pertemuanku dengan Syed Jaafar Albar, aku telah menelefon kepada Samad Ismail meberitahunya yang aku telah menemubual Setiausaha Agung UMNO itu. Dia telah menyuruhku datang segera ke pejabat Berita Harian, di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Aku telah tiba di pejabat Berita Harian pada petang itu dengan menumpang teksi Ipoh-Kuala Lumpur. Setibanya aku di pejabat Berita Harian, Samad Ismail telah menyuruh aku membaca catatan percakapan Syed Jaafar Albar. Dia telah menyuruh aku menggunakan percakapan ’off the record’ Syed Jaafar Albar sebagai berita penting. Manakala percakapan’ On the record’, telah diketepikan. Berita itu telah disiarkan pada muka hadapan Berita Harian keluar asok pagi.

Sambil menulis berita itu di hadapan Samad Ismail, aku telah berfikir; dia rapat dengan pemimpin-pemimpin UMNO, tetapi mengapa dia menghendaki aku menulis berita yang akan merumitkan lagi masalah menyelesaikan krisis dalam UMNO negeri Perak. Aku telah menaruh suatu sangkaan terhadapnya.

Pada esoknya, kira-kira jam 9.00 pagi, Syed Jaafar Albar yang berada di Baling, Kedah, telah menelefon kepada Samad Ismail. Dia telah memberitahu Samad Ismail yang aku telah menyiarkan caka-cakapnya yang tidak boleh disiarkan. Dia kesal kerana Samad Ismail telah menyiarkan berita itu. Berita tersebut akan menambah buruk lagi krisis di kalangan UMNO negeri Perak, tetapi Samad Ismail telah menepis, kononnya dia tidak tahu hal itu, ”...Mokhtar Petah yang tulis berita itu...,”kata Samad Ismail.

PEMIMPIN NEGARA

Samad Ismail berkata kepadaku kemudiannya, ” ...biarkan UMNO Perak itu berkrisis..., kita orang surat khabar nakkan news....”.

Kata-kata wartawan terkenal di Indonesia, Mochtar Lubis kepadaku, bahawa siapa sahaja pemimpin negara di dunia ini, dia adalah bahan perniagaan bagi industri media. Ertinya industri media mendapat keuntungan dari bangun dan jatuh seseorng pemimpin, semua ucapan mereka sama ada baik atau tidak baik menjadi bahan perniagaan juga.

Seminggu kemudian, pada waktu aku bertemu dengan Syed Jaafar Albar, dia ketawa terbahak-bahak, kerana berita itu telah menjadi ubat kepada penyakit dalam UMNO negeri Perak.

Dalam pergaulanku dengan Samad Ismail, aku mendapati dia seorang yang ada prinsif dalam hidupnya. Kerana dia seorang wartawan, seperti juga wartawan-wartawan lainn di seluruh dunia; dia sering menimbulkan perasaan kacau atau bercelaru dalam minda orang ramai dengan penanya.

Aku menyanjungi Samad Ismail sebagai seorang wartawan, politikus, intelektual tidak menganut sebarang isme atau fahaman, lebih-lebih komunisme seperti yang ditohmahkan terhadap dirinya oleh pihak-pihak tertentu pada beberapa tahun lalu.

Waktu ini juga Samad Ismail sudah mulai berjinak dengan politik, pada mulanya belajar pada Ishak Haji Muhammad hingga membawa kepda berkenalan dengan tokoh nasionalis terkenal, Ibrahim Yaakob, Yusof Ishak dan kemudiannya Rais Abin, Duta Besar Indonesia pertama ke Tanah Melayu selepas mencapai kemerdekaan daripada Belanda. Dalam hubungannya dengasn ejen-ejen Indonesia pada zaman revolusi menentang Belanda itu, A.Samad Ismail bersama Rais Abin turut menyeludup senjata kepada kumpulan-kumpulan yang bergerak di pulau-pulau selatan dan sempat juga bertemu Soekarno, Adam Malik dan Hatta. Ketika itu Samad Ismail menjadi ahli Kesatuan Melayu Muda dan KRIS (ringkasan dari Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung) – Mohd. Said Abdul Hamid.

(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

MAKSUD AYAT QURAN



PARA PENYAIR

Adakah Aku akan berita – terangkan – kepada kalian; kepada siapa syaitan – syitan itu turun.

Mereka turun kepada setiap pembohong yang berdosa.

Mereka menelengkan telinga masing – masing, tetapi kebanyakan mereka itu ialah orang – orang yang dusta.

Dan penyair (yang tidak ada dasar keimanan dan bertujuan menarik manusia kepada khayalan dan lupakan Allah serta mengejar keuntungan dan sanjungan) itu diikuti oleh orang – orang jahat.

Tidakkah kalian lihat, bahawa mereka (para penyair) mengembara disetiap lembah dengan tidak tentu tujuan.

Dan sesungguhnya mereka mengatakan apa yang tidak mereka perbuat (dalam keadaan khayal dan asyik).

Selain dari orang – orang beriman dan mengejarkan perbuatan baik, mengingati Allah sebanyak – banyaknya dan mendapat kemenangan setelah teraniaya (para penyair yang berjejak atas kenyataan, tidak khayal, ingatkan allah, menyeru manusia kepada jalan Allah). Dan orang – orang yang bersalah itu nanti akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

- Asy syu’ra: 221 - 227

Tuesday, May 24, 2011

ARTIKEL




AMALAM RIBA DI KALANGAN MELAYU

Pada zaman Tanah Melayu di bawah cengkaman penjajah Inggeris, semua petani, penoreh getah, nelayan dan buruh hidup dalam keadaan serba kekurangan – miskin – ibrat ‘berselimut kain panjang lima, tutup kaki kepala terdedah, tutup kepala kaki telanjang’ atau laksana ayam kampung, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Sebilangan petani di Kedah, Perlis, Seberang Perai termasuk Kepala Batas terpaksa berhutang dari orang-orang yang berada yang sanggup memberi hutang kepada mereka.
Mereka terpaksa berhutang kerana hendak membeli barang-barang keperluan atau makanan, membiayai anak-anak bersekolah dan sebagainya. Pada masa itu tiada institusi kewangan yang sedia memberi pinjaman kepada mereka. Majlis Amanah Rakyat (MARA). Majlis itu berasal dari sebuah institusi dana kewangan bernama Rural Industrial Development Aunthority (RIDA) yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar. MARA telah menerima hadiah wang dari Kerajaan British sebanyak ₤10,000,000. untuk tabung kebajikannya.
HADIAH KERAJAAN BRITISH
Dato Onn Jaafar telah memberitahu saya pada masa dia mengendalikan surat khabarnya, ‘Keritik’, pada tahun 1960-an, bahawa wang itu adalah hadiah dari Kerajaan British supaya dia membantu orang Melayu di luar bandar menjalankan perniagaan dan perusahaan kecil-kecilan. Melengkapkan rumah mereka dengan paip air yang dipasang dan disalurkan dari sungai dalam kawasan tempat tinggal mereka. Mengadakan kuasa elektrik dari bahan-bahan tempatan dan sebagainya. Selain itu untuk membantu anak-anak warga kampung melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan tinggi.
Menurut pemimpin Melayu itu, bahawa wang itu sebagai hadiah kepadanya kerana dia telah dapat menjaga nama baik Kerajaan British di mata dunia, bahawa orang Melayu tidak menentang British, tetapi yang menentang mereka ialah pengganas komunis dan mereka dari golongan kiri.
Selain dari menjaga nama baik Kerajaan Inggeris, bantuan itu kerana menghargai jasa sebagai Menteri Dalam Negeri dalam Kerajaan British di Tanah Melayu, pada tahun 1948–1949. Pada masa itu beratus-ratus orang penentang Kerajaan British di Tanah Melayu telah ditangkap dan ditahan dalam kemah-khemah tahanan di Ipoh, Batu Gajah, Pulau Jerjak, Tanjung Beruas dan beberapa khemah tahanan lagi.
Mereka itu terdiri dari para anggota dan ahli Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan pemuda Insaf (API) dan pertubuahan-pertubuhana lain.
‘Oleh kerana benar-benar menyedari akan kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi, Dato’ Onn telah pergi ke London meminta bantuan daripada British untuk menolong meninggikan taraf hidup atau ekonomi bangsanya. Hasilnya dari rudingan antara Dato’ Onn dan Kerajaan British dia telah penubuhan RIDA dalam tahun 1950. Dato’ Onn telah dilantik sebagai Pengerusi RIDA yang pertama dengan mendapat bantuan sebanyak £10,000,000 dari Kerajaan British.’ (Lihat buku, Dato’ Onn, 1971, oleh: Anwar Abdullah)
Warga kampung dan permatang yang terdiri dari petani Melayu terpaksa berhutang daripada Ceti (orang India beragama Hindu berniaga membungakan wang) dan mereka yang di gelar ‘tengkolak’ atau ‘lintah darat’ yang sentiasa mencari kelabaan di kalangan orang-orang yang susah atau menderita. Mereka itu seperti memasang perangkap atau jerat pada lorong atau denai dalam berlukar ataupun seperti peribahasa Melayu, ‘menahan lokah di pergentingan’.
DUSUN MILIK MEREKA
Untuk berhutang wang dari orang-orang yang tersebut di atas, petani-petani terpaksa berhutang dengan menggadaikan tanah mereka, seperti kampung halaman, sawah, kebun atau dusun milik mereka kepada sang piutang.
Pada zaman itu telah terkenal beberapa ‘simpulan kata’ mengenai orang-orang yang memberi hutang dengan mengenakan bunga atau faedah atau pun dengan cara lain. Di Kedah dan Seberang Perai terkenal dengan nama ‘padi kunca’. Iaitu pemilik tanah yang meminjam wang terpaksa membuat surat perjanjian dengan sang piutang. Dalam surat itu dicatat, bahawa wang yang mereka berhutang itu dicagar dengan tanah sawah padi dan lain (satu relung atau beberapa relung). Nama pemilik tanah dalam geran tanah itu ditukarkan kepada nama sang piutang. Hutang itu akan dibayar dengan padi beberapa kunca pada musim menuai nanti.
Mereka mesti melangsaikan hutang itu dengan faedah (disebut sewa) kira-kira sekali atau dua kali ganda dari jumlah wang yang mereka telah berhutang. Jika pada musim menuai, hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah yang dicagarkan itu menjadi milik sang piutang tersebut.
Ada pula perjanjian yang dibuat antara yang berhutang dengan sang piutang, iaitu selagi hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka sampai beberapa musim padi nanti berkunca-kunca padi mesti dibayar kepada sang piutang.
DITOLAK WANG POKOK
Pada tahun-tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, banyak bidang sawah milik petani-petani miskin terlepas ke tangan sang piutang yang terdiri dari lebai, guru agama, dan orang berada di tempat mereka atau di tempat lain.
Misalnya petani berhutang wang RM1,000.00 dengan mencagar tanah seluas tiga relung yang nilainya lebih RM10,000.00, tetapi kalau hutang tersebut tidak dapat dilangsaikan, maka tanah itu terlepas ke tangan sang piutang. Petani itu tidak mendapat sebarang bayaran dari harga tanahnya yang melebihi wang yang petani itu telah berhutang.
Berbeza dengan berhutang dan menggadai tanah kepada Ceti. Biasanya, jika tanah bernilai RM10,000.00 yang dicagarkan kerana berhutang RM1,000.00, jika tidak dapat dilangsaikan hutang itu, Ceti akan melelongkan tanah tersebut. Setelah ditolak wang pokok (yang dihutangkan kepada pemilik tanah) dan bunga, maka baki wang harga tanah itu, dipulangkan kepada pemilik tanah tersebut.
Di bahagian utara negeri Perak dan sampai ke Perak tengah dan Hilir Perak, berhutang dengan mencagarkan tanah terkenal dengan ‘jual janji’. Iaitu orang yang berhutang dan piutang menandatangani dua surat perjanjian:
1 Surat perjanjian berhutang, iaitu berapa banyak wangnya yang diberi hutang dan tempo akan dilangsaikan hutangnya itu dengan mencagarkan tanah miliknya (atau milik orang lain). Nama dalam geran tanah itu ditukar kepada nama sang piutang dengan menggunakan borang khas tukar nama dari Pejabat Tanah.
Sekiranya wang yang dipinjamnya itu tidak dapat dilangsaikan pada tempo yang ditetapkan, maka tanah itu menjadi milik sang piutang.
2 Surat perjanjian menyewa tanah atau rumah yang dicagarkan itu. Kerana hendak mengelakkan daripada ‘perbuatan riba’, maka sang piutang mengambil faedah dari wang yang dipinjamkan itu pada tiap-tiap bulan hingga tamat tempo dengan menerima sewa dari orang yang berhutang. Misalnya wang yang dipinjam RM1,000.00, maka sewa tanah yang dicagar atau digadaikan itu kira-kira RM50.00 hingga RM100.00 sebulan. Apabila cukup tempoh seperti dalam perjanjian itu, jika wang yang dipinjam itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah itu menjadi milik sang piutang, walaupun sewa tanah itu dibayar sepenuhnya pada tiap-tiap bulan.
Kaedah berhutang cara ‘padi kunca’ dan ‘jual janji’ masih diamalkan di beberapa kawasan negeri Perak hingga pada masa ini. Tetapi amat sedikit jumlahnya.
BUKA KAIN KAK
Pada zaman belum merdeka, ekonomi rakyat tidak menentu. Bilangan orang miskin lebih ramai dari orang kaya. Nafsu manusia tidak kira miskin atau kaya; mahu makan, pakai, berhias, berhibur dan sebagainya. Semuanya memerlukan wang. Jika tidak ada wang, maka terpaksalah berhutang.
Di antara kaedah berhutang kerana membeli pakaian, barang kemas dan sebagainya, ialah, ‘buka kain kak’, ‘kelentung’ dan ‘manik kuran’.
Perkataan “Buka kain kak’ yang digunakan oleh orang-orang dari negeri Kelantan yang menjaja kain songkek, batik, barang kemas dan barangan dari perak di negeri-negeri sebelah pantai barat. Mereka menjaja dari rumah ke rumah pada waktu siang hari. Biasanya para suami tiada di rumah kerana keluar bekerja. Sebaik-baik sahaja penjaja-penjaja yang menggalas pundut kain dan barangan itu tiba di halaman sesebuah rumah, mereka memberi salam terlebih dahulu. Bila orang perempuan dari rumah itu menjenguk melalui jendela atau keluar diambang pintu rumah mereka berkata “buka kain kak”.
Perkataan ‘buka kain’ itu ialah sebagai menawarkan kepada perempuan itu supaya membuka kain pundut pakaian dan barangan yang mereka galas supaya melihat pakaian dan barangan tersebut. Pada peringkat awal pakaian, barang kemas atau barang dari perak itu dijual secara tunai. Tetapi setelah berulang alik ke rumah pelanggan itu dan telah menjadi rakan biasa, maka pakaian dan barangan itu dijual dengan cara berhutang, iaitu pembeli membayar pada tiap-tiap bulan secara ansuran.
TANGKAI GENDANG KECIL
Misalnya jika pakaian atau barangan yang mereka jaja itu dibayar dengan tunai, berharga RM500.00, tetapi kalau berhutang selama tiga bulan, dikena tambahan RM250.00. Dalam jual beli cara berhutang ini ada unsur riba.
‘Kelentong’ perkataan ini digunakan pada zaman orang-orang Cina Islam yang datang menjaja barangan seperti cincin tembaga, ubatan, kayu sugi, manik dan sebagainya di negeri-negeri Melayu. Mereka menggunakan gendang kecil, iaitu kayu kosong sebesar cawan di kiri kanannya dieratkan dengan kulit lembu atau kulit kambing seperti gendang. Gendang itu ada tangkai kayu dan ada tali berhujungkan kayu atau besi untuk memukul gendang itu. Apabila tangkai gendang kecil itu digoyang-goyangkan, maka gendang kecil tersebut berbunyi ‘kelentong, kelentong, kelentong’.
Pada peringkat awal, orang Cina kelentong menjual barangan mereka dengan cara tunai, tetapi setelah biasa dan telah menjadi rakan, maka mereka menjual dengan cara berhutang, iaitu dengan cara bayar ansuran pada tiap-tiap bulan.
Cara membayarnya sama dengan kaedah berhutang ‘buka kain kak’ oleh orang Kelantan. ‘Mani kuran’, ialah perkataan dari dua benda yang disatukan, iaitu manik dan Quran. Hasil penyatuan itu, maka jadilah ‘mani kuran’. Perkataan ini dari orang-orang Arab, Iran, Kabul (Afganustan) dan Pakistan yang menjaja barangan seperti manik, gelang tangan, celak, bedak, Quran, mukaddam, kitab-kitab riwayat para rasul, kitab doa dan sebagainya. Kerana mereka tidak pandai menyebut cara betul dan tambahan pula lubang hidung mereka luas, bila mereka menyebut dua kata benda itu, suara mereka menjadi sengau.
Mereka juga menjalankan perniagaan seperti penjaja dari Kelantan ‘buka kain kak’ dan orang Cina Islam ‘kelentong’, iaitu berhutang dan dikenakan ganda harga yang kaedahnya sama dengan bunga yang berunsur riba.
Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Ismail Hamzah, Mufti Kerajaan Negeri Perak pada zaman penjajah dan Haji Mat Saman Kati, guru agama kepada Sultan Perak, sependapat, bahawa berhutang dan memberi hutang dengan kaedah padi kunca, jual janji, bukan kain kak, kelentong dan manik kuran, hukumnya adalah haram, kerana perniagaan itu berunsur riba.
– mokhtar petah.

MAKSUD AYAT QURAN

KASIH SAYANG
Mudah – mudahan Allah akan mengadakan (rasa) kasih sayang antara kalian dengan orang – orang yang (sekarang) menjadi musuh kalian. Allah itu Maha Kuasa, dan Allah Maha Pengampun dan Penyayang.
Allah tidak melarang kalian berbuat kebaikan dan bersikap jujur terhadap orang – orang (kafir) yang tidak memerangi kalian kerana agama (Islam) dan tidak mengusir kalian dari kampung halaman kalian. Sesungguhnya Allah menyayangi orang – orang yang jujur.
Hanya Allah melarang kalian terhadap orang – orang (kafir) yang memerangi kalian kerana agama (Islam) dan mengusir kalian dari kampung halaman dan membantu (orang lain) mengusir kalian. Dan siapa yang mengambil mereka (untuk) menjadi pemimpin, itulah orang – orang yang bersalah.
– Al Mumtahanah: 7 - 9

Monday, May 23, 2011

MENGENANG MASA SILAM


PARTI KOMUNIS MALAYA

Kerajaan Jepun telah melantik bapaku menjadi ketua kampung Ngor dan kampung-kampung kecil sekitarnya, iaitu Changkat Duku, Tualang Bengok dan Tanjung Tok Yen. Sebagai ketua kampung bapaku telah dianugerahkan sebuah lencana tembaga sebesar mata kukuran dan disekelilingnya berbentuk seperti mata gergaji. Kuasa ketua kampung pada masa itu sama dengan ketua-ketua kampung pada masa ini.
Manakala Parti Komunis Malaya KM) dan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPJA) telah melantik bapaku menjadi ketua orang-orang Melayu yang menyertai pergerakan mereka. Bapaku dan penduduk-penduduk kampung terpaksa menjadi seperti ’golok bermata dua’; menyokong kerajaan Jepun dan menyokong orang-orang dari Parti Komunis Malaya (PKM).
Beberapa orang ahli-ahli Malayan People’s Anti Japanese Army(MPAJA) dan ahli Jawatankuasa cawangan Parti Komunis Malaya (PKM) daerah Kuala Kangsar sering datang menemui bapaku di Paya Pak Banun. Mereka telah mengadakan perjumpaan dengan penduduk-penduduk kampungku dan kampung-kampung lain.
Di antara keder-keder Parti Komunis Malaya (PKM), Wang Seng (lelaki Cina, berkelulusan Senior Cambridge) dan bekas wartawan sebuah surat khabar Inggeris di Singapura. Dia menganut fahaman Marxisme dan berkiblatkan kepada Komunis China, Baharuddin Tahir atau Baharuddin ’topi mengkuang’, berasal dari Sumatera, tinggal di Kati. Jadi anggota KMM sebelum perang dunia Kedua, menyertai gerakan anti-Jepun dan menjadi anggota PKM dan kader penyusunan massa. Dia sentiasa memakai topi mengkuang, lepasan sekolah agama Islam di Indonesia.
PENJAJAH JEPUN
Seorang guru agama Islam – Mudir Madrasatul Kamaliah, Kati, Kuala Kangsar, Fakeh Haji Ghazali berasal dari Chemor, dekat Ipoh, telah menjadi mubaligh agama Islam bagi pihak Malayan People’s Anti Jamapenese Army (MPAJA).
Fakeh Ghazali telah mengeluarkan fatwa, bahawa orang-orang Melayu dan Islam lebih baik bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) daripada bekerjsama dan menyokong penjajah Jepun dan penjajah Inggeris yang berkuasa atas orang Melayu dan umat Islam.
”Parti Komunis Malaya (PKM) berjuang menentang penjajah Jepun dan Inggeris dan membantu orang Melayu memerdekakan tanah air mereka, tetapi orang Islam jangan sampai merosak akidah kerana bekerjasama dengan pihak parti komunis,” katanya.
Fakeh Ghazali telah memberi amaran kepada umat Islam, bahawa komunis menafikan wujud Allah. Fahaman itu amat bahaya kepada umat Islam, setiap orang Islam yang menganut fahaman komunis menjadi murtad dan kafir.
FAHAMAN KOMUNIS
Menurutnya, penjajah Jepun dan penjajah Inggeris mengamalkan dasar kapitalisme dan memperhambakan manusia. Mereka boleh melakukan apa sahaja asalkan boleh menguasai umat Islam
Dua orang perempuan Cina masih muda kader Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Che Som dan Che Bee telah menjadi penyebar fahaman komunis di kalangan kaum ibu Melayu di kawasan Kuala Kangsar telah tiga kali datang ke kami.
Mereka telah meminta bapaku, supaya memujuk seorang perempuan muda yang cantik, isteri orang, di kampung Changkat Duku supaya menjadi kader Parti Komunis Malaya (PKM) seperti mereka. Tetapi bapaku telah menolak pemintaan mereka itu.
TRCETUS PERTENGKARAN
Pada satu hari, dalam satu perjumpaan antara Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) dengan orang-orang kampungku, telah tercetus pertengkaran antara bapaku dengan beberapa orang ahli Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Pera. Pertengkaran itu terjadi setelah bapaku menentang pendapat mereka yang mengatakan komunisme sama dengan Islam.
”Kalau nak ajak kami masuk komunis, kami tak nak, kami orang Islam,... kami boleh bekerjasama kerana melawan Jepun,...tapi kalau ajak kami jadi kafir kami tak boleh,” kata bapaku kepada mereka.
Pertengkaran itu telah dapat diredakan setelah Baharuddin ’topi mengkuang’ menyokong pendapat bapaku. Dia memberitahu, fahaman komunis tidak boleh diterima oleh orang-orang Islam. Orang-orang Melayu boleh bekerjasama dengan orang-orang komunis kerana sebab-sebab tertentu, seperti menentang penjajah. Walau pun pertengkaran itu menjadi reda dan masing-masing telah faham, tetapi beberapa orang lelaki China telah menyimpan perasaan marah kepada bapaku.
SEBERANG LAUT
Sebenarnya di kalangan Parti Komunis Malaya (PKM) ada di antara orang-orang Cina – sama dengan orang-orang China dalam parti-parti politik mereka sekarang - , yang berhasrat hendak menjadikan Tanah Melayu sebuah negara Cina baru atau Cina seberang laut (nan yang) - negara komunis dan semua orang Melayu menganut komunis.
Singapura yang dulunya sebuah negeri Melayu, tetapi kerana cita-cita kalangan orang-orang Cina seperti yang aku utarakan di atas ini, maka kini pulau itu Temasik itu telah menjuadi sebuah republik yang dikuasai oleh orang-orang China seberang laut.
Sebagai seorang yang telah dewasa dengan pergolakan politik tanah air dan dunia, aku mendapati penjajah yang dilakukan dengan senjata dan politik sama bahasanya dengan penjajahan ekonomi seperti yang wujud di negara kita sekarang ini.
Kejayaan penjajahan ekonomi oleh penghijrah-penghijrah (immigrants) dalam sesebuah negara, akan menjadikan penduduk-penduduk asal negara itu lemah dalam semua bidang. Mereka terkapai-kapai ke sana kemari dalam keadaan ’menang sorak kampung tergadai. Anak-anak muda mereka, walaupun berpendidikan tinggi, tetapi tidak lebih dari jadi buruh dalam negara sendiri, sama ada buruh kasar atau pun buruh berkolar putih.
KEBUN GETAH
Tiga malam kemudian, kira-kira tujuh orang lelaki China telah datang ke dangau kami. Mereka telah mengajak bapaku mengikut mereka ke dalam kebun getah tidak jauh dari belakang dangau kami kerana hendak berunding. Tetapi apa bila tiba dalam kebun getah itu mereka telah menangkap bapaku dan mengikatnya pada sebatang pokok getah di situ.
Mereka memberi kata dua kepada bapaku; kalau bapaku mengaku akan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM), mereka tidak akan membunuh bapaku, tetapi kalau bapaku tidak mahu bekerjasama dengan mereka, maka mereka akan membunuhnya.
Menurut bapaku, setelah dia mengaku akan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan tidak akan menyebelahi Jepun, maka mereka telah melepaskan bapaku dan mereka telah meminta maaf kepadanya.
Semenjak dari malam itu, bapaku telah berpura-pura bekerjasama dengan orang-orang Parti Komunis Malaya (PKM). Secara sulit dia telah berhubung dengan dua orang sheikh ’Pergerakan Parang Panjang’, iaitu Sheikh Othman di Kampung Baiyan, Taiping dan Kiyai Salleh, Batu Pahat, Johor.
TOPI MENGKUANG
Kerana bapa dan ibuku mementing pelajaran aku dan adikku, lebih-lebih lagi kerana di huma kami tiada guru untuk mengajar kami membaca Quran, maka mereka mengambil keputusan berpindah dari huma itu ke kampung kami.
Setelah kami berpindah ke kampung, tidak ramai orang Parti Komunis Malaya (PKM) yang datang ke rumah kami. Hanya Wang Seng dan Baharuddin topi mengkuang yang sering datang secara bersembunyi-sembunyi.
Pada tiap-tiap malam gurila-gurila Parti Komunis Malaya (PMK) sentiasa berkeliaran di sekitar kebun getah dan belukar di pinggir kampung kami. Mereka juga telah menyebarkan surat-surat khabar Parti komunis Malaya (PKM) di kampung kami dan kampung-kampung lain. Di antara surat-surat khabar dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi dan Jawi, ialah Bintang Merah, Berita Benar, Suara Rakyat dan Bintang Timur.
Perigi tempat kami mengambil air mandi terletak di bawah bukit, kira-kira 300 ela dari rumah kami. Kira-kira seminggu sekali aku mendapati surat-surat khabar itu diletak di pinggir telaga itu dan ditutup dengan daun pisang.
BAHAN BACAAN
Sama ada di rumah datukku mahupun di rumah bapaku tidak ada tersimpan surat-surat khabar lama. Datuk dan bapaku seperti kebanyakan orang kampung Melayu di hulu-hulu negeri dan di pendalaman pada masa itu amat jarang membaca surat khabar.
Pada masa itu hanya surat-surat khabar Parti Komunis Malaya (PKM) itu sahaja yang ada. Media itu telah menjadi bahan bacaanku dan sumber ilmu pengetahuan am(general knowlege)ku, terutama mengenai media hal ehwal dunia.
Aku masih ingat-ingat lupa, iaitu pada muka dua surat khabar Bintang Merah ada sebuah artikel tiga kolum. Dalam artikel itu ada tulisan lebih kurang begini ’...British, Amerika dan mereka yang beragama Kristian tidak akan henti-henti untuk memusnahkan umat Islam. Mereka mempengaruhi umat Islam dengan kemewahan hidup, budaya alat mereka yang berlawanan dengan Islam dan bahasa Inggeris, kerana bahasa itu menjadi bahasa dunia’.
Walaupun aku masih belajar dalam darjah tiga di sekolah Melayu, tetapi kerana aku rajin membaca surat khabar Jawi dan buku-buku agama bertulisan jawi juga, maka aku telah mempunyai pengetahuan am yang agak baik berbanding dengan murid-murid sedarjah denganku, di sekolah Melayu tempat aku belajar.
MENJADI WARTAWAN
Walaupun aku masih kanak-kanak, tetapi aku telah mengetahui kerja dan peranan pemberita dan wartawan. Pada usia begitu aku telah mempunyai cita-cita untuk menjadi wartawan seperti Wang Seng anggota Parti Komunis Malaya(PKM) atau macam abang saudaraku, Abdullah Kuak yang pandai menulis rencana-rencana untuk majalah-majalah agama di Pulau Pinang dan Singapura.
Aku mulai mengetahui tugas dan peranan wartawan ialah dari Baharuddin (topi mengkuang) dan Wang Seng. Manakala Wang Seng telah mengajarku mengenai surat-surat khabar di negara China dan negara-negara lain.
Aku masih ingat akan kata-kata Wang Seng, ”...orang baca surat khabar dapat banyak ilmu, orang tak baca surat khabar fikirannya jadi lemah.”
Wang Seng juga orang yang pertama telah mengajar ilmu kewartawanan kepadaku. Walaupun dia tidak mengajarku bagaiamana menulis berita, rencana dan sebagainya, tetapi dia telah memberitahu kepadaku, di mana surat khabar di terbitkan, bagaimana berita-berita, rencana-rencana dan gambar-gambar didapati oleh surat-surat khabar di seluruh dunia. Dia juga memberitahu, orang-orang China memandang wartawan sebagai ’Raja yang tidak bermahkota’.
KEPALA BERITA
Dengan menggunakan surat khabar ’Bintang Merah’, Wang Seng telah mengajarku mengenai kepala berita (head line), berita dalam negeri, berita luar negeri dan beberapa pengetahuan mengenai persurat khabaran.
Wang Seng telah menasihatkan aku, apabila aku telah tamat belajar nanti, pekerjaan yang baik bagiku ialah bekerja sebagai wartawan. Katanya, bekeraja sebagai wartawan boleh memusing dan mencorakkan dunia ini. Menurutnya guru hanya mengajar murid-muridnya di sekolah, tetapi wartawan mengajar semua manusia, walaupun mereka itu raja, presiden, pegawai kerajaan, pedagang, buruh kasar atau para petani di kampung-kampung.
Sementara Baharuddin ’topi mengkuang’, telah memberitahu ramalannya kepada bapa dan ibuku, iaitu apabila aku telah besar dan dewasa nanti, aku akan menjadi orang yang berilmu pengetahuan dan terkenal atau tersohor. Manakala adikku, Ghazali, akan menjadi seorang yang berilmu pengetahuan, tetapai tidak terkenal atau tidak tersohor seperti aku.
Perkataan dan ramal Baharuddin ’topi mengkuang’ itu telah merangsang semangatku untuk menjadi seorang pemberita atau wartawan. Kerana cita-cita itulah agaknya, aku telah menjadi seorang kanak-kanak yang rajin membaca. Ingin mengetahui sesuatu yang wujud di alam ini. Di sekolahku, aku pernah dimarah oleh dua tiga orang guruku, kerana aku telah banyak bertanya kepada mereka akan perkara-perkara yang mereka tidak dapat menjawabnya atau sengaja tidak mahu menjawab.


MAKAN GARAM
Aku masih ingat, pada masa itu kebanyakan guru tidak suka murid-murid mereka lebih pandai dari mereka. Mereka itu masih kuat memegang pada fahaman ’guru makan garam dulu dari murid’.
Aku sering mendengar dua orang kader Parti Komnunis Malaya (PKM) itu bercakap dengan bapaku, bahawa orang-orang komunis yang menentang Jepun bertujuan untuk membela orang-orang Melayu, membela agama Islam dan menolong mereka menuntut kemerdekaan. Tetapi, walaupun aku masih kecil, aku tidak percaya kepada percakapan mereka itu. Aku sering diberitahu oleh ustaz Mohd.Amin Farid dan ustaz Mohd. Khir Nawawi yang mengajar aku mengaji Quran, iaitu orang-orang komunis tidak percayakan Allah dan musuh agama Islam.
Pada satu hari aku telah terjumpa surat khabar lama, ’Majlis’, dalam peti di rumah datukku. Aku telah membaca surat khabar bertulisan Jawi itu dengan mengeja atau merangkak-rangkak. Aku telah membaca dan memahami rencana pengarangnya, iaitu:
’Punca atau ibu komunis itu ialah di tanah Rusia dan dari sanalah menjalar ke benua China ke India dan juga ke Eropah dan dari situ menjalar pula ke negeri-negeri Islam seperti, Mesir, Turki, Farsi (Iran), dan negeri-negeri sekelilingnya akan tetapi benih itu tidak dapat hidup dengan suburnya di negeri-negeri Islam oleh kerana sangat-sangat berlawanan dengan agama al Quran – oleh itu Mufti Mesir dengan persetujuan ulama-ulama Azhar (Universiti al Azhar) memfatwakan bahawa barang siapa yang menerima atau membenarkan ajaran komunis maka sanya ia telah murtad (keluar dari agama Islam).

Kita pernah mewartakan 30,000 buah masjid Islam di Russia telah ditutup oleh kerajaan komunis sama ada dijadikan panggung wayang atau pun kandang kuda dan jamban dan beberapa banyak pula gereja Kristian telah bernasib seperti masjid-masjid itu.’
Pada masa itu gerila-gerila Parti Komunis Malaya (PKM) dalam kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Perak terdiri dari orang-orang China yang kebanyakan dari mereka penanam-penanam sayur dan tembakau, halia, sayur-sayuran secara haram di dalam kawasan-kwasan Hutan Simpan, di sepanjang kaki banjaran Gunung Bintang Hijau dari daerah Kuala Kangsar hingga ke daerah Grik atau Hulu Perak.

LOMBONG BIJIH
Selain dari mereka itu, terdapat juga guru-guru sekolah cina, peniaga-peniaga kecil seperti tukang basikal, bengkel kenderaan, tukang kayu dan buruh ladang getah dan lombong bijih timah.
Manakala dalam kawasan Sungai Siput Utara, Kinta hingga ke Perak Selatan, Tanjung Maling anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) terdiri dari pemuda dan pemudi China yang bekerja sebagai buruh ladang getah dan buruh lombong bijih Timah. Dan sedikit dari mereka itu terdiri dari guru-guru China, peniga dan mereka yang bekerja dengan kerajaan Inggeris.
Kebanyakan orang-orang China suku Hainam, suku Kong Sai yang bekerja di Rumah Rehat, hotel dan restoran menjadi ahli Parti Komunis Malaya (PKM). ’Parti Komunis Malaya telah mengambil peluang menggunakan perasaan anti-Jepun khususnya di kalangan penduduk-penduduk China. Parti Komunis Malaya telah menubuhkan Tentera Anti – Jepun Penduduk Tanah Melayu. Keanggotaannya terbuka kepada semua penduduk Tanah Melayu. Topi yang dipakai oleh Tentera Anti – Jepun ini mempunyai tiga bintang yang dianggap mewakili orang Melayu, China dan India. Tentera ini juga lebih dikenali sebagai askar Bintang Tiga. Oleh kerana semasa pendudukan Jepun, pertubuhan yang teratur dan kuat untuk menentang Jepun ialah Bintang Tiga yang dikendalikan oleh Parti Komunis, maka ramai orang China, yang tidak pun bersimpati dengan fahaman komunis, telah menganggotai Bintang Tiga kerana mereka bencikan Jepun. Jadi, satu lagi kesan pendudukan Jepun yang penting ialah menguatkan Parti Komunis Malaya.
Usaha Jepun hendak menentang Bintang Tiga membawa kesan yang buruk. Kebanyakan anggota polis Jepun ialah orang Melayu. Apabila Jepun hendak menghapuskan Bintang Tiga, orang Melayu yang menjadi polis Jepun diarah melakukannya. Jadi, sebenarnys pertentangan Jepun dengan Bintang Tiga, telah merupakan pertikaian orang Melayu dengan orang China kerana dalam pasukan polis Jepun ramai orang Melayu dan dalam Bintang Tiga kebanyakan-nya orang China. Dengan itu hubungan orang Melayu dengan orang China menjadi renggang.’
POKOK JERAI
Sementara hartawan-hartawan China menjadi golok mata gua; mereka membantu Jepun dan membantu Inggeris. Kata datukku, bahawa orang-orang China seperti punai dengan pokok jerai, di mana ada buah jerai masak , di situlah banyak burung punai.
Kerana bapakku ketua kampung, maka semua orang China suku Kong Sai yang hidup sebagai setinggan atas tanah Hutan Simpan kerajaan telah ’bergantung harap’ kepadanya, terutama untuk menolong mereka supaya tidak diganggu gugat oleh askar Jepun. Sama ada terpaksa atau secara sukarela, mereka itu adalah penyokong-penyokong Parti Komunis Malaya (PKM).
Mereka sering membawa kepada ayah dan ibuku ayam Tongsan dan sayur-sayuran. Aku telah belajar menggatih basikal dengan menggunakan basikal orang-orang China kebun sayur yang sering datang ke rumahku.
Semenjak pada zaman penjajah Inggeris hingga pada masa ini, ada di antara orang-orang pendatang di Tanah Melayu atau Malaysia mempunyai perasaan jujur bergaul dengan orang-orang Melayu, ada yang perpura-pura bergaul tetapi hati di dalam bermusuhan dan ada pula yang berbaik- baik dengan orang-orang Melayu dengan berazimatkan ’ anti perkauman’ tetapi mereka mempunyai tujuan yang tertentu atau ’ada udang di sebalik batu’.
Sekumpulan orang-orang Cina yang kaya raya di Ipoh telah pergi ke London membuat tuntutan kepada Kerajaan British supaya tidak memberi kemerdekaan kepada orang-orang Melayu. Sementara itu sebilangan besar orang-orang Cina di Johor dan Singapura yang menunggu-nunggu masa untuk menjadikan Singapura sebuah Negara Cina Seberang laut. Mereka telah berhasrat demikian setelah terbitnya sebuah buku geografi di Negara Cina yang memaparkan peta Kepulauan Melayu sebahagian dari Negara China.
Amalan-amalan tidak sihat itu masih berlaku dalam pergaulan hari-hari, politik, sosial, pendidikan dan pernigaaan dan perdagangan pada masa kini. Maka sama ada pemimpin-pemimpin Melayu nampak atau tidak, bahawa falsafah ’telunjuk lurus kelingking berkait’ terus wujud dalam masyarakat ’majmuk dan muhibbah’ di negara ini.
Pada masa aku menulis buku ini, aku khuatir negara kita ini akan berlaku seperti pantun Melayu yang telah ditulis oleh seorang ahli parti Islam, Hizbul Muslimin pada tahun 1945, penulis dan guru agama, Yahaya Nasim:

Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padai;
Sini Cina sana Cina,
Malaya jadi pajak judi.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir,Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah).