Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu, tidak ada orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepada kamu apabila kamu apabila kamu telah mendapat petunjuk (dari Allah).
(Al Maidah: 105)
Selamat Hari Keputeraan yg ke-76 tahun (3 JULAI 1934 )
Mokhtar Petah
2010
Najib Tun Razak
Perdana Menteri Malaysia
Mokhtar Petah
Noh Omar
Jihadnya
Bela Rakyat Jelata
Mokhtar Petah
Biografi
Tan Sri Ishak Tadin
Mokhtar Petah
Rasuah
Musnahkan Negara
Noor Iskandar
Anwar Ibrahim
Dalam
Sejarah Alam Melayu
Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu, tidak ada orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepada kamu apabila kamu apabila kamu telah mendapat petunjuk (dari Allah).
(Al Maidah: 105)
Sesiapa yang inginkan permohonannya diperkenankan oleh Allah s.a.w. pada waktu dalam kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doanya pada waktu dia dalam kesenangan.
Perawi: ImamTarmizi r.a.
Jika serbuk atau air cili termasuk ke dalam mata, untuk mengurangkan atau menghilangkan rasa pedasnya, masukkan sedikit garam dalam mulut dan kembamkan seketika.
Insya Allah tidak rasa pedas atau hilang pedas.
ARIF SHAH DAN ANWAR IBRAHIM
Oleh:
Jika ditilik pada kekayaan dan terkenal sebagai ‘orang politik’ kawasan Permatang Pauh, dan ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah bin Omar Shah, 42, akan dapat mengalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihanraya kecil 26 Ogos ini.
Calon tempelan, Hanafi Mamad, Angkatan Keadilan Malaysia, saya tidak bawa ke dalam artikel ini, kerana beliau orang baru dan bersifat kupu-kupu yang hinggap pada kuntum bunga pada waktu petang sahaja.
Bagi para pengundi yang yakin tegas kepada UMNO dan Barisan Nasional tentulah memberi undi mereka kepada Arif Shah. Mereka tidak berharapkan pada kekayaan beliau, tetapi kerana parti dan kerajaan Pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional sekarang.
Manakala pengundi-pengundi yang telah hilang keyakinan kepada UMNO dan Barisan Nasional akan mengundi Anwar Ibrahim kerana mereka yakin mengundi Anwar Ibrahim akan dapat mengubah corak kerajaan negara ini, iaitu dari kerajaan konservertif kepada kerajaan yang radikal, adil dan terbuka.
Kawasan Dewan Rakyat Permatang Pauh adalah kawasan yang berbeza dari semua kawasan Dewan Rakyat di Pulau Pinang. Ia berbeza dari kawasan Dewan Rakyat Kepala Batas yang kini diwakili oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
Kawasan Permatang Pauh adalah peninggalan seorang ahli politik terkenal di Pulau Pinang, iaitu Allahyarham Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan dan bapa Anwar. Pendeknya kawasan itu menjadi seperti negeri kecil kepada keluarga Anwar Ibrahim.
Catatan dalam sejarah, bahawa Permatang Pauh adalah:
* Tempat Anwar Ibrahim dan Wan Aziz bernikah menggunakan wali hakim – akad nikah dilakukan oleh Kadi Besar Pulau Pinang, Datuk Harun Sani bin Zakariah, kini Mufti Kerajaan Perak.
* Tempat bermulanya nama Anwar Ibrahim melonjak ke Dewan Rakyat, berjawatan menteri kabinet dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.
* Tempat isteri Anwar Ibrahim, Dato’ Wan Azizah mencapai kemenangan sebagai meminjam cahaya watak dan peribadi suaminya.
* Tempat Wan Azizah berkorban – meletakkan jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat – kerana memberi peluang kepada suaminya.
Para pengundi dalam kawasan itu, terutama pengundi Melayu, tidak sahaja mahu melihat bagaimana Parti Keadilan Rakyat atau Pakatan memerintah negara ini, bahkan mereka memendam rasa sedih dan pilu kerana Anwar Ibrahim dilanda oleh keburukan yang diciptakan oleh orang-orang yang menjadi musuhnya dari UMNO.
Pengundi-pengundi Melayu yang selama ini menyanjung Abdullah Badawi sebagai pemimpin dan Perdana Menteri negara ini, tetapi setelah beliau mengumumkan akan meletakkan jawatannya pada 2010, mereka telah menjadi tawar hati dan mereka berpaling kepada Anwar Ibrahim.
Pada masa lalu para pengundi tersebut memandang dalam Malaysia ini, hanya dua tokoh politik dan pemimpin sahaja yang boleh mereka harap, iaitu Abdullah Badawi dan Anwar Ibrahim. Tidak ada Abdullah Badawi, maka Anwar Ibrahimlah menjadi tempat mereka menggantungkan harapan dan meminta belas kasihan.
Saya bersama orang-orang yang meramalkan Anwar Ibrahim akan mendapat kemenangan dalam pilihan raya kecil itu, berharap kekalahan UMNO dan Barisan Nasional nanti akan dapat menjadikan pengajaran kepada ahli-ahli UMNO, bahawa pejuangan memerintah dan mempertahankan negara tidak semudah bertepuk pada waktu menonton sabung ayam di gelanggang.
UMNO dengan segala macam karenah di dalamnya, terutama politik wang atau rasuah politik menjadikan orang ramai mencari parti politik yang belum melakukan demikian dan UMNO akan menjadi tirus ekor tikus pada masa akan datang.
BERSUMPAH
Semua orang kampung tahu Jamilah kena penyakit busung, kena tangas dengan lesung batu panas kerana dia berdosa. Dia berdosa kepada Allah dan kepada suaminya. Kerana suaminya telah lumpuh, dia telah menggunakan suami sambilan atau menduakan suami.
“Milah busung,” kata orang-orang tua.
“Kak Milah busung,” laung budak-budak nakal.
“Mak cik Milah busung,” kata kanak-kanak berhingus
“Betina setan tu busung, tangas dengan lesung batu...,”kata Siak surau, Lebai Bedol.
Sepuluh tahun yang lalu, Jamilah seorang gadis kampung yang cantik. Tidak ada gadis yang lebih cantik daripadanya. Ada yang menyamakan Jamilah dengan Kasma Booty, Fatimah Ahmad, Zaiton, Hashimah Yon dan beberapa seniwati filem Melayu.
Jamilah tamat darjah enam Sekolah Kebangsaan. Sebagai kebanyakan gadis kampung, dia telah belajar ilmu agama Islam di sekolah agama rakyat di kampungnya. Ilmu fardu ain yang dipelajarinya memadai untuk mengawal dirinya dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama Islam.
Pada usia 22 tahun, Jamilah telah berkenalan dengan seorang pemuda yang bekerja sebagai pegawai luar sebuah agensi kerajaan, bernama Johari. Pejabat Johari berhampiran dengan kampungnya.
Perkenalan mereka bermula pada hari diadakan gotong royong di kampung Jamilah. Dari perkenalan itu ibarat bumi ditabur benih dan benih itu cambah, tumbuh dan berdaun segar. Cinta Jamilah dan Johari tumbuh segar. Berbunga. Kembang.
Kira-kira tiga bulan Jamilah dengan Johari berkasih sayang. Janji setinggi gunung dan ikrar seluas lautan Hindi. Mereka berkahwin dalam satu majlis yang meriah.
Berbagai jenis hadiah telah diterima oleh sepasang pengantin baru itu. Di antara kotak-kotak barang hadiah yang paling berat itu, ialah sebuah kotak berukuran kira-kira 14”X14”. Berat bagaikan sama dengan satu batu nisan pusara kanak-kanak. Di dalam kota itu adalah sepasang lesung batu. Dihadiahkan oleh orang yang tidak diketahui namanya. Hanya pada kad kecil ditulis: Dari penghuni kampung.
“Ada gunanya lesung batu ni,”kata pengantin lelaki.
“Alaaa, nak buat apa lesung batu ..., kalau ia juga ...,”sambut pengantin lelaki.
“Lesung batu ni, nilainya lebih mahal dari emas ...,” kata pengantin lelaki.
Pengantin perempuan diam. Hatinya menolak pendapat suaminya. Dia tidak terfikir nilai lesung batu itu lebih mahal dari emas.
Kira-kira sebulan kemudian Jamilah dan suaminya berpindah ke sebuah rumah teres setingkat yang terletak di tepi jalan raya. Rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah ibu dan bapa Jamilah itu telah dibeli oleh Johari.
Lesung batu hadiah dari penghuni kampung itu dibawa oleh Johari ke rumah mereka. Lesung batu tidak pernah dibawa ke tengah rumah. Saban waktu ia terperosok di ceruk dapur. Sekali sekala lesung batu itu digunakan oleh Johari untuk menumbuk halia bara, buah pelaga dan isi cekur untuk mengubati dirinya sendiri.
Malang tidak berbau. Pada satu hari Johari telah ditimpa kemalangan. Pada dia memandu sebuah jeep dalam ladang di tempat kerjanya. Pada ketika melalui atas jalan di pinggir gaung, jeepnya telah terbabas lalu menjunam ke dalam gaung tersebut. Akibat dari kemalangan itu Johari menderita lumpuh dari pinggang hingga ke dua puntung kakinya.
Setelah dikeluarkan dari hospital, Johari terlantar sebagai bangkai bernyawa di rumahnya. Wang pampasan dari insuran dan sumber-sumber lain cukup untuk menyara dirinya dan isterinya.
Walaupun Jamilah ada sedikit sebanyak ilmu agama Islam, tetapi kerana tidak sabar, imannya nipis dan runtunan nafsunya kuat, maka dia telah menduakan suaminya. Seorang lelaki Bangladesh, bekerja mandur di ladang tempat suaminya bekerja telah menjadi suami sambilannya.
Beberapa bulan kemudian, perbuatan Jamilah telah diketahui oleh orang-orang kampung. Kemudian khabar buruk itu telah sampai kepada suaminya. Apabila suaminya bertanya dan mendesak, Jamilah menafikannya. Dia telah menuduh orang-orang kampungnya sengaja memburuk-burukkan namanya.
Pada satu malam, kerana terlalu didesak oleh suaminya, Jamilah dengan berani dan bodohnya telah bersumpah dengan nama Allah dan menjunjung Quran di hadapan suaminya.
Johari yang telah menyaksikan Jamilah bersumpah, dia tidak menaruh sebarang syak dan sangka kepada isterinya. Dia percaya isterinya seorang perempuan yang jujur dan amanah.
Seminggu kemudian Jamilah diserang sejenis penyakit ganjil. Kemaluannya membengkak seperti punggung beruk betina datang bulan. Sakitnya Allah sahaja yang mengetahui.
Kira-kira tiga minggu dia dirawat dihospital, tetapi para doktor yang merawatnya tidak dapat pengetahuan mengenai penyakit yang dihidapi oleh Jamilah. Dia kembali ke rumah dan menderita kesakitan di sisi suaminya.
Seorang dukun yang menjampi orang sakit dengan menggunakan ayat-ayat Quran dan doa, telah mengubat Jamilah. Dia telah menulis beberapa ayat Quran pada perut dan anak lesung batu itu. Kemudian lesung batu itu dibakar sebagai tungku. Tungku panas itu dibalut dengan daun seruntun sebekum dibalut dengan kain.
Jamilah disuruh bertaubat dan bertungku selama tujuh pagi. Selama tujuh pagi juga Jamilah disuruh minum air basuh kaki suaminya. Semuanya itu dilakukan oleh Jamilah.
Pada hari yang ke lapan, penyakit busung Jamilah mulai betah. Johari sukacita kerana isterinya telah bertaubat dan penyakitnya telah betah sedikit.
Tiga bulan kemudian Johari telah meninggal dunia. Jamilah yang ditinggalkan masih mengidap busung kemaluannya. Saban pagi dia bertangas dengan lesung batu panas.
Apakah mereka tidak melakukan perjalanan (melancong) di muka bumi, lalu memerhaitkan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu lebih hebat kekuatan daripada mereka dan (lebih banyak) kesan-kesan (bahan-bahan sejarah seperti bangunan, kota, senjata dan sebagainya) mereka di muka bumi, maka Allah mengazabkan mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan mereka tidak mempunyai seorang (pun) pelindung dari azab Allah.
(Al Mu’min: 21).
Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesiapa yang jatuh ke dalam hal-hal yang syubhat (pada kekafiran atau pekara-pekara haram), sesungguhnya terjatuhlah dia ke dalam melakukan perkara-pekara haram (atau kafir).
Perawi:Abi Abdillah An Nu’man bin Basyir.
Petua orang tua, bahawa orang yang sering membanggakan dirinya, banyak kekurangannya. Orang yang sering mengakui dirinya benar, banyak salahnya dan orang yang melaungkan dirinya berani, dia adalah si penakut.
BERLAKU SEJAK ZAMAN TUNKU
Oleh: Mokhtar Petah
Tindakan Badan Pencegah Rasuah menahan calon Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang kerana disyaki memberi sogokan wang RM500 kepada seorang ahli UMNO dilihat satu langkah baru dalam usaha membersihkan kecurangan dalam UMNO.
Tindakan pertama kali oleh BPR ke atas orang politik dalam parti politik yang menerajui kerajaan itu dapat dipandang sebagai tindakan jujur, berani dan cemerlang.
Orang ramai tentulah berbangga dengan tindakan tersebut, kerana dengan tindakan demikian dapat membersihkan parti dari amalan rasuah dan dapat menjamin kerajaan akan terus mendapat kepercayaan rakyat.
Walaubagaimanapun tindakan Badan Pencegah Rasuah itu sukar untuk membersihkan perbuatan politik wang atau rasuah politik UMNO, kerana amalan itu telah menjadi tradisi dalam parti politik itu sejak ia mula memimpin kerajaan sebaik-baik negara mencapai memerdekaan.
Keadaan UMNO dengan amalan politik wang sama dengan parti-parti politik lain nasional, kapitalis, sosialis dan komunis di seluruh dunia.
Kebanyakan individu dalam parti-parti politik itu dapat naik ke atas disebabkan wang dan bukannya kebolehan dan pengaruh mereka. Bagi kebanyakan politikus dunia memandang wang boleh membeli segala-galanya, hatta pengundi dan ketua negara.
Kerana politik wang dalam UMNO telah menjadi tradisi dan sejarah, maka ia perlu dikaji oleh setiap ahli UMNO jika mahukan parti politik Melayu itu terus kekal sebagai parti politik yang memegang teraju kerajaan dan dihormati oleh orang ramai.
Sebenarnya amalan rasuah politik atau politik wang dalam UMNO telah berlaku semenjak parti politik itu dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, terutama lepas negara mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957 hingga pada masa ini.
Pada zaman Tunku Abdul Rahman politik wang mulai wujud di kalangan para politikus dan ekonomis yang terdiri orang-orang cina yang bertujuan untuk menyertai perjuangan menuntut kemerdekaan bagi mendapatkan kuasa memerintah dan mendapatkan keuntungan dalam perniagaan.
Pada zaman itu, saya sebagai wartawan, rapat dengan Tunku Abdul Rahman dan orang-orang politik yang berkuasa. Saya melihat amalan politik wang menjadi perkara biasa dan tidak ada yang silu melakukan.
Tunku Abdul Rahman tidak menerima rasuah. Allahyarhan sering menolak pemberian dari sesiapa jua. Anaknya sendiri tidak dibenarkan duduk dalam syarikat orang cina yang meminta projek atau habuan dari kerajaan.
Para politikus dan ekonomis yang terdiri dari orang cina amat pandai mempelajari kegemaran orang-orang dalam UMNO di peringkat atasan hingga ke peringkat negeri dan bahagian-bahagian. Mereka mempelajari setiap politikus Melayu, iaitu mengenai kegemaran mereka, seperti:
* Gemarkan wang dan harta benda,
* Gemarkan perempuan cantik,
* Suka atau berminat main judi,
* Suka atau ketagih arak atau
* Minat melancong ke dalam dan keluar negara.
Sekiranya politikus itu tidak mahukan wang harta benda tetapi dia mahukan perempuan, maka perempuan cantiklah diserahkan kepada politikus dan ekonomis orang cina. Begitu juga kalau menggemarkan jenis najis lain.
Pada umumnya, jika seseorang itu sukakan arak, maka dia memandang perempuan, melancong dan wang sebagai keperluannya. Maka orang-orang cina tersebut melayan orang itu menurut kegemarannya.
Perkara ini berlaku di kalangan Menteri, Menteri Besar, ketua-ketua Menteri dan para anggota Exco kerajaan Negeri, terutama yang ada sangkut paut dengan tanah kerajaan negeri dan kawasan balak.
Tunku Abdul Rahman tidak mengamalkan politik wang, tetapi UMNO mendapat wang dari sumber rasuah dari para politikus dan ekonomis cina kerana mereka ada tujuan yang laksana tangan kanan memberi tangan kiri menerima atau tidak ada berada masakan tempuan bersarang rendah.
Tunku Abdul Rahman tidak menerima rasuah, tetapi allahyarham tidak takut yang wang yang diterima itu pada hakikatnya rasuah.
Cara, orang-orang Cina ahli politik dan ekonomi mengajak Tunku Abdul Rahman bermain mahjong. Permainan itu tentulah mempunyai jumlah angka yang besar untuk bertaruh dan menerima hadiah.
Mereka memberi hadiah wang kepada Tunku untuk bertaruh. Mereka juga telah sekata, iaitu dalam permainan itu mereka memberi Tunku Abdul Rahman menang. Dengan kemenangan itu Tunku Abdul Rahman menerima wang dengan jumlah yang banyak.
Dengan mahjong Tunku Abdul Rahman percaya kepada orang-orang Cina itu. Dari situlah berlakunya orang-orang Cina menyertai perjuangan kemerdekaan tanah air, iaitu melalui Persatuan Cina Malaya (Malayan Chinesses Association)- sebuah badan kebajikan dan kemudian menjadi parti politik.
Pada zaman itu, pada umumnya ahli UMNO peringkat cawangan dan bahagian di luar bandar besar hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, maka untuk menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian dan Perhimpunan agung mereka tidak mampu, maka orang-orang yang hendak bertanding itulah menanggung tambang, makan minum dan tempat penginapan (murah).
Mereka yang menerima pemberian itu tentulah mengundi orang memberi wang kepada mereka untuk menghadiri mesyuarat atau perhimpunan itu. Wang itu tentulah dalam istilah politik wang juga.
Amalan itu terus berlaku dalam UMNO hingga pada masa ini. Setiap wakil, pemerhati dan tukang ikut ditanggung oleh mereka yang akan bertanding. Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri mengadakan jamuan atas nama UMNO negeri dan orang-orang dari UMNO negeri-negeri lain di jemput hadir.
Amalan itu dinamakan politik wang juga, bukan?
Elok saya ceritakan pengalaman saya bekerja sebagai wartawan di Perak. Saya bergaul dengan semua orang-orang UMNO dari cawangan, bahagian hingga ke peringkat Negeri dan Menteri Besar yang menjadi Ketua Badan Perhubungan UMNO Perak.
Semenjak Menteri Besar, Dato Sri Haji Ahmad Said hingga kepada Dato Tajol Rosli Ghazali. Memang menjadi kebiasaan, setiap kali menghadapi Mesyuarat Agung Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, Jabatan Perhutanan Negeri dan JawatanKuasa Perhutanan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar meluluskan kawasan-kawasan kayu balak kepada syarikat-syarikat pihak bahagian atau milik orang-orang UMNO.
Wang dari hasil kayu balak itu dibahagi-bahagikan ala kadar kepada individu-individu yang akan menghadiri mesyuaragt agung bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.
Amalan ini dinamakan politk wang juga, bukan?
Pada masa ini hampir semua ahli UMNO berpolitik perlukan wang. Mereka tidak akan datang menjadi wakil atau pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur kakau tidak diberi wang untuk tambang (minyak dan tol), makan dan minum serta menginap di hotel mewah yang sewanya lebih RM200 sehari. Siapakah tanggung itu semua, kalau tidak mereka yang akan bertanding mendapatkan jawatan dalam Perhimpunan itu.
Katalah, para wakil, pemerhati dan tukang ikut ditanggung oleh UMNO Negeri, tetapi dari mana UMNO Negeri mendapat wang yang begitu banyak. Tentulah dari taukeh kayu balak, syarikat hartanah dan sebagainya.
Satu perisitwa tercatat dalam sejarah hidup saya, iaitu bekas guru kerajaan tinggal di Kampung Gelok, Lenggong, Ustaz Yusof Haji Mokhtar dan dia orang kuat Pemuda UMNO Perak. Dia telah merancang akan bertanding dalam kawasan Dewan Undangan Negeri, di Grik. Memang dia layak menjadi calon.
Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi telah menjemput saya hadir dalam pertemuan beliau dengan Ustaz Yusof Haji Mokhar. Dalam pertemuan itu dia diberitahu supaya membatalkan hasratnya untuk bertanding, kerana Tajol Rosli akan bertanding dalam kawasan tersebut.
Ustaz Yusof telah bersetuju tidak bertanding tetapi dengan syarat dia diberi ‘habuan’. Ghazali Jawi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhutanan Negeri bersetuju mengeluarkan lebih 100 ekar kawasan kayu balak kepada Ustaz Yusof.
Amalan ini dinamakan politik wang juga, bukan?
Tindakan BPR menahan mereka yang disyaki melakukan rasuah politik dalam UMNO adalah langkah yang telus, tetapi mungkin tidak dapat membersihkannya, kerana amalan itu telah menjadi sebagai tradisi atau amalan biasa.
Jalan untuk menghapuskan perbuatan politik wang dalam UMNO amat sukar, kecuali setiap individu yang akan bertanding itu memnbina identiti mereka sebagai orang Islam sejati, kuat iman dan takutkan laknat dari Allah.
“Rasuah Musnahkan Negara” Ishak Tadin
Putrajaya: Bekas pegawai tinggi Kerajaan Malaysia, Tan Sri Ishak Tadin khuatir kalau amalan rasuah di kalangan pegawai kerajaan dan orang politik yang berkuasa tidak dibanteraskan negara akan hilang identiti dan musnah.
“Saya khuatir dengan keadaan masa ini, amalan rasuah di kalangan pegawai kerajaan, kerana perbuatan itu akan musnahkan negara kita,”katanya.
“Memang amalan rasuah telah lama berlaku di kalangan pegawai kerajaan dan orang politik yang berkuasa,” katanya lagi.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti cari jalan tegas hapuskan perbuatan itu, walaupun susah, tetapi kita kena buat kalau maukan negara selamat,”tambahnya.
Menurutnya, jika tidak dibanteraskan, lambat laun negara akan hilang identiti dan akan menghadapi kemusnahan.
Ishak Tadin, 76, telah bercakap dalam satu pertemuan dengan beliau di Putrajaya hari ini.
Ishak Tadin
Beliau adalah bekas Setiausaha Kerajaan Perak, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu, Pengerusi MARA dan sebelum bersara memegang jawatan Ketua Audit Negara.
Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan lepasan Universiti Malaya, Singapura.
Ishak Tadin tersenarai dalam kumpulan pegawai tinggi kerajaan yang dedikasi, amanah dan mesra rakyat.
Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah menyifatkan Ishak Tadin seorang pegawai yang sukar didapati seorang dalam seratus orang, kerana beliau dedikasi, amanah dan mesra rakyat.
Pada masa krisis politik antara UMNO dan Menteri Besar, Tan Sri Ghazali Jawi dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah pada tahun 1970-an, Ishak Tadin telah dilantik oleh Tuan Abdul Razak menjadi orang tengah bagi meredakan krisis tersebut.
Ishak Tadin memberitahu, bahawa pengalamannya sepanjang berkhidmat dalam kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan dari peringkat atas hingga bawahan amat sukar untuk mengelak dari melakukan amalan rasuah kerana mereka berdepan dengan para peniaga dan orang politik.
Ada kalanya pegawai kerajaan tertekan atau berhadapan dengan tindakan oleh orang politik yang berkuasa yang mengamalkan rasuah, seperti mereka akan ditukarkan ke tempat lain dan sebagainya.
Beliau tidak menafikan, amalan rasuah termasuk politik wang berlaku di kalangan orang-orang politik yang berkuasa di peringkat negeri, kerana di peringkat negeri banyak sumber rasuah.
Ishak Tadin berpendapat, untuk mengatasi perbuatan rasuah di kalangan pegawai kerajaan mestilah meningkatkan nilai identiti dengan mengamalkan ajaran Islam.
Menjawab pertanyaan, amalan rasuah wujud juga di kalangan pegawai polis dan pegawai Badan Pencegah Rasuah, oleh sebab itu rasuah sukar dibasmikan.
Beliau tidak menjawab, hanya senyum, bila ditanya tentang cerita ada empat pegawai tinggi kerajaan yang bersara menjadi kaya raya kerana mengamalkan perbuatan rasuah.
Beliau yakin, sikap tegas dan amanah Abdullah Ahmad Badawi akan dapat membasmikan amalan rasuah, lebih-lebih lagi tidak menyekat kebebasan BPR menjalankan tindakan.
SEJARAH KEPALA BATAS
Kepala Batas: Pergerakan Wanita UMNO cawangan Bertam, di sini akan menerbitkan buku ‘Kepala Batas Dalam Sejarah Kemerdekaan Bangsa Melayu’ untuk memungut derma bagi tabung anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya.
Jurucakap cawangan Pergerakan Wanita UMNO tersebut memberitahu, bahawa buku yang ditulis oleh
Kulit buku sejarah Kepala Batas
Buku itu mengandungi catatan sejarah semenjak di bawah Negeri Kedah, zaman orang Melayu menuntut kemerdekaan yang dipelopori oleh Sheikh Abdullah Fahim dan perjuangan di ambang kemerdekaan.
Setelah Tunku Abdul Rahman dipilihan memegang jawatan Yang Di Pertua UMNO pada tahun 1951, Allahyarhamn telah disingkir dari Istana Sutan Kedah dan terpaksa tinggal di sebuah rumah usang di Kepala Batas.
Dalam buku itu turut dirakamkan tentang seniman P.Ramlee telah terlibat dalam perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, iaitu dengan memungut derma dengan lagunya.
Allah membuat perumpamaan, sebuah sebuah negeri yang aman tenteram, rezekinya datang melimpah ruah dari setiap tempat, tetapi dia (pemimpin dan rakyat) tidak bersyukur akan nikmat Allah itu; sebab itu Allah merasakan kepadanya pakaian (perasaan) kelaparan, ketakutan disebabkan perbuatan mereka itu.
(AnNahl:112)
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Apabila seseorang dari kamu mengantuk pada ketika hendak solat, maka tidurlah dahulu sampai hilang ngantuknya, kerana seseorang yang sembahyang pada ketika mengantuk, dia tidak tahu, mungkin dia memohon ampun, (atau) mungkin dia mencaci (atau maki hamun) akan dirinya.
Jika hendakkan pisang goreng menjadi keras atau rangup, gunakan daun macang. Pisang yang bersalut tepung itu diletakkan atas daun macang dan goreng dalam kuali.
Insya Allah ikan itu keras dan rangup.
ROTI JOHN
Kebanyakan warga Putrajaya, terutama golongan bujang dan pasangan yang tidak beranak.
Roti John atau roti panjang yang diadun dengan perencah dan sayuran telah menjadi perniagaan seorang pemuda Melayu, Mohd. Nizam bin Shamsuddin, 31, di medan selera, Taman Pertanian Putrajaya.
Mohd.Nizam yang tinggal di Taman Keramat, Kuala Lumpur sedang menggaji enam orang pemuda sebagai pekerjanya di gerai di taman tersebut.
Pekerja-pekerja itu bekerja ikut shift, tiga orang bekerja pada sebelah siang dan tiga lagi bekerja pada sebelah malam.
Setiap sebatang roti Johan dijual dengan harga RM3.50 dan tiga batang RM10.00.
Seorang gadis penuntut institusi pengajian tinggi di Bangi, Shamsiah binti Wahid, 21, pada ketika ditemui waktu dia membeli John di gerai tersebut berkata, bahawa dia dan rakan-rakannya suka makan roti tersebut.
“Roti sebatang besar tu cukup untuk kami tiga orang makan, tak payah makan nasi ...,”katanya.
“Kami selalu beli roti ni, kalau kami tak beli roti ni kami makan roti jenis lain,”katanya lagi.
Tidak boleh masuk syurga orang yang dalam hatinya ada perasaan sombong atau bongkak, walaupun seberat seekor semut.
Perawi: Ibnu Masu’ud.
Petua orang tua-tua, jika isteri berkentut dalam kelambu atau bilik, jangan marah atau menegurnya, tetapi lawan kentutnya dengan kentut kamu, nescaya rumah tangga aman.
MB DAN BPR DIMINTA BERTINDAK
Oleh: Penulis Hal Ehwal Rimba
Grik: Beribu batang balak dari berbagai kayu jenis terbaik dalam kawasan beratus ekar di sekitar Taman Negara Hutan Belum, di seberang Tasik Temenggor, di sini telah telah dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha kayu balak.
Beberapa orang penduduk sekitar Banding yang terdiri dari memberitahu, bahawa kayu-kayu balak itu telah dikeluarkan oleh orang-orana Cina yang menjalankan perusahaan membalak.
Menurut mereka, pokok-pokok kayu balak jenis terbaik yang terdapat dalam Hutan Belum seperti cengal, merbau, meranti emas dan beberapa jenis lagi telah ditebang dan dikeluarkan sejak tahun 2002 lagi.
“Kami dah beberapa kali mengadu ke pihak Pejabat Hutan Grik, tapi deme tu tak ambil tahu,”kata seorang penduduk.
“Kami dapat tahu kerajaan melarang kayu balak ditebang dan diambil dari kawasan hutan belum ni, tapi bagaimana orang-orang Cina itu boleh buat begitu?” tanya penduduk itu.
“Kayu-kayu balak itu dibawa keluar ke lebuh raya Timur Barat, Butterworth – Jeli, Kelantan,”tambah mereka.
Mereka berharap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir.Mohamad Nizar Jamaluddin mengambil tindakan segera menghalang perbuatan mencuri kayu balak di sana.
Mereka percaya perbuatan itu telah diketahui oleh pihak Jabatan Hutan Grik dan orang-orang politik, tetapi dibiarkan dan mungkin ada kepentingan tertentu.
Mereka juga berharap Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan penyiasatan ke atas perbuatan yang merugikan kerajaan negeri dan merosakkan Taman Negara Hutan Belum itu.
ANWAR IBRAHIM AKAN MENANG
Oleh:
Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Rakyat, Permatang Pauh, Pulau Pinang yang akan diadakan nanti, ada kemungkinan besar beliau akan mendapat kemenangan yang cemerlang.
Kawasan Dewan Rakyat itu telah kosong setelah oleh ahlinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail telah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada beliau bertanding.
Jika Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berpeluang bertanding dalam kawasan itu, tidak ada seorang tokoh pun dari UMNO dan Barisan Nasional sama ada anak tempatan atau dari luar yang boleh menandingi beliau.
Anwar Ibrahim dikenal oleh penduduk-penduduk kawasan tersebut tidak sahaja sebagai seorang ahli politik, bahkan dikenali sebagai seorang guru, bapa, kawan dan seorang manusia yang perlu dibantu setelah beliau mengalami berbagai dugaan.
Para pemerhati politik berpendapat, jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mengistiharkan beliau akan meletakkan jawatan Perdana Menteri pada tahun 2010 ada kemungkinan calon Barisan Nasional yang akan bertanding dalam kawasan tersebut ada harapan menang.
Menurut pemerhati politik itu, bahawa pada masa ini kebanyakan pengundi di Permatang Pauh telah hilang keyakinan kepada UMNO setelah mereka mengetahui Abdullah Ahmad Badawi akan meletakkan jawatannya.
“Pada umumnya pengundi-pengundi di sana yakin kepada PAS dan PKR kerana dua parti politik itu telah memberi banyak pembelaan kepada mereka,”kata pemerhati itu.
Jika Anwar Ibrahim terhalang dari bertanding di sebabkan kes liwat yang beliau sedang hadapi, maka ada kemungkinan calon Barisan Nasional akan mendapat kemenangan nipis.
NAMA | :Mohd. Mokhtar bin Mohd. Petah |
NAMA PENA | :Mokhtar Petah, Akhdiat, M. Fathy, Noor Iskandar. Saiful M. |
LAHIR | :03 Julai 1934 di Kampung Ngor, Sauk, Kuala Kangsar, Perak. |
BIODATA
MOKHTAR PETAH dalam dunia kesusasteraan dan kewartawanan Melayu telah mula dikenal sejak tahun 1950-an lagi. Beliau menceburkan diri dalam dunia penulisan sewaktu menuntut di Sekolah Agama Teluk Intan, Perak. Tulisan beliau pada peringkat awal banyak tersiar dalam majalah bertulisan Jawi seperti Hiboran, Juita, Mutiara, dan Mustika yang diterbitkan di Singapura dan kemudian dalam majalah Belia, Gelanggang Filem, dan Majalah Guru, yang bertulisan Rumi. Selepas itu tulisan beliau banyak mendapat tempat dalam akhbar penting di Malaysia seperti Utusan Melayu, Utusan Zaman, Berita Harian, Berita Minggu, dan Warta Negara.
Mokhtar Petah ialah anak sulung daripada dua orang adik-beradik. Ayahnya berasal dari Indonesia, sementara ibunya dari Patani, Siam. Ayahnya menetap di Perak dan hidup sebagai petani. Semasa kecil beliau belajar di beberapa buah sekolah agama. Antaranya Sekolah Agama Teluk Intan, Perak dan Sekolah Daeratul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Prai. Beliau pernah mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Indonesia tetapi beliau tidak dapat memenuhi cita-citanya itu kerana kemiskinan keluarganya. Walau bagaimanapun, beliau berpeluang mengikuti Kursus Sains Politik untuk penulis dan wartawan politik Asia yang dianjurkan oleh Presiden Soekarno, Indonesia.
Selepas tamat persekolahan, Mokhtar Petah terus menjadikan bidang penulisan sebagai kegiatannya yang utama. Beliau pernah bekerja sebagai pemberita bagi akhbar Warta Negara dan Warta Mingguan yang beribu pejabat di Pulau Pinang. Apabila Utusan Melayu diterbitkan di Singapura beliau menjadi pemberita akhbar tersebut bagi kawasan negeri Perak. Pada akhir tahun 1950-an beliau meninggalkan bidang kewartawanan dan menjadi guru di sekolah agama rakyat bersama Ustaz Abu Bakar Hamzah, seorang ahli politik yang terkenal pada masa itu, di Kampung Berala, Kuala Kangsar, Perak. Kerana pengetahuan agamanya, beliau pernah dilantik menjadi Kadi Kerajaan negeri Perak, tetapi kerana minatnya yang mendalam dalam dunia kewartawanan, beliau berhenti dari jawatan tersebut setelah sehari menjawat jawatan itu. Beliau menumpukan minatnya semula dalam bidang kewartawanan dengan menjadi wartawan kepada akhbar Harian Patriot, Medan, Indonesia.
Apabila Berita Harian diterbitkan di Singapura di bawah pimpinan A. Samad Ismail, Mokhtar Petah menjadi wartawannya di Perak, di samping terus menulis untuk akhbar dan beberapa buah majalah lain di Malaysia dengan menggunakan beberapa nama samaran seperti M. Fathy, Noor Iskandar dan lain-lain. Sebagai seorang wartawan yang ingin melihat kemajuan dalam bidang kewartawanan di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan para penulis muda, maka dalam tahun 50an dan 60an, Mokhtar Petah telah menganjurkan beberapa Kursus Kewartawanan di Kuala Kangsar dan di Ipoh, Perak. Ada di antara para pesertanya telah berjaya menjadi wartawan dan editor yang terkenal hasil daripada kursus yang dianjurkannya itu.
Selain daripada itu, semasa menjadi wartawan di Perak, Mokhtar Petah mempunyai hubungan yang rapat dengan Sultan Idris Shah dan bergaul rapat dengan anggota orkestra yang dipimpin oleh baginda. Sebab itu, apabila Allahyarham P. Ramlee datang ke Perak dan berbincang mengenai kegiatan muzik dengan anggota orkestra tersebut, Mokhtar Petah berpeluang berkenalan dengan P. Ramlee. Perkenalan tersebut menjadi bertambah erat dan dengan itu beliau sering mendapat peluang berbincang dengan P. Ramlee terutamanya mengenai skrip filem dan tentang seni kata lagu.
Mokhtar Petah mula berminat dalam dunia penulisan setelah banyak membaca karya-karya Arab dan Indonesia. Antaranya yang ditulis oleh Syed Qutub, Mustafa Al-Ghalayeen, Hassan Al-Bana, Hamka, Sutan Takdir Ali Shahbana, Chairil Anwar, Tan Melaka dan beberapa orang ulama termasuk Haji Agus Salim. Mokhtar Petah pernah mendampingi Hamka sewaktu beliau sering datang melawat Malaysia dalam tahun 1950an. Mokhtar Petah juga pernah bersua muka dan menemuramah Presiden Soekarno semasa Presiden tersebut memegang kuasa di Indonesia.
Di samping menjadi seorang wartawan, Mokhtar Petah menggunakan masa lapangnya menulis novel, cerpen dan rencana umum. Namun sebagai seorang penulis, Mokhtar Petah mempunyai pendirian tertentu tentang peraduan menulis novel dan cerpen. Beliau tidak pernah menyertai sebarang peraduan. Beliau berpendapat: Penulis yang muncul daripada kemasyhuran kerana menang peraduan tidak semestinya akan kukuh sebagai seorang penulis yang idealis. Beliau mendapat bimbingan dan dorongan menulis daripada tokoh seperti A. Samad Ismail, Dahari Ali, Mazlan Nordin, Abdullah Zawawi, Aziz Ishak, Dr. Burhanuddin, dan beberapa orang sahabatnya dari Indonesia.
Pada tahun 1973 telah menerbit dan bertanggungjawab sebagai editor akhbar rasmi Kerajaan Negeri Perak, iaitu Berita Perak. Pada masa itu Negeri Perak diketuai oleh Menteri Besar Dato’ Sri Haji Kamaruddin Mat Isa.
Sebagai seorang penulis yang juga menaruh minat terhadap isu-isu kemasyarakatan dan politik, Mokhtar Petah berpendapat: bahawa politik yang berlandaskan AI-Quran dan al Hadis sahaja yang boleh memberi faedah dan manfaat kepada manusia, terutama orang-orang Melayu yang beragama Islam.
Dalam tahun 1978 Mokhtar Petah berhenti daripada menjadi wartawan Berita Harian lalu menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Kemudian pada awal tahun 1984 beliau berhijrah ke Kuala Lumpur. Beliau pernah menulis untuk majalah Era, Berita Kesatuan Pekerja-pekerja Bandaraya dan menjadi wartawan dan editor perunding bagi beberapa penerbitan di ibu kota. Kemudian menjadi Editor Perunding untuk Mingguan Famili dan majalah bulanan HAWA sebelum menerbitkan Majalah IMAN pada 1989. Di samping menjadi Ketua Editor surat khabar mingguan ERA BARU. Kini menjadi Ketua Editor Mata Publication.
KARYA:
Novel | Nama Pena | Tempat | Penerbit | Tahun | m/s |
Dinoda | M. Fathy | Singapura | Geliga Limited | 1957 | 40 |
Janda Lawan Dara | M. Fathy | Singapura | Geliga Limited | 1957 | 40 |
Terpaut | Ipoh | Pustaka Andalas | 91 | ||
Kelopak yang Kuncup | Kuala Lumpur | Pustaka Melayu Baru | 1965 | 90 | |
Tandus | Pulau Pinang | Saudara Sinaran Berhad | 1967 | 149 | |
Mereka Hanya Mangsa | Kuala Lumpur | Penerbit Titiwangsa | 1977 | 170 | |
Nekad Anak Watan | Kuala Lumpur | Penerbit Titiwangsa | 1977 | 307 | |
Bunga Mekar yang Ternoda | Subang Jaya | Tra-Tra Publishing & Trading Co. | 1980 | 128 | |
Cinta Tinggal di Rantau | Subang Jaya | Tra-Tra Publishing & Trading Co. | 1980 | 181 | |
Detik-detik Perpisahan | Subang Jaya | Penerbitan Tra-Tra Sdn. Bhd. | 1981 | 253 | |
Hadiah Dari Batin | Subang Jaya | Penerbitan Tra-Tra | 1981 | ||
Cinta di Langit Zaman | Subang Jaya | Tra-Tra Publishing & Trading Co. | 1983 | 228 | |
Akibat Dosa | Kuala Lumpur | Pustaka Minda | 1992 | ||
Kasih Ibuku | Kuala Lumpur | Mata Publication | 2005 | ||
Cerpen | Nama Pena | Tempat | Penerbit | Tahun | m/s |
Serpihan Hidup(antologi bersama Nora dan Rokiah Abu Bakar) | Kuala Lumpur | Penerbitan Pustaka Antara | 1964 | 140 | |
Agama | Nama Pena | Tempat | Penerbit | Tahun | m/s |
Salman Rushdie Pengarang ‘The Satanic Verses’ (Surah-surah Syaitan) Dihukum Bunuh oleh Mahkamah Islam | Kuala Lumpur | Wadah Pelita | 1989 | ||
Falsafah Ibadat Umrah dan Haji | Kuala Lumpur | Mata Publication | 1990 | ||
Akibat Dosa | 1993 | ||||
Rahsia dari Al-Quran: Manusia, Haiwan dan Serangga | Kuala Lumpur | 1994 | |||
Rahsia dari Al-Quran: Sains dan Seksologi | Ampang | Selangor Citakhidmat | 1995 | ||
Soal Jawab Masalah Wanita | Ampang | Selangor Citakhidmat | 1997 | ||
Jerebu | Kuala Lumpur | Pustaka Antara | 1997 | ||
Umum | Genre | Tempat | Penerbit | Tahun | m/s |
Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan | Biografi | Kota Bharu | Pustaka Aman Press | 1965 | |
Bangsa Melayu Menggugat Dunia | Kota Bharu | Pustaka Aman Press | 1966 | ||
Siapa Bakal Menteri Besar Perak? | Ipoh | Yayasan Massa | 1977 | ||
Dr Mahathir dan Masa Depan Negara | Subang Jaya | Penerbitan Tra-Tra | 1982 | ||
Zulkifli Muhammad: Pelopor Angkatan Islam di Malaysia | Biografi | Subang Jaya | Tra-Tra Publishing & Trading Co. | 1983 | 108 |
Perak dibawah Pimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ramli Ngah Talib | Kuala Lumpur | Karya Bestari | 1987 | ||
MB Selangor Tergugat kerana Kahwin dengan Puteri Istana | Kuala Lumpur | Mata Publication | 1989 | ||
Krisis antara Raja-Raja Melayu dengan UMNO | Kuala Lumpur | Mata Publication | 1991 | ||
Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu | Kuala Lumpur | Art Media | 1993 | ||
Reformasi Fikiran dan Pembangunan | Kuala Lumpur | Mata Publication | 1994 | ||
Semarak: Menteri Besar Negeri Sembilan | Kuala Lumpur | Mata Publication | 1994 | ||
Kejayaan Bersama | Kuala Lumpur | Mata Publication | 1995 | ||
Datuk Abdullah Badawi: Pejuang Kemanusiaan Sejagat | Biografi | Kuala Lumpur | Pustaka Antara | 1997 | |
Sheikh Abdullah Fahim: Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos ’57 | Biografi | Kuala Lumpur | Pustaka Antara | 1997 | |
Abdul Kadir: Peguam Rakyat | Biografi | Kuala Lumpur | Tabung Kebajikan Ronald McDonald untuk Kanak-Kanak Malaysia | 1998 | |
Meniti Derita ke Puncak | Biografi | Kuala Lumpur | Darulfikir | 1998 | |
Perjuangan yang belum Selesai: Dr. Mahathir Menangis Demi Bangsanya | Kuala Lumpur | Simfoni Gemilang | 1999 | ||
Terima Kasih Dr. Mahathir | Kuala Lumpur | 1999 | |||
Amanah Cekap dan Adil: Falsafah Kepimpinan Dr. Abdullah Badawi | Kuala Lumpur | Yayasan Amal Maaruf Malaysia | 2004 | ||
Abdullah Badawi Penjana Modal Insan | Raspintar Sdn.Bhd | 2006 | |||
Akan Terbit | Genre | Tempat | Penerbit | Tahun | m/s |
Patah Sayap Bertongkatkan Paruh | Memoir/ Biografi Penulis | Kuala Lumpur | |||
Cinta dan Jihad | Novel | ||||
Bunga Padma Di Lembah Nil | Novel | ||||
Kelip-kelip di Kota London | Novel | ||||
Madu dan Air Mata Kering Di pipi | Novel | ||||
Basmi Rasuah | |||||
Perjuangan Suci Lima Perdana Menteri | Politik | ||||
Kedaulatan Raja-Raja Melayu |