Thursday, June 26, 2008


KISAH IKAN SEBELAH

MAMBANG HIJAU NABI HIDIR?

Oleh: Mokhtar Petah


Sesiapa yang menuntut ilmu jampi serapah, tentu pernah mendengar bomoh dan pawang menyebut ‘mambang hijau’ dan “Pusat Tasik Paun Janggi’ dalam jampi mereka, iaitu“ …hai, mambang hijau yang jaga lautan Pusat Tasik Pauh Janggi …” Mambang hijau, ialah Nabi Hidir dan Pusat Tasik Pauh Janggi, ialah Segi Tiga di Bermuda.


Ada sejenis ikan, iaitu ikan sebelah. Boleh buat kuah laksa. Orang Arab menamakan ikan itu, ‘samak Musa’ (ikan Musa), iaitu ikan Nabi Musa. Ikan itu ada kaitan dengan kisah dalam Quran berikut ini.


Kisah ini boleh menjadi pengajaran dan mengubah hati setiap orang yang rasa dirinya lebih pandai dari orang lain. Berbangga dengan ijazah bergulung-gulung atau mempunyai kuasa memandang orang lain jahil dan lemah.



Sesungguhnya manusia itu bertindak melanggar batas. Disebabkan dia melihat dirinya serba cukup.


(Al Alaq: 6,7).


Berpandu pada ayat - ayat Quran berikut ini dan pendapat para ulama, bahawa Nabi Hidir dikurniakan oleh Tuhan ilmu ‘ladunni’ (pengetahuan luar biasa dan ilham dari Tuhan).


Sebuah Hadis Nabi Muhammad s.a.w. ,diriwayatkan oleh Imam Bukhari, iaitu pada ketika Nabi Musa a.s. berucap kepada orang-orangnya, seorang dari mereka bertanya: “Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih pengetahuannya daripada Tuan?”. Nabi Musa menjawab: “Tidak ada.”. Allah telah menegur Nabi Musa kerana dia tidak merujukkan soalan itu kepada Allah. Dan Allah telah menerangkan: Ada seorang hambaku yang lebih ilmunya daripada kamu. Orang itu dapat ditemui di tepi pantai, berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut (mungkin Nil Biru dengan Nil Putih atau jernih). Kemudian Allah telah mengarahkan Nabi Musa membawa bekalan ikan dalam sebuah bakul. Ditempat ikan itu hidup semula dan masuk ke laut, maka, di situlah tempat pertemuan Nabi Musa dengan Nabi Hidir.


Pada ketika Musa berkata kepada pemuda (pekerja atau temannya, Jusya bin Nun. Setelah Nabi Musa wafat, Jusya telah menjadi khalifah dan memerintah berdasarkan agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Musa): Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua batang sungai atau aku akan berjalan bertahun-tahun.


Maka apabila mereka tiba di tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan ikan (yang mereka bawa), lalu ikan itu mengelunsur mengikut jalannya ke laut, iaitu lubang di bawah tanah.


Pertemuan dua laut dalam firman tuhan di atas, ada dua pendapat, 1 – Mungkin laut itu sungai Nil Biru dan sungai Nil Putih jernih, atau 2 – Cabang dari Laut Merah, iaitu Teluk Aqabah dan Teluk Suwais (Suez).



Nabi Muhammad s.a.w.telah menjelaskan dalam Hadisnya: Nabi Musa dan pemuda itu telah berjalan dan sampai kepada batu besar tepi laut. Mereka telah memakan ikan itu pada bahagian sebelah badannya. (kerana kepenatan) mereka telah tidur. Pada waktu itu baki ikan dalam bakul mereka telah mengelunsur masuk ke laut. Setelah mereka bangun, teman Nabi Musa terlupa akan ikan itu (Nabi Musa juga lupa bertanya kepada temannya itu tentang ikan tersebut). Mereka telah meneruskan perjalanan sepanjang hari dan malam.


(Perawi: Imam Bukhari).


Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.:


Setelah mereka melepasi tempat (batu besar) itu, Nabi Musa telah berkata kepada pemuda (teman)nya: Bawalah makanan (ikan) tengah hari kita, sebenarnya kita telah penat dalam perjalanan kita ini.


Teman Nabi Musa telah berkata: Tahukah, apa telah terjadi pada kita, pada ketika kita berehat atas batu besar itu? Sebenarnya aku telah lupakan ikan itu; dan tidak ada yang menyebabkan aku lupa dari meyebut halnya (ikan) kepada kamu melainkan (kerana) syaitan, dan ikan itu telah mengelunsur mengikut jalannya ke laut dengan cara yang menakjubkan.


Nabi Musa telah berkata: Itulah yang kita kehendaki (perihal ikan hidup semula dan mengelunsur ke dalam laut dan Nabi Musa telah mengetahui di situlah tempat akan berlakukan pertemuannya dengan Nabi Hidir). Mereka pun berpatah balik semula ke situ (kepada batu besar itu), dengan menurut jejak mereka.


Lalu mereka mendapati seorang dari hamba-hamba Kami (Nabi Hidir) yang Kami telah kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya ladunni dari Kami.


Nabi Musa telah berkata kepadanya (Nabi Hidir): “Bolehkah aku mengikuti kamu dengan syarat kamu mengajar aku dari ilmu yang telah diajarkan oleh Allah kepada kamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagi aku?


Hadis Nabi Muhamamad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:


Setelah Nabi Musa memberi salam dan mengenalkan dirinya kepada Nabi Hidir, dia memberitahu akan hajatnya untuk menuntut pengetahuan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Hidir. Nabi Hidir telah menjawab salam Nabi Muda dan berkata: “ Tidak cukupkah dengan kitab Taurat yang ada di tangan kamu dan wahyu yang sering diturunkan Allah kepada kamu, hai Musa? Sebenarnya ilmu yang ada padaku tidak boleh kamu mengetahuinya dan ilmu yang ada pada kamu tidak boleh aku mengetahuinya.


Sesungguhnya kamu (Nabi Musa), tidak akan dapat bersabar bersama aku. Dan Bagaimana kamu akan sabar terhadap perkara yang kamu tidak mengetahuinya secara menyeluruh


Nabi Hidir telah memberitahu kepada Nabi Musa, bahawa Nabi Musa tidak akan sabar, bahkan akan membantah apabila melihat perkara-perkara ganjil yang akan dilakukan olehnya. Pada hakikatnya Nabi Musa tidak mengetahui.



Nabi Musa telah berkata: Kamu akan mendapati aku, insya Allah, orang yang sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintah kamu. Ia (Nabi Hidir) telah berkata: Sekiranya kamu mengikuti aku, maka jangan kamu bertanya kepada aku akan sesuatu pun sehingga aku memberitahu halnya kepada kamu.


Mereka berdua berjalan (di pesisir pantai) hingga bila mereka menumpang sebuah perahu, dia (Nabi Hidir) membocorkannya. Nabi Musa telah bertanya, patutkah kamu membocorkannya sedangkan akibat perbuatan (kamu) itu menenggelamkan penumpang-penumpang? Sesungguh kamu telah melakukan satu perkara (salah) yang besar.


Dia (Nabi Hidir) menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa kamu tidak sekali-kali akan bersabar bersama aku?


Nabi Musa berkata: Janganlah kamu marahkan aku disebabkan aku terlupa (akan syarat kamu) dan jangan kamu membebankan aku dengan sebarang kesukaran dan urusan (menuntut ilmu).


Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda, lalu dia (Nabi Hidir) membunuhnya. Nabi Musa telah berkata: Patutkah kamu membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa (kerana) membunuh orang? Sesungguhnya kamu telah melakukan perbuatan yang mungkar.


Dia (Nabi Hidr) menjawab: Bukankah aku telah katakan kepada kamu, bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersama aku?.


Nabi Musa telah berkata: Jika aku bertanya kepada kamu tentang sebarang perkara kemudian ini, maka janganlah kamu jadikan aku hamba kamu lagi. Sesungguhnya kamu telah cukup mendapat alasan melakukan demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahan aku.


Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk-penduduk sebuah pekan, mereka telah meminta makanan dari orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka mendapati di situ ada sebuah tembok yang akan roboh, lalu dia membinanya. Nabi Musa telah berkata: Jika kamu mahu, tentu kamu berhak mengambil upah mengenainya.


Nabi Hidir menjawab: Inilah masanya perpisahan antara aku dengan kamu, aku akan terangkan kepada kamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang kamu tidak dapat bersabar mengenainya.


Adapun perahu itu dimiliki oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada raja yang akan merampas tiap-tiap perahu yang tidak cacat.


Ada pun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang, dia akan memaksa mereka melakukan perbuatan yang kufur.


Oleh itu, kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya (pemuda itu) tentang kebersihan jiwa dan lebih mesra kasih sayangnya.


Ada pun tembok itu pula, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di pekan itu dan di bawahnya ada ‘harta terpendam’ kepunyaan mereka dan bapa mereka pula orang yang soleh. Maka Tuhan kamu mengendaki; apabila mereka telah cukup umur dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhan kamu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya mengikut fikiran aku sendiri (iaitu dengan perintah Allah). Demikianlah penjelasan tentang tujuan perkara-perkara yang kamu tidak dapat bersabar mengenainya.


(Al Kahf: 60 - 82)


Demikian Allah mengajar manusia tentang pengetahuan yang ada pada manusia. Di antara seorang dengan seorang ada kelebihan ilmu pengetahuan. Oleh itu manusia tidak boleh membanggakan dirinya lebih pandai kerana manusia lain pun lebih pandai juga.(mp)

QURAN


Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak (sebarang minuman dan makanan yang memabuk atau mengkhayalkan), judi, korban haiwan untuk berhala (termasuk untuk syaitan dan sebagainya), mengundi nasib dengan anak panah (sebarang bersifat loteri), adalah perbuatan keji (jahat) dari perbuatan syaitan, maka jauhilah ia, agar kamu beruntung.

Al Maedah:90-92.

PETUA

ATASI DARAH GEMURUH

Jika anda berperasaan rendah diri, darah gemuruh atau malu pada ketika akan berhadapan dengan seseorang atau untuk menghadiri temu duga atau pun untuk memberi ucapan di hadapan khalayak, boleh mencuba dengan cara ini:

Pada waktu pagi, sebaik-baik sahaja anda bangun dari tidur, lakukan:

a Doa kepada Allah minta diberi semangat, rasa yakin kepada diri sendiri dan kekuatan diri.

b Baca bismillah, diikuti dengan membaca:

Ya Qahhar, lailaha illallahul wahidul Qahha.

Yazul Jalali wal Ikran (3 kali).

c .Sapu muka dengan tapak tapak kaki kanan tiga kali dan tapak kaki kiri tiga kali.

Insya Allah akan berhasil.

HADIS

33 AYAT QURAN

Nabi Muhammad s.a.w. telah berkata: Sesiapa yang membaca tiga puluh tiga ayat dari Quran pada waktu malam, maka tidak membahayakannya oleh binatang buas yang amat merbahaya, pencuri yang memusuhinya dan (sebaliknya) di selamatkan dirinya, harta, (isteri) dan anak-anak sampai pada waktu pagi.

Perawi: Ibnu Umar.

Berhubung dengan pencuri, ada beberapa orang ulama berpendapat, bahawa setiap pencuri melakukan perbuatan mencuri, adalah dengan kehendak dan kudrat Allah. Sesiapa yang rumahnya dimasuki pencuri dan harta bendanya dicuri, adalah menandakan harta benda itu tidak suci atau harta haram dimiliki oleh tuannya, di antaranya, harta dari hasil riba, rasuah, judi, penipuan, harta anak yatim, pembahagian harta pusaka saka yang tidak sah dan hasil dari sumber haram.(mp).

Wednesday, June 25, 2008


PELANCARAN

“PUTRAJAYA SAILING WEEK 2008”

PADA 11HB-13HB JULAI 2008

DIRASMIKAN OLEH

YBHG TAN SRI SAMSUDIN B. OSMAN,

PENGERUSI KELAB TASIK PUTRAJAYA

26HB JUN 2008

ATURCARA MAJLIS


12.00 PM

-

KETIBAAN PARA JEMPUTAN

12.15 PM

-

KETIBAAN YBHG TAN SRI SAMSUDIN B. OSMAN,

PENGERUSI KELAB TASIK PUTRAJAYA

12.20 PM

-

KATA-KATA ALUAN DAN PELANCARAN

“PUTRAJAYA SAILING WEEK 2008”

OLEH YGBHG TAN SRI SAMSUDIN B. OSMAN,

PENGERUSI KELAB TASIK PUTRAJAYA

12.35 PM

-

JAMUAN MAKAN DAN BERSURAI

ABDULLAH TERUSKAN JIHAD

MELETAKKAN JAWATAN ERTI GAGAL

Oleh: Mokhtar Petah


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah diminta tidak mengambil keputusan terburu-buru meletakkan jawatannya dari Perdana Menteri Malaysia, kerana tindakan itu bererti jihadnya membela kerajaan, rakyat dan agama Islam telah gagal.

Kalangan politikus dalam dan luar UMNO telah menghubungi saya melalui telefon dan blog saya, setelah membaca artikel mengenai Abdullah Ahmad Badawi dalam blog saya baru-baru ini.

Bekas ketua sebuah bahagian UMNO di Pulau Pinang berkata, “Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Abdullah akan meletakkan jawatannya dan menyerahkan kepada Datuk Najib Tun Razak , saya tak setuju dia letak jawatan.”

“Abdullah Ahmad Badawi patut terus memikul tangungjawabnya bagi beberapa tahun lagi, kerana perjuangannya belum selesai,”katanya.

“Kalau dia letak jawatan pada masa terdekat ni, maknanya dia tak tahan dengan tekanan golongan anti Islam …, dia gagal dalam jihadnya,”katanya.


Abdullah Haji Mohd. Adnan bekas ahli UMNO dari Ipoh telah meminta Abdullah Ahmad Badawi tidak meninggalkan tangungjawab pada masa terdekat ini, kerana usahanya menerapkan nilai Islam Hadhari ke dalam UMNO belum berjaya sepenuhnya.

“Dia tak boleh rasa kecewa kerana ramai calon Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya ke-12 baru ini, tiga negeri terlepas ke tangan parti-parti pembangkang,”katanya.

“Dr. Mahathir dulu pun telah mengalami berbagai keadaan menyedihkan, tak berjaya merampas Kelantan dari PAS dan Terengganu terlepas ke tangan PAS, macam-macam lagi,”katanya lagi.

“Abdullah kena memandang ke seluruh Negara, rakyat yang masih mahukan dia memimpin kerajaan, itu tanggungjawab tak boleh ditinggalkan dengan mudah,” tambahnya.

Abdul Malik bin Haji Othman dari Seremban berkata, “Kalau Pak Lah ambil jalan meninggalkan tanggungjawabnya kepada UMNO dan Kerajaan pada masa terdekat ini, maknanya dia gagal dalam perjuangan hendak melaksanakan cita-citanya ambil Quran dan Sunnah jadi pedoman.”

“Saya minta Pak Lah fikir banyak kali, fikirkan orang Melayu dan rakyat Malaysia,”katanya lagi.


Kira tujuh orang dari Kelantan, Pahang, Kedah dan Johor memberitahu saya, bahawa dalam UMNO ada orang-orang yang tidak ‘senang duduk’ kerana Abdullah Ahmad Badawi menerapkan nilai Islam dalam UMNO dan kerajaan.

Mereka juga berpendapat, ada orang-orang tertentu yang mahukan beliau segera meletakkan jawatan kerana beliau telah menjalankan perintah dengan tegas, seperti membebaskan para hakim, Badan Pencegah Rasuah dan pihak-pihak berwajib menjalan tanggungjawab mereka dengan tegas dan sempurna.

Sementara itu orang ramai gembira kerana tidak ada usul undi tidak percaya kepada Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Dewan Rakyat hari Isnin lalu seperti yang diumumkan oleh Presiden SAPP, Yong Teck Lee baru-baru ini.

MERENUNG KE BELAKANG

SUMBANGAN ARKIB NEGARA


“Kalau geluk tidak diseluk manakan dapat sagunya …
begitulah kata pendeta dewasa ini, masyarakat begitu ghairah mencari barang lama seperti barangan antik dan purba termasuk manuskrip dan naskhah Al Quran bertulisan tangan dan sebagainya. Minat dan kecenderungan menghargai warisan tersebut cukup tinggi dan memberi gambaran sikap yang sangat positif terhadap keprihatinan masyarakat kita dalam memelihara dan meneruskan kesinambungan tradisi warisan bangsa. Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Dato’ Siti Azizah Abod.


Demikian terkandung dalam ‘Sekapur Sirih’ dalam buku Arkib Warisan Eksklusif yang diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia.

Buku berbentuk coffee table dan 260 halaman itu mengandungi gambar-gambar lama dan baru yang menjadi bahan sejarah tanah air kita.

Kerana menghargai usaha Arkib Negara Malaysia, maka kami menyiarkan gambar-gambar yang menjadi bahan sejarah negara kita.

Editor, Petah Shahrir Aidid.


Upacara menanda sempadan Negeri Perak dengan

Thailand (Jajahan British) dan Reman (jajahan siam)

1909.

Ulama masyhur di Kelantan, Tok Kenali (duduk di kiri),

pada tahun 1928.


Masyarakat Melayu Pesisiran

Wajah lelaki dan wanita Melayu zaman silam

Pengangkutan menggunakan gajah

Kapal orang Melayu zaman silam


Pemandangan di pinggir sawah padi di melaka


Orang tua Melayu memotong nanas

Menggunting rambut

Menjual sate

Monday, June 23, 2008

JANDA DAN BERUK JANTAN

Dari novel Kasih Ibuku


[Cerita ini disedut dari novel, Kasih Ibuku, karya Mokhtar Petah yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Cerita ini dapat menjadi pelajaran dan penduan bagi wanita yang bercita-cita untuk menjadi seorang solehah – cinta dan taatkan suami dan cinta dan taatkan Allah.

Editor, Petah Shahrir Aidid.]


“…Lamin, mu mengaji sungguh-sungguh, fasal duit tak usah mu risau, duit getah, duit nyiur, pinang kering, asam gelugur kering, sirih, kapur ada…, tak cukup emak jual kambing,” kata ibuku pada masa aku belajar dalam tingkatan thanai rabi’’, di sekolah agama di Seberang Perai.

“…makan minum emak, ayahku tak apa, padi sawah kita menjadi, ikan keli, ruan, puyu dalam telaga sawah banyak, ayahku cari ikan di air benak (tasik Chenderoh),” kata ibu lagi.

“Emak nak mu jadi orang alim, orang pandai, orang bijak,… macam Jamaluddin Afghani, Sheikh Muhammad Abduh, macam Hamka…, macam Dr. Burhanuddin Helmi,…macam ustaz Abu Bakar AL Baqir.” tambah ibuku.


Aku diterpa oleh rasa kagum. Kagum kerana ibuku yang buta huruf rumi tetapi boleh mengetahui nama-nama para cendekiawan terbilang.

Menurut ibuku, ayahku yang aktif dalam perjuangan orang Melayu peringkat kampung, sering menerangkan kepadanya tentang orang-orang Islam yang bijak pandai. Hampir tiap-tiap malam pada waktu mereka hendak tidur, ayahku membaca buku-buku mengenai para cendekiawan Islam itu dan diterangkan pula kepada ibuku.

“Ayahmu kata, orang laki bini…, kalau baca buku baik-baik pada ketika nak masuk tidur…, kalau dapat anak, …anak tu jadi orang bijak,” ibuku memberitahu kepadaku seperti dia mengetahui akan kehairananku terhadap dirinya.

“Insya Allah, emak, …memang Lamin nak jadi orang bijak,”aku menanamkan sepohon harapan kepada ibuku.

“Kata tuan Cek Wi, budak kecil kalau beri makan belalang kuning,boleh jadi orang bijak,” ibuku memberitahu kepadaku.

“Ia ke, emak?”aku bertanya.

“Ia, tengoklah mu, adikmu bila dah besar panjang, …kami selalu beri muma makan belalang kuning,”jelas ibuku.

“Di mana emak, ayah dapat belalang tu, emak,” aku bertanya.

“Di mana lagi, di bendang kita tulah,…ayahmu tahan bubu dalam jerami padi, dalam bubu tu dia sapu belacan,”jelas ibuku.


Ibuku menternak seekor kampung betina warna hitam. Kuku kaki kiri kambing itu jadi bengkok dan capang kerana terpijak bara api. Kambing betina itu galak beranak. Anak-anak kambing itulah menjadi sumber rezeki bagi ibu dan ayahku. Wang hasil menjual anak-anak kambing itulah dapat aku gunakan untuk membeli buku-buku pelajaran pada tiap-tiap akhir tahun.

Ibuku seorang perempuan Melayu yang yakin pada dirinya. Kerana kesudahan sering menerpa dan melanda ibu dan ayahku, maka ibuku tidak takut kepada kesusahan yang mencengkam dirinya. Dia sering berkata kepadaku, iaitu kesusahan mengajar manusia menjadi manusia sejati. manusia berperikemanusiaan. Menjadikan manusia yang sentiasa hampir dengan Tuhan. Manusia bertimbang rasa kepada manusia lain.

Ingatanku terhimbau kepada suatu malam, iaitu pada ibuku berkata kepadaku, “…Lamin,Allah dekat dengan kita,… kerana Allah dekat dengan emak, tak takut susah, susah jadi ilmu pada emak,…emak tak ingat, ada dalam Quran,…firman Allah, …sesungguhnya bersama kesusahan itu, datang kesenangan .


Ibuku merenung wajahku. Dua bola matanya bersinar menandakan hatinya penuh keyakinan kepada Allah.

Kata ibuku, “…mudah baca sejarah, dua puluh lima rasul Allah, dari Adam sampai kepada Muhammad hidup susah,Allah cuba, Allah uji…,demo sabar,demo tawakal, iman demo kuat.”

“Demo tu susah sebab musuh,…sebab macam-macam,” kata ibuku lagi.

“…mu anak jantan, mu tak usah takut susah, mu kena sabar, kena tawakal, tak usah lupa Tuhan, orang lupa Tuhan sesat, jadi jahat, suka buat maksiat…,” tambah ibuku.

“Ia, emak, insya Allah, Lamin akan sabar, tabah, tawakal, emak,” aku menanamkan harapan pada hati ibuku.


Dia ibuku. Wanita solehah. Dia sedang duduk di hadapanku. Pada wajahnya yang bujur sirih ada cahaya Puteri Balqis dari Saba yang jatuh cinta kepada rasul Allah, Sulaiman alaihis salam, Zulaikha yang mabuk cinta kepada rasul Allah,Yusuf alaihis salam dan cahaya Siti Khadijah, hartawan wanita Arab yang mencintai Nabi Muhammad sallal Lahu alaihi wa sallam. Mereka langsung berumah tangga. Menjadi keluarga contoh kepada umat manusia. Dia ibuku yang dadanya berisi iman dan berhiaskan kesabaran.

“Emak nak cakap ni,Lamin,”kata ibuku sambil merenung kepadanya.

“Apa,emak?”aku bertanya.

“…bila mu dah tamat belajar, cepat kahwin, emak nak tengok cucu mak,…mak tak mahu kempunan nak tengok cucu emak hingga emak mati,” jawab ibuku dengan tegas.

“Baiklah,emak,…tapi,” aku berkata menyuburkan pohon harapan dalam hatinya.

“Apa, Lamin?” ibuku bertanya.

“…tapi, emak nak pilih sendiri bakal menantu emak tu, atau…?” aku bertanya pula.

“Tak, emak tak nak pilih,emak nak mu pilih sendiri, baik pada mu, eloklah pada emak,” jawab ibuku sambil senyum.

Ibuku diam sejenak. Dia senyum dan berkata, “…mu mesti baik, hormat, sayang pada isterimu,” ibuku meluahkan kata nasihatnya kepadaku.

“Insya Allah, emak,”aku berkata mengandungi janji kepadanya.

“…mu ingat, kerana mu lelaki, orang jantan,…mu kena buat baik dengan orang perempuan, demo tu sejenis dengan emak,” pesan ibuku.


Aku hampir ketawa. Aku tak faham perkataan ‘buat baik’ yang dimksudkan oleh ibuku. Tetapi aku tidak bertanya kepadanya akan maksud madahnya itu. Walau bagaimana pun, sebagai seorang anak, pesanan ibuku itu tetap aku memegangnya sekuat mungkin.

“Jangan buat tak baik dengan orang perempuan,…Tuhan marah, berdosa,” pesan ibuku lagi.

“Baik, emak,”sahutku.

“…tapi kalau mu nak nikah dua tiga, sampai empat pun mak tak larang,” kata ibuku sambil senyum.

“Allahu Akbar,…macam menyuruh pula, emak,” aku berkata sambil menahan tawaku.

“…bukan emak suruh, tapi mu jangan menentang takdir,…mu kena ingat, kita hanya merancang, tapi Allah Maha Kuasa,”kata ibuku sambil senyum.

“Ia, emak, la haula wala quwwata illa billah…,” aku mengakurkan kata-kata ibuku.

Aku rasa malu mendengar kata-kata ibuku itu. Sebenarnya aku telah berazam; jika Allah meredakan, iaitu aku tidak akan memadukan isteriku.

*** ***


Malam itu kampung Kembang Semangkuk kedinginan. Semenjak tengah hari lagi hujan turun mencurah-curah. Dedaun di pepohon berterbangan dibawa angin dan dibasahi oleh air dingin. Daun - daun kembang semangkuk yang selebar tapak tangan lelaki sasa dan buah-buahnya yang bersayap seperti burung layang-layang itu berterbangan dan luruh ke bumi di sekitar kampung hingga ke permukaan sawah padi di sebelah timur.

“Abang, tak usah minta mak Munah, …Ijah ada, Ijah boleh gi pinang Mahani tu,” ibuku berkata kepada ayahku dengan hatinya yang tulus.

“…ia, Ijah, ia…?” tanya ayahku.

“Ia,…benar, bang,”jawab ibuku. Senyum.

“Sanggup ke, Ijah?” ayahku bertanya.

“…ngapa tak sanggup? Abang ingat Ijah tak suka abang madukan Ijah?,”ibuku bertanya.


Ayahku sengeh. Hati lelakinya kembang bagaikan bunga bakawali kembang pada waktu subuh.

“Kerana abang, kerana suami, jangankan gi pinang Mahani, pinang puteri raja pun Ijah sanggup, bang,”jawab ibuku dengan ikhlas.

“Eh, sampai macam tu sekali,”kata ayahku sambil melilitkan lengan kanannya kepinggang ibuku.


Ibuku geli geleman.

“…kan Ijah dah kata, kerana abang, …kerana abang berenang dalam lautan api pun Ijah rela,bang” tegas ibuku.


Ayahku sengeh lagi. Senyumnya memanjang bagaikan pantai yang sayup mata memandang. Hatinya menari bersama perasaannya yang dibungkus kegembiran. Hatinya bertaut dengan rasa nafsu lelakinya. Hatinya berjalin dengan cinta terhadap ibuku. Hati lelaki membara cintanya kepada bakal isterinya, Mahani.

Lengan kanan ayahku bertambah erat membelit pinggang ibuku. Perempuan yang berpengalaman dalam penyerahan cinta kasih suaminya itu arif benar akan hajat suaminya pada waktu itu. Dia juga sedang dilambung oleh gelora berahinya sendiri.

Bagai pengantin baru ibu dan ayahku berpelukan di atas tilam gebu dari kapuk kampung. Malam terlalu dingin. Hujan mencurah-curah turun. Ibukuku lemas dalam kedinginan dalam pelukan ayahku. Ayahku seorang lelaki sejati yang diwarisi dari para nabi dan datuk neneknya. Malam amat dingin. Bunyi air hujan yang mencurah turun atas atap rumah ayah dan ibuku dan mengalir lalu mencurah dan terjun ke bumi. Bunyi air dan atap telah menenggelamkan segala bunyi pada waktu itu. Buah- buah kembang semangkuk yang berterbangan dalam hujan lebat itu menjunam ke dalam kubang dan telaga yang berkocak airnya di tengah sawah

Mahani janda muda. Usianya baru menjangkau 24 tahun. Dia tidak mempunyai anak. Hati nuraninya penuh dengan perasaan cinta dan kasih sayang yang perlu dilimpah ruahkannya kepada lelaki bakal suaminya. Dia memerlukan seorang lelaki untuk teman hidupnya.

Suami Mahani seorang lelaki keturunan Bugis telah menghilangkan dirinya entah ke mana. Selama tiga tahun dia terkekang dalam penderitaan batin. Dia tidak mengetahui di mana belukar dan hutan lara tempat suaminya bersembunyi. Hati muda dan nafsu mudanya mendesak dia bertindak menuntut talak dari suaminya. Dia tidak sanggup memaksa dirinya dalam keadaan ‘makan hati berulam jantung’. Demi Allah dia tidak terdaya membiarkan nafsu berahi perempuan mudanya kekeringan laksana dedaun bertaburan di tengah padang pasir tandus.

Mahani seorang perempuan yang ada pengetahuan agama Islam. Dia lebih yakin bertindak mengikut syarak dapat manfaatkan dirinya sebagai seorang wanita daripada mengikut hukum adat yang sana sini ada lapuknya dan ada maksiatnya. Kerana ada catatan taklik di belakang sijil nikah dia dan suaminya, maka Mahani telah mendapat kebenaran bercerai taklik dengan suaminya dari pejabat kadi.

Kadi yang berusia hampir bersara itu berkata kepadanya, “Orang perempuan muda macam kamu ini, tak usah membiarkan diri jadi macam buah nangka disumpah beruk, masak tidak,gugur tidak,hanya tergayut kering di dahan.”

“Saya ni tuan, kerana ada sekelumit ilmu agama, sekadar tahi udang atas kepala, nipis sangat iman kepada Allah, macam kulit bawang kering, kalau tak…, dah lama saya ikut nafsu saya entah ke mana,” balah Mahani kepada kadi itu.


Mahani yang berlesung pipit dan dua bola matanya laksana bintang kejora, bergelar janda muda.

Dia menjadi guru sukarela mengajar kanak-kanak kampung Kembang Semangkuk mengaji Quran, fardu ain dan ilmu akhlak.

Ayahku kenal Mahani dan Mahani kenal ayahku. Mereka sama-sama hidup dalam sebuah kampung tradisi orang Melayu. Mereka hidup dalam rukun jiran tetangga dan gotong royong. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala-galanya. Pada suatu malam orang - orang tetangga menjadi gempar. Beberapa orang daripada mereka itu mendatangi ayahku di rumahnya. Mereka meminta tolong kepadanya untuk menangkap seekor beruk jantan yang sedang mengintai janda muda, Mahani, di atas bumbung rumahnya.

Beruk jantan itu dibela oleh Lebai Manap. Dia menjadikan haiwan itu sebagai hambanya untuk memanjat pokok kelapa dan mengambil buah-buahnya, Mengambil buah petai dan mencari siput dan gondang dalam sungai. Entah bagaimana, pada petang tadi rantai besi yang mengekang leher beruk dan di kunci pada sebatang kayu di belakang rumahnya telah putus.

“Eh, takkanlah beruk tu tau Mahani tu janda atau tidak,” kata ayah kepada orang-orang kampung yang datang menemuinya.

“Beruk ni macam kita juga,abang,” sahut seorang dari mereka.

“…beruk jantan pun macam kita juga, abang, tahu mana betina cantik, mana tak cantik,”kata yang seorang lagi.


Ayahku senyum.

Mereka ketawa. Bunyi tawa mereka mengocak kesunyian kampung kembang Semangkuk.

Dalam perjalanan ke rumah Mahani, hati ayahku terlontar kepada satu hari pada bulan Muharam kira – kira tiga bulan yang lalu. Mahani telah datang bertandang ke rumahnya. Dia telah makan tengah hari bersama ibu dan ayahku.

Kedatangan Mahani ke rumah ayahku kerana dia meminta ayahku menolongnya, iaitu memberi beberapa petunjuk kepadanya untuk dia menjawab soalan dalam peperiksaan mendapatkan tauliah mengajar agama Islam di pejabat agama. Mahani telah mendapat tahu,iaitu beberapa orang agama di sekitar mukim dalam daerah kami telah berjaya mendapatkan tauliah mengajar agama Islam setelah mereka mempelajari selok belok menjawab soalan dalam peperiksaan.

Semenjak hari itu juga ibuku terasa amat mesra dengan Mahani. Dalam hatinya terpendam rasa kasihan kepada perempuan muda lagi jelita yang hidup tanpa suami itu. Ibuku sanggup bermadu dengan Mahani sekiranya bapaku sudi menerima janda muda untuk menjadi isterinya yang kedua.

Ibuku sering berdoa dalam hatinya kepada Allah; mudah – mudahan Allah memakbulkan doanya. Allah membuka hati suami supaya bernikah dengan Mahani. Bagi ibuku, jika dia menerima Mahani menjadi madunya, bererti dapat melakukan sejambak ibadat kepada Allah.

Sebaik-baik sahaja ayahku tiba di kaki tangga rumah Mahani, dia mendengar suara Mahani menjerit ketakutan. Sementara atas atap rumahnya – atap dari daun rumbia kering, seekor beruk jantan bertaring panjang sedang merengek-rengek dengan nafsu berahinya kepada janda muda itu.

Kerana ayahku ada kepandaian memujuk beruk, iaitu dengan membaca sepuntung ayat Quran, “Dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang. Dan sesungguhnya kamu mengetahui mereka ayang melanggar aturan di antara kamu pada hari Sabtu, kerana itu kami kata kepada mereka: hendaklah kamu menjadi monyet yang dibenci orang”. Maka lebih kurang lima belas minit ayahku berjaya menangkap beruk itu. Beruk tersebut diserahkan oleh ayahku kepada lebai Mana.

“Jaga baik-baik beruk ni, lebai, binatang ni macam manusia juga, tahu perempuan cantik atau tidak,” kata bapaku kepada Lebai Manap.

“…baiklah,abang,” sahut Lebai Manap lalu dirantai leher beruknya itu dengan rantai besi yang baru.

“Orang bela gajah kena jaga kosanya, bela beruk kena jaga rantainya,” tambah ayahku.

“Ia,abang,” sahut Lebai Manap lalu pergi dalam malam hitam.


Beberapa orang kampung itu mengelilingi ayahku.

Mahani turun ke tanah. Dia kelihatan termengah-mengah. Penat. Dia terlalu takut kepada beruk jantan itu.

“…mujur abang ada, kalau tak, tahulah Ani, bang,”kata Mahani kepada ayahku.

“Tak pa, beruk aja,Ani,” kata ayahku pula.

“Beruk jantanlah yang Ani takut…,” kata Mahani agak tersipu-sipu.

“Kalau orang agaknya Ani tak takut,” kata Wahab, bilal surau di kampung itu.

“Orang tak apa. Orang ada akal, Ani tak takut,” sahut Mahani.


Mereka sama-sama ketawa.

Semenjak peristiwa beruk jantan mengacau Mahani itulah hati ayahku terpaut kepada janda muda itu. Dia ingin berkahwin dengan Mahani. Tetapi dia perlu memaklumkan kepada ibuku. Kalau ibuku setuju dia berkahwin dengan Mahani, barulah hajatnya akan dilaksanakan. Kalau ibuku tidak setuju, dia akan membatalkan niat sucinya itu.

Mahani juga telah jatuh hati kepada ayahku. Dia tertarik hati kepada ayahku kerana ayahku ada banyak ilmu agama Islam, baik budi bahasanya, sikap jujur dan suka menolong orang-orang kampung yang memerlukan pertolongannya.

Mahani tidak mahu bersikap telaga mencari timba. Biar timba mencari telaga. Kalau sudah tiba masa timba mencari timba dan hati masing-masing saling cintai mencintai, Mahani akan datang menemui ibuku untuk meminta keizinan darinya.

Bagi Mahani, hendak mengambil buah belimbing orang kena meminta kepada tuannya, inikan pula hendak mengambil suami orang; kenalah meminta izin kepada isterinya. Kalau tidak berbuat demikian akan dikata orang dirinya merampas suami orang.

Semenjak pada malam peristiwa beruk jantan mengganggunya,hati Mahani sentiasa teringatkan ayahku. Sesungguhnya dia mencintai ayahku. Dan sesungguhnya ayahku mencintai dirinya.

Pada suatu petang, Mahani telah berkunjung ke rumah ibuku. Dia datang menggonggong hajat. Dengan seketul hati wanita yang tegas dan berani demi cintanya kepada bapaku. Dia ibarat pahlawan sejati yang datang tanpa senjata, hanya berbekalkan budi, datang menemui pahlawan yang belum tentu akan boleh menjadi kawan atau musuhnya.

Mahani duduk bersimpuh di hadapan ibuku. Dua biji matanya merenung wajah ibuku. Hatinya memohon ihsan dari perempuan yang baik budi itu. Ibarat orang meminta ubat dari dukun; pertama kali meminta, harap-harap jampi serapahnya mujarab dan penyakit dalam tubuhnya segera sembuh. Dia datang tidak diundang. Datang bukan meminta makanan atau emas dan berlian, tetapi meminta sekelumit budi agar merelakan suami sendiri menjadi isteri orang lain. Rela perempuan yang bergelar madu berkongsi lelaki bernama suami dengannya.

“…kak,…Ani datang ni ada hajat,” kata Mahani kepada ibuku.

“Hajat? Ai, nak kenduri ke, aaa…?” ibuku bertanya sambil senyum. Mesra.

“Tak,…tapi lain,” jawab Mahani.

“Besar benarkah hajat tu, Ani?” Tanya ibuku.

“Ia,kak, besar hajat Ani ni,…a…,a…,a, Ani nak minta izin dari kakak, Ani ,nak menikah dengan abang Radzi, suami kakak,” tegas Mahani.


Ibuku senyum. Ibuku merenung wajah janda muda di hadapannya. Hatinya ikhlas kepada perempuan itu. Berkembangan bebunga syukur kepada Allah dalam hatinya.

“…kak syukur kepada Allah, al hamdulillah kerana Ani sudi menjadi adik kakak, sudi menerima abang Radzi jadi suami Ani,”kata ibuku.

“…al hamdulillah, terima kasih kak,” kata Mahani.


Air mata jernih kerana gembira melimpah dalam dua lubuk matanya Mahani. Dia membiarkan air matanya itu luruh ke atas pahanya.

“Kakak rasa, …ialah, nilah satu ibadat kakak kepada Allah, satu pengorbanan kepada suami kakak,abang Radzi,” kata ibuku sambil senyum.

“Ia, kak,”kata Mahani.


Ibuku memagang tangan kanan Mahani dengan kedua-dua puntung tangannya. Di pegang erat-erat dua puntung tangan berkulit lembut itu.

“Ani, abang Radzi dah beritahu kakak,…dia nak ambil Ani jadi isterinya,”kata ibuku.

“Ia, kak,”sahut Mahani.

“Kak beritahu abang Radzi, biar kakak yang pergi pinang Mahani,”kata ibuku lagi.

“Ia, kak?”Mahani bertanya.


Ibuku mengangguk. Hatinya Ikhlas.

“Ani, Allah benarkan orang lelaki,…ialah ada isteri lebih dari satu orang, dalam Quran ada sebut, kalau kita tegah ke, larang ke suami kita madukan kita, berdosa kerana kita derhaka, kita buat lain dari Allah izinkan,…kita tentang hukum Allah,” kata ibuku seperti memberi ceramah agama kepada Mahanai.

“Ia, kak,”sahut Mahani.

Sambil melepaskan dua puntung tangan Mahani dari pegangan dua puntung tangannya, ibuku berkata, “Kakak minta,…Ani dapat jadi adik kakak, kita sama-sama jaga abang Radzi, kita taat kepadanya,…dah jadi wajib bagi kita,”kata ibuku dengan suara yang lembut.

“Ia, kakak, Ani mengaku, kakak, …Ani anggap kakak ni kakak Ani dari dunia hingga ke akhirat, kak,”katanya Mahani dengan hati yang murni lagi tulus.

“Tak apa, insya Allah pada hari Isnin minggu depan, kakak akan pinang Ani,”kata ibuku.


Ibuku senyum. Mahani senyum. Hati ibuku gembira kerana akan dapat menunaikan hajat suaminya. Hati ibuku berbungkus dalam kegembiraan, kerana dia mempunyai suami yang sanggup membela seorang janda yang telah lama kekeringan nikmat kehidupan sebagai seorang isteri. Mahani gembira kerana ibuku sudi menerimanya sebagai madunya. Tuhan dengan kehendak-Nya, Mahani akan dapat menumpang berteduh dan berpayungkan seorang lelaki yang baik budi.

“…ginilah,Ani, bila Ani dah jadi isteri abang Radzi, tunaikan tanggungjawab Ani, …Ani isteri dia. Jangan ingkar, jangan melawan,…kita ni isteri, …milik suami kita dari hujung kaki hingga hujung rambut,” ibuku berkata dengan jujur.


Mahani tunduk. Percakapan ibuku didengar dengan teliti. Akan diturut semua nasihat bakal madunya itu. Pada waktu itu Mahani seperti seorang penganut agama, di hadapan paderi dalam bilik gereja.

“Kalau ikut dalam Quran, ‘isteri-isteri kamu itu ladang kamu,oleh itu usahakanlah ladang kamu sebagaimana kamu suka’. Kakak ni ladang abang Radzi, bila Ani menikah dengan dia,…Ani juga ladang dia,” kata ibuku seperti seorang ustazah layaknya.

“Ia, kak,…kita ladang, kak, …demi Allah, Ani tak akan derhaka kepada abang Radzi, kak,” Mahani berkata dengan wajahnya yang serius. Ada cahaya kejujuran pada wajahnya.

“Eloklah kalau begitu,” sahut ibuku.


Percakapan mereka berdua terhenti. Suara ayahku memberi salam di kaki tangga. Degup jantung Mahani seolah-olah mengopak-ngopak dinding dadanya.

PETUA

Jika anda berhajatkan anak-anak anda menjadi penulis atau pengarang atau rajin membaca, pada masa mereka masih kecil, iaitu sedang meniarap dan merangkak, berikan mereka beberapa buah buku supaya mereka bermain dengan buku-buku itu. Lakukan setiap hari dengan menukarkan buku-buku itu.

Seorang lelaki Melayu telah memberitahu, dia mempunyai tujuh orang anak. Pada masa kanak-kanak dia telah memberi mereka bermain buku-buku pada tiap hari. Apabila mereka telah bersekolah, semuanya menjadi penggemar membaca buku dan lima dari mereka menjadi wartawan atau penulis.


Cubalah, insya Allah anda akan berjaya.

HADIS

TURUNKAN BERKAT

Sesiapa yang berhajat hendak menternak kambing, eloklah menghayati hadis Nabi Muhammad s.a.w. berikut ini:

Sesungguhnya Allah Taala menurunkan berkat pada tiga makhluk (Nya), iaitu, kambing, buah kurma dan api.

Perawi: Al Haitam, Umi Hani dan At Tabrani.

Sunday, June 22, 2008

YONG TECK LEE BANTU MELAYU

JATUHKAN PEMIMPIN UMMAH
Oleh: Mokhtar Petah

Orang Melayu yang bertindak untuk menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi telah mendapat sokonganan dari Yong Teck Lee – orang Cina dan bukan Muslim untuk menggulingkan pemimpin Ummah.


Kalau Dr. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan siapa sahaja hendak menjatuhkan pemimpin ummah, mereka telah berjaya menjadi hulu beliung menumbangkan pemimpin Ummah dan memporak perandakan rakyat Malaysia.


Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee yang disifatkan oleh Abdullah Ahmad Badawi sebagai ‘tamak, adalah individu Cina masa ini telah melaungkan suara untuk menjatuhkan pemimpin yang terdiri dari orang Melayu dan beragama Islam.




Yong Teck Lee

Kalau saya seorang penganut komunisme atau sosialisme memang saya menyanjung Yong Teck Lee dan partinya ke langit biru, tetapi kerana saya orang Melayu dan beragama Islam, saya menyifatkannya seorang musuh ummah dan bangsa Melayu.


Abdullah Ahmad Badawi telah berkata, bahawa pemimpin SAPP itu bertindak hendak menggulingkkan beliau melalui undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat kerana beliau tidak dapat memenuhi tuntutannya pada ketika pilihan raya yang ke – 12 lalu.

fix. The Star
Yong Teck Lee telah mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi SAPP yang menuntut Kerajaan Pusat mengistiharkan kedudukan Sabah bagi membawa perubahan dalam Negara ke arah kerajaan beramanah dan satu masyarakat yang adil. Di antara tujuh tuntutan itu,ialah:
* Sabah dan negeri-negeri lain yang pengeluar minyak berhak mendapat 20peratus royalti.
* Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah. Sementara itu, difahamkan tuntutan SAPP itu tidak disokong oleh majoriti dari semua ahlinya.